Langkau ke kandungan utama

Alpaca Club

Alpaca Club merupakan salah satu tempat menarik di Sabah dan tempat ini terletak di dalam daerah Kundasang, Ranau, iaitu lebih kurang 4 km dari Pekan Kundasang, Sabah.

ALPACA CLUB

Kredit Gambar : alpacaclubsabah

Alpaca Club merupakan salah satu tempat menarik di Kundasang, Ranau, yang mana di sini adalah kawasan yang menempatkan alpaka (alpaca) yang mana biasanya haiwan ini banyak yang berasal dari Amerika Selatan. Alpaka adalah haiwan dari keluarga Lamoid dan bentuknya pula lebih kurang seperti Llama tetapi tidaklah sama 100 peratus. Alpaca Club ni terletak di daerah Kundasang iaitu cuma lebih kurang 4 km atau kira-kira 8 minit perjalanan dari Pekan Kundasang, tapi kalau dari Kota Kinabalu jauh sikit iaitu lebih kurang 96 km atau kira-kira 2 jam perjalanan. Tempat ini lebih kurang 200 meter sahaja dari jalan utama dan berdekatan dengan Desa Dairy Farm di Kundasang dan sering dikunjungi oleh orang ramai ketika musim cuti.

Alpaca Club boleh dikatakan sebagai mini zoo yang dibina khas untuk alpaca dan buat masa ini tidak banyak lagi jumlah haiwan tersebut yang diletakkan di sini iaitu cuma lebih kurang 10 ekor sahaja yang ada. Alpaca yang ada ditempatkan di sini adalah alpaca yang dibawa masuk daripada negara Australia pada tahun 2020. Kepada pencinta haiwan yang berminat dengan haiwan ini bolehlah datang ke sini sebab haiwan ini bukanlah haiwan yang ada di negara ini, jadi inilah peluang anda untuk datang melihat dengan lebih dekat lagi haiwan tersebut. Lokasinya yang berada di Kundasang membolehkan anda datang ke sini bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Kinabalu yang tersergam indah disamping haiwan ini yang comel, jinak dengan bulunya yang tebal. Terdapat beberapa warna bulu haiwan ini ada yang berwarna hitam dan ada juga yang berwarna putih dan lain-lain lagi.


Bila anda datang melawat ke sini, anda akan terlebih dahulu diberikan penerangan atau maklumat mengenai haiwan ini dan dengan maklumat yang disampaikan ianya amat berguna untuk anda atau anak-anak anda kerana bukan sahaja dapat melihat haiwan yang tidak ada di negara ini namun dapat juga ilmu pengetahuan mengenai asal haiwan ini. Sebelum datang ke sini pastikan cuaca dalam keadaan baik sebab jika ketika itu hujan lawatan ke tempat ini akan dibatalkan bagi mengelakkan haiwan ini terkena air hujan atau lumpur, oleh itu rancanglah perjalanan atau cuti anda ke sini dengan sebaik mungkin. Tidak banyak banyak aktiviti yang boleh dilakukan bila ke sini tetapi dapat melihat haiwan ini di depan mata dan dapat bergambar dengan haiwan ini sudah pasti berikan satu kepuasan kepada pengunjung yang datang . 

Di sini ada beberapa kemudahan yang disediakan iaitu seperti laluan konkrit untuk pejalan kaki, tempat duduk, penginapan dan beberapa lagi kemudahan lain. Kalau anda ke sini pakai baju lengan panjang atau bertopi dan juga payung sebab kalau cuaca cerah memang agak panas sedikit sebab tempat ni di atas bukit dan tidak ada pondok untuk berteduh daripada matahari. Di bawah ni ada dua nasihat atau peringatan kepada para pengunjung yang mahu datang ke tempat ini agar tidak timbul masalah apabila anda tang ke tempat ini nanti.

Peringatan

01 Jika alpaca ini terasa terancamm mereka akan meludah atau menendang, jadi cuba elakkan berada di depan atau belakang semasa anda berada dekat dengan haiwan ini.

02. Haiwan ini tidak suka dipegang dengan cara kasar terutamanya pada bahagian telinga dan ekor, jadi jangan berkasar ya dengan haiwan ini.

Kepada yang mahu datang ke sini boleh memandu kereta sendiri terus ke tempat ini, tapi jika anda tidak ada kereta boleh juga naik bas yang menuju ke Kundasang atau Ranau, kemudian boleh sewa e-hailing untuk ke sini dan pastikan anda beritahu nama tempat tersebut kepada pemandu sebab kadang kala peta lokasi pun ada yang salah.

Waktu operasi :
Setiap hari: 9 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Dewasa : RM15.00
Kanak-kanak : RM10.00
Bayi : RM2.00

Untuk sebarang pertanyaan atau pun maklumat lebih lanjut boleh menghubungi pihak pengurusan Alpaca Club Sabah seperti alamat di bawah ini :

Alamat : 
Alpaca Club Sabah,
Jalan Cinta Mata Mesilou,
89308 Kundasang, 
Sabah, Malaysia.
Telefon : 011-5868 3622
Website : facebook.com/alpacaclubsabah

Ulasan