Langkau ke kandungan utama

Buah Salak

Buah Salak merupakan salah satu buah-buahan tempatan negeri Sabah. Buah Salak juga adalah antara buah-buahan yang sangat popular dan diminati oleh penduduk Negeri Sabah.

BUAH SALAK



Buah Salak adalah sejenis buah-buahan yang tergolong dalam keluarga sawit. Buah ini merupakan salah satu buah-buahan tempatan Sabah dan ia sangat popular dikalangan penduduk negeri ini, terutamanya mereka yang tinggal di bahagian Pantai Timur seperti Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Buah ini banyak di jual di pasar besar atau pasar tamu, pasar buahan atau pasar minggu di seluruh negeri Sabah. 

Kulit buah ini ada sedikit keras dan tajam, oleh itu untuk membuka kulit buah ini, ia perlu terlebih dahulu dikupas dari bahagian hujungnya yang mana lebih lembut. Rasanya memang sangat manis dan biasanya buah ini mempunyai 3 ulas isi di dalam sebiji buah yang mana 2 daripadanya adalah bersaiz lebih besar berbanding 1 ulas lagi yang kelihatan lebih kecil. Pokok buah ini tidak tumbuh dengan tinggi iaitu cuma dengan ketinggian 2 hingga 5 meter sahaja.


Terdapat beberapa jenis Buah Salak yang terdapat di Sabah dan yang paling popular dikalangan masyakarat Sabah adalah Buah Salak Madu kerana isinya yang lebih manis dan ia juga merupakan variasi buah yang banyak di tanam dan paling mudah diperolehi di Sabah terutamanya di daerah Sandakan.

Apabila buah ini sudah dituai, ianya perlu dijaga dengan sebaiknya agar tidak mudah rosak. Sekiranya buah ini tidak dijaga dengan baik ia hanya akan dapat bertahan dalam waktu yang singkat saja kemudiannya rosak dengan kesan buruk di bahagian hujungnya dan akan mengeluarkan bau busuk.

Buah ini juga dikatakan mempunyai beberapa khasiat untuk kesihatan bagi orang yang memakannya. Antara khasiat Buah Salak adalah seperti :

1. Mata menjadi lebih sihat ini kerana buah ini mengandungi bahan iaitu Beta Carotene tinggi yang berfungsi untuk mengurangkan stres pada mata apabila terkena cahaya yang berlebih. Selain itu Vitamin A yang ada pada buah ini juga dapat membantu untuk kesihatan mata.

2. Buah ini dikatakan mampu untuk mengurangkan berat badan kerana buah ini juga mengandungi kalsium dan karbohidrat yang dapat membantu untuk lebih mudah terasa kenyang apabila makan.

3. Buah ini mengandungi aktioksida tinggi dan element flavonoid yang akan dapat membantu untuk meningkatkan imuniti orang yang memakannya.

4. Buah Salak mengandungi Pterostilbene yang akan berfungsi atau bertindak sebagai bahan untuk mengurangkan kandungan gula dalam badan.

Nota :
Walaupun mempunyai banyak khasiat tapi anda tidak digalakkan juga untuk memakan buah ini secara berlebihan atau pun terlalu banyak bagi mengelakkan kesan yang lain.

Ulasan