Langkau ke kandungan utama

Jambatan Gantung Tamparuli

Jambatan Tamparuli merupakan salah satu tempat menarik di Sabah yang selalu dikunjungi penduduk tempatan dan pelancong luar. Jambatan ini terletak di daerah Tamparuli, Kota Kinabalu Sabah.

JAMBATAN TAMPARULI





Jambatan Gantung Tamparuli merupakan salah satu tempat menarik di Sabah dan juga merupakan tempat yang pastinya menjadi destinasi utama bagi penduduk tempatan untuk bergambar, ia juga merupakan salah satu tempat tarikan bagi pelancong luar negara yang datang ke negeri Sabah kerana kisah mengenai jambatan ini.

Menurut sumber arkib Sabah, Jambatan Tamparuli yang sebenarnya bukanlah jambatan gantung sebaliknya Jambatan Tamparuli adalah jambatan konkrit yang terletak di bawah jambatan gantung. Jambatan konkrit ini telah dibina pada tahun 1930 namun oleh kerana air sungai yang deras terutamanya ketika musim hujan, maka jambatan ini telah roboh dan telah dibina semula pada tahun 1933 yang diketuai oleh pegawai British yang bernama Robinson.


Walaupun dikatakan jambatan yang sebenar adalah jambatan yang konkrit, namun Jambatan Gantung Tamparuli juga mempunyai daya tarikan tersendiri, dengan panjangnya sejauh 200 meter dan pemandangan yang cukup indah ianya mampu menarik pengunjung untuk datang ke sini. Kebanyakkan pengunjung yang datang ke sini juga lebih memilih untuk melawat dan bergambar di Jambatan Gantung ini.

Sememangnya Jambatan Gantung Tamparuli ini juga merupakan salah satu jambatan yang menjadi kebanggaan penduduk negeri Sabah. Jambatan gantung ini cukup terkenal sehingga terciptanya lagu yang bertajuk 'Jambatan Tamparuli' yang dinyanyikan oleh Justin Lusah dalam bahasa Kadazan-Dusun dan lagu ini sangat popular di kalangan masyarakat Kadazan-Dusun dan seluruh rakyat negeri Sabah.

Untuk berjalan masuk ke Jambatan Gantung ini tidak ada dikenakan sebarang bayaran, dan sebelum pengunjung melalui jambatan ini, pengunjung akan dipersembahkan dengan muzik dan tarian tradisional yang biasanya akan dipersembahkan oleh sukarelawan daripada Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA). Tidak ada sebarang bayaran juga untuk persembahan ini, tetapi anda boleh memberikan hadiah untuk penari sukarelawan tersebut sebagai tanda penghargaan.

Jambatan Gantung ini terletak lebih kurang 40 km dari Pusat Bandar Kota Kinabalu dan para pengunjung yang ingin ke sini boleh menaiki bas dari pusat bandar Kota Kinabalu yang menuju ke Tamparuli Sabah. Selain itu pengunjung juga boleh menaiki perkhidmatan teksi atau e-hailing yang lain.

Dekat dengan jambatan ini terdapat pasar tamu yang dibuka setiap hari rabu jam 7 pagi hingga jam 5 petang. Di sini terdapat banyak jualan kraftangan dan barang-barang tradisional Sabah yang lain. Jadi kalau datang melawat ke Jambatan Tamparuli bolehlah datang pada hari rabu. 
Selain itu jambatan ini juga tidak begitu jauh dari Rumah Terbalik, jadi kalau anda memandu kenderaan sendiri bolehlah melawat sekali di Rumah Terbalik.

Antara kemudahan yang disediakan di sini adalah :
1. Tandas awam
2. Tapak letak kereta
 

Ulasan