Langkau ke kandungan utama

Kudat

Kudat merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di Negeri Sabah, dan terletak di utara dan daerah ini termasuk dalam Bahagian Kudat iaitu terletak lebih kurang 180 km ataupun kira-kira 3 jam 30 minit perjalanan dari Pusat Bandar Kota Kinabalu.

KUDAT


Terkini


Gambar Lama
Kredit : Bandarkudat

Kudat merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Sabah iaitu lebih kurang 180 km atau kira-kira 3 jam 30 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandar Kota Kinabalu, Sabah. Daerah Kudat mempunyai keluasan lebih kurang 1287 km persegi atau 497 batu persegi dengan bentuk muka bumi yang berbukit bukau. Kudat juga dahulunya pernah menjadi pusat pentabiran bagi Borneo Utara semasa zaman penjajahan British iaitu sekitar tahun 1881 sehingga 1884, sebelum ia dipindahkan ke Sandakan dan seterusnya ke Kota Kinabalu. Sebelum British datang ke daerah ini nama lama Kudat dipanggil sebagai Tonjung Borungus dan ada juga yang menyebutnya sebagai Tomborungus, atau juga disebut dengan nama 'Tomu Do Rungus' oleh etnik Rungus yang merupakan penduduk asal dan majoriti di daerah Kudat ini. Pekan Kudat telah dibuka pun secara rasminya pada 7 Disember 1881 iaitu selepas pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) menemui hasil minyak yang dikatakan terletak kira-kira 25 km dari lokasi Bandar Kudat pada masa kini seterusnya pihak British  telah membuka satu kawasan pekan yang kini dikenali sebagai Kudat. Dengan pembukaan secara rasmi daerah ini maka pihak SBUB telah membuat perjanjian damai dengan beberapa pemimpin masyarakat yang mewakili etnik Rungus dan masyarakat Islam agar keadaan di Tomborungus ini sentiasa selamat dan juga aman. Setelah pendudukan pihak British di Borneo Utara khususnya daerah Kudat, nama Tomborungus yang diguna pakai oleh masyarakat pada ketika telah pun ditukarkan kepada Kudat iaitu sempena nama rumput atau lalang yang banyak tumbuh di merata tempat di sekitar Tomborungus yang disebut 'Kutad' oleh penduduk tempatan. Sebenarnya nama rumput itu disebut 'Kutad' dalam bahasa etnik Rungus yang bermaksud rumput lalang.

Terdapat dua pendapat berbeza bagaimana nama Kutad boleh bertukar kepada Kudat, pendapat yang pertama adalah ada yang mengatakan ia berlaku apabila pihak British yang ingin mengetahui nama rumput yang banyak tumbuh ditempat mereka kapal mereka berlabuh yang mana lama kelamaan perubahan ayat yang digunakan pada masa itu menjadikan Kutad bertukar kepada Kudat, bagaimanapun pendapat kedua adalah antara yang ramai bersetuju iaitu ianya berlaku apabila terdapat beberapa pedagang cina yang telah datang ke daerah ini merasa hairan dengan jenis rumput yang banyak tumbuh di sekitar daerah Kudat dan mereka pun bertanyakan nama rumput itu kepada penduduk tempatan khususnya kaum Rungus, yang kemudian memberitahu pedagang cina tersebut bahawa nama rumput itu adalah Kutad, namun akibat daripada kesukaran pedagang tersebut menyebut perkataan Kutad kerana masalah pelat akhirnya nama Kutad perlahan-lahan bertukar menjadi Kudat yang digunakan sehingga kini. Pendapat kedua ini lebih masyur kerana ia dicerikan sendiri oleh etnik Rungus yang kebanyakkan tinggal di bahagian pedalaman Kudat. Etnik Rungus kebanyakkannya pada ketika itu tinggal di rumah panjang yang terletak di dalam kawasan pedalaman daerah ini kerana pada masa itu daerah Kudat kerap kali menghadapi serangan lanun dari kawasan pantai khusunya dibahagian utara daerah ini. Pendapat lain mengenai bagaimana perkataan Kudat diperolehi adalah ianya diambil dari sebutan penduduk tempatan yang ada tinggal di pinggir pantai menyebut 'takuddat aku' yang mana mereka menjerit perkataan tersebut sambil berlari kerana terkejut mendengar bunyi hon kapal yang kuat ketika itu dan perkataan takuddat ini dipendekkan menjadi Kudat yang kekal sehingga ke hari ini.


Pada tahun 1882, Gabenor Borneo Utara British telah mula membuat pengambilan pekerja daripada China untuk bekerja di Borneo Utara khususnya di daerah Kudat dan Sandakan, walaupun pada masa itu kelihatan daerah ini semakin berkembang, namun kepentingan Kudat kepada pihak British telah mula menurun dengan agak jelas kerana pada tahun 1884 pihak Borneo Utara British telah menjadikan Sandakan sebagai ibu negeri Borneo Utara yang baru. Pada masa kini daerah Kudat telah pun semakin berkembang maju dan jumlah bilangan penduduk di daerah ini juga telah meningkat kepada hampir 100 ribu lebih orang dan majoritinya adalah dari suku kaum Rungus, Kadazan dan Dusun. Terdapat juga etnik lain yang tinggal di daerah ini iaitu seperti Bajau, Suluk, Brunei dan Cina, dan kebanyakkan dari penduduk di daerah ini adalah beragama Islam dengan lebih daripada 58% dan selebihnya adalah dari penganut agama yang lain. Penduduk daerah Kudat kebanyakkannya lebih tertumpu kepada sektor pertanian kerana terdapat lebih daripada 54 ribu hektar kawasan Kudat sangat sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian terutama sekali padi dan kelapa. Selain dari pertanian sebilangan penduduk di daerah ini juga ada yang menjalankan aktiviti perikanan atau nelayan, sektor pembuatan serta ada juga berkerja dalam sektor perkilangan yang mana hasil dari perkilangan tersebut akan di eksport ke luar negara. Dari segi kemudahan awam pula, pada masa kini terdapat banyak kemudahan awam yang telah dibina atau disediakan di daerah ini iaitu seperti sekolah rendah, sekolah menengah, hospital, klinik kesihatan, klinik desa, balai polis, balai bomba, jalan raya berturap, kemudahan air bersih, elektrik dan beberapa lagi kemudahan awam yang lain. Dengan adanya kemudahan ini semua maka ianya akan dapat berikan keselesaan kepada para penduduk daerah ini untuk lebih mudah mendapatkannya

Industri pelancongan di daerah Kudat semakin berkembang maju untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara datang ke daerah Kudat dan antara lokasi pelancongan yang begitu popular di daerah ini ialah Tanjung Simpang Mengayau yang menjadi lokasi utama tumpuan pelancong yang datang ke Kudat Selain itu untuk memajukan industri pelancong daerah Kudat juga turut melaksanakan progam yang disebut 'Satu Kampung Satu Industri' agar daerah ini turut menjadi salah satu lokasi pelancongan yang menarik dan hasilnya dapat dilihat dengan kejayaan beberapa buah kampung di daerah ini yang begitu popular dengan hasil produk mereka sekaligus dapat menarik lebih ramai pengunjung sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong dari dalam dan luar negara yang datang ke daerah ini iaitu seperti Kampung Gombizou telah menjadi sebuah tempat untuk pemeliharaan dan pemprosesan madu lebah yang terkenal di Sabah, selain itu Kampung Sumangkap pula terkenal dengan industri pembuatan dan pembikinan gong yang terkenal di Sabah dan kampung ini juga menjadi salah tempat utama tarikan pelancong apabila mereka datang ke Kudat kerana di sini pelancong ada peluang untuk melihat cara membuat gong seklaigus mencuba sendiri untuk membuatnya. Manakala Kampung Bavanggazo pula terkenal dengan beberapa Rumah Panjang yang dijadikan sebagi tempat penginapan (homestay) bagi para pelancong yang ingin mengenali dan mendalami cara kehidupan serta budaya etnik di daerah ini khususnya etnik Rungus. Sehingga kini terdapat banyak tempat menarik di sekitar daerah Kudat yang pasti dapat menarik pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke daerah ini iaitu antaranya ialah :

Tempat pelancongan

01. Tanjung Simpang Mengayau
02. Gombizau Honey Bee Farm
03. Kampung Sumangkap Gong Factory
04. Borneo Honeybee Centre
05. Pantai Simpang Mengayau
06. Rumah Panjang Kg. Bavanggazo
07. James Fish Farm
08. Mundan Hill
09. Walai Tobilung
10. Serinsim

Banyak lagi sebenarnya tempat menarik yang boleh anda kunjungi sekiranya datang ke Kudat. Seperti yang anda ketahui Sabah terbahagi 5 Bahagian utama iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Sandakan, Bahagian Tawau, Bahagian Pedalaman dan Bahagian Kudat. Dalam Bahagian Kudat ini ia terbahagi kepada beberapa daerah kecil iaitu :

Daerah Bahagian Kudat

01. Kudat
02. Kota Marudu
03. Matunggong
04. Pitas
05. Banggi 


Ulasan