Langkau ke kandungan utama

Batu Gong Tambunan

Batu Gong merupakan salah sebuah tempat menarik di Sabah. Batu Gong ini adalah batu yang dapat menghasilkan bunyi seperti gong dan terletak lebih kurang 7 km dari pekan Tambunan, Sabah.

BATU GONG TAMBUNAN


Batu Gong merupakan salah satu tempat menarik di Tambunan yang boleh dikunjung oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Batu ini terletak di Kampung Solibog iaitu lebih kurang 7 km dari Pekan Tambunan. Batu Gong telah ditemui sejak pada tahun 1995 lagi berhampiran dengan Sungai Pegalan Tambunan yang kemudiannya diangkat menggunakan jentera dengan bantuan penduduk kampung untuk ditempatkan di tempat yang lebih sesuai.

Sebuah pondok juga telah dibina untuk menempatkan batu ini dan apa yang menariknya tentang batu ini adalah, apabila batu ini diketuk atau dipalu ia akan mengeluarkan bunyi yang bagus tanpa cacat celah seakan-akan alat muzik gong yang sedang dimainkan. Cuma pengunjung dinasihatkan agar mengetuk atau memalu batu ini dengan tertib agar ia sentiasa terjaga dengan baik.


Batu Gong adalah antara tempat yang menjadi tumpuan di Tambunan pada masa kini dan telah ramai orang yang berkunjung ke batu ini untuk melihat dan mencuba sendiri terutamanya dari kalangan pelajar, ahli-ahli sejarah, dan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Pembinaan tapak baru untuk batu ini juga sedang dijalankan bagi dengan kos sebanyak RM20,000 di bawah peruntukan khas Sabah New Deal iaitu kira-kira 100 meter dari tapak asal sekarang ini. Dengan adanya tapak baru nanti ia akan dapat memudahkan lagi pengunjung untuk datang ke sini.

Untuk ke sini, adalah lebih baik untuk pengunjung menaiki kereta sendiri atau kalau anda mempunyai lesen memandu bolehlah cuba menyewa kenderaan agar memudahkan lagi perjalanan anda ke sini dan pulang semula ke tempat anda.

Waktu operasi :
Isnin - Sabtu : 8 pagi - 5 petang
Ahad : Tutup

Bayaran masuk :
Dewasa 18 tahun ke atas : RM4.00
Kanak-kanak 17 tahun ke bawah : RM2.00
(harga ini mungkin berubah mengikut keadaan)

Nota :
Pengunjung juga boleh memasukkan wang/duit ke dalam tabung tin (jika anda mahu) yang disediakan di situ sebagai tanda penghargaan.

Ulasan