Langkau ke kandungan utama

Tawau

Tawau merupakan salah satu daripada daerah yang terletak di Pantai Timur Sabah dan Bahagian Tawau adalah satu daripada 5 Bahagian yang terdapat di Negeri Sabah. Bandar Tawau juga adalah bandar yang ke 3 terbesar di negeri ini selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Jarak antara Bandar Tawau dan Kota Kinabalu adalah lebih kurang 450 km hingga 540 km bergantung kepada jalan atau laluan yang diikut. Pentadbiran dan pengurusan Daerah Tawau berada dibawah seliaan Majlis Perbandaran Tawau yang berpusat berhampiran kawasan Bandar Tawau. 

TAWAU


Bandar Tawau

Tawau merupakan salah sebuah daerah di negeri Sabah yang terletak di sebelah Pantai Timur Sabah dan Bandar Tawau yang kini semakin pesat membangun adalah bandar ketiga terbesar di Sabah dan berada di bawah pentadbiran dan pengurusan Majlis Perbandaran Tawau yang telah diwujudkan pada 1 Januari 1982. Bandar Tawau dapat diakses melalui beberapa laluan sama ada melalui darat, laut dan juga udara, jika melalui udara ianya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau, melalui laut pula adalah ikut feri melalui Terminal Feri Tawau yang biasanya menunju ke Tarakan dan Nunukan manakala jika ikut laluan darat seperti sekiranya anda datang dari Kota Kinabalu bolehlah memandu sendiri atau naik bas ekspress tetapi jaraknya agak jauh dan mungkin mengambil masa yang agak lama bergantung kepada laluan yang dilalui serta faktor trafik dan cuaca, contohnya kalau naik bas ikut laluan Tawau Sandakan Kota Kinabalu jaraknya lebih kurang 540 km yang akan mengambil masa kira-kira 10 hingga 12 jam perjalanan, manakala kalau ikut laluan Tawau Kalabakan Keningau pula jaraknya adalah sekitar 450 km sahaja dengan masa perjalanan sekitar 8 hingga 10 jam. Keluasan Daerah Tawau adalah 6149 kilometer persegi atau 510 batu persegi dengan kebanyakkan dari bentuk muka buminya yang adalah tanah rata, kawasan berbukit sikit dan dikelilingi Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Selain itu Tawau juga bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia yang terletak dibahagian selatan, dari segi mukim pula terdapat lebih kurang 10 mukim dan 82 buah kampung yang ada di daerah ini dengan semua pentadbirannya berada di bawah kendalian Majlis Perbandaran Tawau termasuklah Daerah Kalabakan walaupun pada tanggal 1 Januari 2019 Kalabakan telah diberikan status daerah penuh namun pentadbirannya masih diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Tawau.


Bandar Tawau
Kredit foto : PLSK

Mengikut sejarah asal kewujudan Tawau tidak dapat dipastikan, namun begitu nama Tawau telah pun ada di dalam peta sejak tahun 1857 tetapi pada masa itu belum ada penempatan tetap penduduk lagi pada masa itu dan selepas tahun 1879 barulah dikatakan terdapat sebuah perkampungan nelayan yang kecil dengan jumlah penduduknya lebih kurang 200 orang saja pada masa itu yang mana kebanyakkan masyarakatnya adalah dari suku kaum Tidung dan Suluk. Sebelum tahun 1890 telah pun ada terdapat penempatan orang Islam dari suku kaum Tidung yang terletak di Kalabakan Tawau yang pada ketika itu berada dibawah naungan Kesultanan Bolongan-Tarakan. Sebelum kedatangan pihak British terdapat beberapa orang tokoh tempatan yang menjadi pemimpin pada beberapa kawasan di Tawau dan mereka sangat berpengaruh serta dihormati penduduk tempatan daerah ini sehinggalah kedatangan British yang mula mentadbir daerah ini dan tidak lagi mengiktiraf kedudukan serta jawatan tokoh tempatan tersebut. Walaupun begitu jasa dan sumbangan bekas tokoh tempatan tersebut terus kekal diingati oleh penduduk Tawau sehingga ke hari ini, antara tokoh pemimpin tempatan pada masa tersebut adalah seperti Imam Sabah, Bujong Seripa, Datu Alun dan beberapa lagi tokoh masyarakat yang lain. 
Pemerintahan British di Tawau bermula sekitar tahun 1898 apabila Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) mula membuat penempatan mereka di Tawau dan seterusnya mewujudkan pentadbiran mereka. Oleh kerana Tawau pada ketika itu berkongsi sempadan dengan Kalimantan yang berada di bawah pemerintahan Belanda, maka pihak British telah membuat beberapa langkah untuk menetapkan kawasan sempadan antara kedua-dua kawasan tersebut agar tidak timbul perselisihan.


Setelah British mengambil alih pentadbiran di Tawau, residen pertama yang dilantik pada masa itu ialah Alexender Rankin Dunlop iaitu pada 1 Mac 1898 yang mana beliau turut dibantu oleh dua tokoh utama penduduk tempatan iaitu Penghulu Puado dan Penghulu Kee Abdullah dan dari ketiga-tiga tokoh ini maka Tawau mula dimajukan dari sebuah perkampungan yang kecil kepada lebih ramai penduduk pada ketika itu. Seperti yang disebutkan di atas tadi Tawau pada waktu ini masih berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia yang berada dibawah pemerintahan Belanda, maka oleh itu pada tahun 1912 satu Suruhanjaya Sempadan telah diwujudkan yang terdiri daripada beberapa pegawai dari kedua pihak iaitu Pihak British dan Pihak Belanda untuk menetapkan kawasan sempadan dan pada 17 Februari 1913 satu laporan telah disiapkan berserta sekali dengan peta sempadan tersebut yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak iaitu antara British dan Belanda yang berada di Tawau. Kemudiannya laporan yang telah siap ditandatangan itu telah dibawa ke London untuk disahkan oleh kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan British dan Belanda dan bermula pada 28 September 1915 telah kawasan sempadan antara Tawau dan Kalimantan telah pun secara rasminya disahkan. Tawau kini semakin berkembang pesat dan Bandar Tawau juga merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan, selain itu Tawau mempunyai Lapangan Terbang yang membuat penerbangan Antarabangsa iatitu penerbangan terus dari Tawau ke Tarakan di Indonesia.


Papan tanda
Kredit foto : Afzan Azam

Jumlah penduduk Tawau pada masa ini dianggarkan sekitar 400 ribu orang dengan penduduknya yang terdiri dari berbagai suku kaum dan tingal bersama di daerah ini seperti Bugis, Bulungan, Bajau Sama, Jawa, Suluk, banjar, Kadazan Dusun, Murut dan beberapa lagi suku kaum lain. Kebanyakkan daripada penduduk di daerah ini adalah beragama Islam. Antara makanan yang begitu popular di daerah ini ialah seperti keropok amplang yang memang sudah cukup terkenal di daerah ini dan Sabah keseluruhannya, selain itu cendol, bakso, gogos (pulut panggang), pecal atau gado-gado juga sudah cukup terkenal di Tawau dan beberapa lagi makanan yang lain. Apa pun yang pastinya orang luar daerah yang datang ke sini sudah semestinya akan membeli dan membawa pulang keropok amplang yang sudah begitu cukup popular, lagi pun keropok ini memang senang dijumpa sebab ia banyak dijual dimana-mana sahaja di daerah ini. Selain dari makanan terkenal, terdapat juga beberapa orang yang mungkin sudah dikenali ramai di negeri ini mahupun seluruh Malaysia tetapi tidak perasan mereka berasal dari Tawau antaranya ialah seperti Faizul Sany (AF10), Firman (AF11), MK (K-Clique), Suharmin Yusuf (pemain bola sepak Sabah), Kamaruddin Mape (penyampai berita tv3) dan beberapa orang lagi yang lain dan berasal dari Tawau, Sabah. Tempat menarik dan terkenal juga ada di Tawau yang boleh anda kunjungi sekiranya ke sini bercuti, berikut di bawah ini adalah antara beberapa tempat menarik yang ada di daerah Tawau buat anda sekiranya berpeluang datang ke Tawau :

Tempat menarik :

01. Taman Bukit Tawau
02. Menara Loceng 1898
03. Air Terjun Gelas
04. Teck Guan Cocoa Museum
05. Balung River Eco Resort
06. Taman Awam Tawau
07. Tawau Hot Spring
08. Columnar Basalt Balung
09. Bukit Bombalai
10. Pantai Inderasabah
11. Bukit Gemok
12. Tugu Peringatan Kalabakan
13. Taman Rekrasi Mambalua


Taman Bukit Tawau
Kredit foto : Sabahparks

Dengan Daerah Tawau yang begitu pesat membangun terdapat banyak kemudahan awam ataupun asas yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan segala urusan penduduk di daerah ini akan berjalan dengan lebih lancar dan menjadikan kehidupan mereka juga menjadi lebih mudah. Kemudahan ini termasuklah beberapa pusat pengajian seperti Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau lebih dikenali dengan nama Maktan Perguruan sebelum ini, Institusi Pendidikan Guru ini terletak 36 km dari Pusat Bandar Tawau dan telah siap dibina pada tahun 2004 dan di sini juga ada dibina Universiti Awam iaitu seperti UITM Kampus Tawau. Memang banyak pembangunan yang telah dilaksanakan di Tawau dan antara kemudahan awam atau kemudahan asas yang ada disediakan di daerah ini untuk kegunaan penduduknya adalah seperti :

Kemudahan :

01. Balai Bomba
02. Balai Polis
03. Hospital Kerajaan
04. Bekalan Elektrik
05. Bekalan Air
06. Institusi Pendidikan
07. Jalan Raya
08. Pengangkuan Awam
09. Jaringan Internet
10. Rankaian Telefon
11. Klinik Desa
12. Klinik Kesihatan
13. Masjid Daerah
14. Perpustakaan Daerah
15. Pejabat Kerajaan
16. Taman Awam
17. Perbankan
18. Sekolah Rendah
19. Sekolah Menengah
20. Lain-lain lagi


UTC
Kredit foto : UTC

Walaupun banyak pembangunan yang telah dilakukan disekitar daerah ini namun Tawau juga digelar sebagai 'Bumi Peladang', ini kerana sebahagian besar dari kawasan tanah dalam Daerah Tawau adalah kawasan perladangan dan kawasan ini banyak ditanam dengan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan koko yang menjadi salah satu penyumbang besar sumber ekonomi Sabah khusunya Daerah Tawau. Penduduk yang tinggal daerah ini juga ramai bekerja di kawasan ladang kelapa sawit yang mana ianya dimiliki oleh beberapa syarikat besar seperti Sime Darby.



Ulasan