Bukit Durian Keningau merupakan salah satu tempat menarik
di Sabah untuk anda para peminat aktiviti mendaki, berkhemah dan juga penggemar buah durian tidak kira penduduk tempatan negeri ini atau pun pelancong dari dalam dan luar negara yang datang melancong atau bercuti ke negeri ini khususnya ke daerah Keningau. Bukit ni terletak di dalam daerah Keningau iaitu lebih kurang 10 km atau kira-kira 17 minit perjalanan dari Pusat Bandar Keningau, Sabah.
Bukit Durian Keningau merupakan salah satu tempat menarik di
Keningau yang patut dikunjungi oleh orang ramai terutamanya mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki, berkhemah dan buat mereka yang suka makan buah durian selain itu bukit ini dianggap sebagai salah satu tempat permata tersebunyi yang terdapat di dalam daerah Keningau. Lokasi bukit ini terletak tidak jauh juga dari pusat bandar iaitu ia lebih kurang 10 km atau kira-kira 17 minit perjalanan dari Pusat Bandar Keningau Sabah, manakala bagi anda yang datang dari luar daerah contohnya Kota Kinabalu jaraknya adalah lebih kurang 109 km atau kira-kira 1 jam 55 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu. Bukit ini sering menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari sekitar daerah Keningau, daerah lain di negeri ini dan juga ada yang datang dari luar negara seperti Brunei yang mana biasanya datang ketika hujung minggu atau ketika ada cuti umum, ada yang datang untuk lawatan sehari sahaja atau day trip dan ada juga yang menginap dan bermalam di tempat ini sama ada di cabin atau dengan berkhemah. Mungkin belum berapa ramai lagi yang tahu akan adanya bukit ini tetapi bagi penduduk sekitar daerah ini sudah semestinya ramai yang sudah tahu jadi tidak hairanlah tempat ini selalu dipenuhi pengunjung yang ke sini untuk melihat sendiri panorama keindahan pemandangan dari puncak bukit ini. Nama bukit durian ni bukanlah diambil sebab ada pokok durian di atas puncak bukit tetapi pokok durian memang ada cuma pokok tu terletak di bahagian bawah dan menurut pemilik bukit ini nama bukit pun diambil secara kebetulan sahaja yang mana ketika mereka dalam perjalanan mendaki ke bukit ni ada buah durian yang jatuh dari pokok, jadi sebab itulah nama bukit ini telah di pilih sebagai Bukit Durian.
Tidak kisahlah bagaimananama bukit ini diperolehi, yang penting ialah bukit ini sememangnya sangat menarik sebab pemandangan yang disajikan adalah cantik dan menawan tidak kira pada waktu siang atau pun pada waktu malam, tetapi kalau malam rasanya lagi nampak mempersonakan sebab nampak keindahan Bandar Keningau yang dipenuhi dengan kilauan lampu. Bukit ini berketinggian sekitar 600 meter dari paras laut dan untuk naik ke puncak bukit anda boleh berjalan kaki dari bawah ataupun boleh juga memandu kenderaan sendiri terus sampai ke puncak, kalau dulu awal-awal pembukaan bukit ni kena pakai kereta pacuan empat roda tetapi sekarang jalannya sudah dibuat penambahbaikan walaupun jalan tu masih gravel, namun boleh pandu kereta kecil macam kancil pun rasanya dapat juga sampai ke atas puncak bukit, tetapi kalau yang memang peminat mendaki boleh saja pilih untuk berjalan kaki atau mendaki ke bukit ini, lagi pun laluannya mudah dan boleh santai-santai berjalan kaki bersama keluarga atau rakan-rakan sambil melihat keindahan pemandangan termasuk beberapa kebun buah-buahan yang ada di sekitar bawah bukit ini termasuklah buah durian. Tidak kira apa pun cara anda naik ke bukit ini sama ada berjalan kaki mendaki atau menaiki kenderaan terus ke puncak bukit yang penting ialah anda dapat datang ke sini dan menikmati percutian yang menarik untuk dijadikan kenangan, bagi yang belum pernah ke sini atau pun yang sudah pernah datang tetapi ingin ingin mencari tempat percutian bolehlah pertimbangkan untuk menjadikan Bukit Durian ini sebagai lokasi percutian anda seterusnya sekiranya ada kelapangan masa bersama keluarga atau rakan, di sini pun suasananya aman dan tenang yang mana akan dapat memberikan peluang kepada anda untuk berehat dalam suasana yang lebih aman.
Tidak ada sebarang bayarang masuk yang dikenakan untuk mendaki atau menggunakan kereta naik ke bukit ni, manakala sekiranya anda ke sini untuk bermalam sama ada berkhemah atau pun menggunakan cabin akan ada bayaran yang dikenakan tetapi tidaklah terlalu mahal. Anda tidak perlu risau bila ke sini sebab terdapat juga kemudahan yang telah disediakan tidak kira anda datang untuk lawatan sehari atau datang bermalam dalam beberapa hari, antara kemudahan yang disediakan ialah tempat untuk menginap sama ada menggunakan cabin atau berkhemah di tapak perkhemahan yang telah disediakan tetapi jika mahu ke sini untuk bermalam sebaiknya membuat tempahan terlebih dahulu sebab tempat ada terhad jadi sekiranya anda menempah lebih awal dapatlah pihak pengurusan di sini memastikan adanya tempat atau kekosongan pada waktu dan tarikh yang anda pilih sebab di sini memang selalu penuh jadi jangan lupa untuk menempah lebih awal. Untuk yang berkhemah tu pastikan anda membawa khemah sendiri dari rumah sebab tidak ada khemah yang disediakan untuk disewa buat masa ini. Memang seronok bila berkhemah di sini sebab pemandangannya sangat menakjubkan lebih-lebih lagi pada waktu malam dan kalau cuaca malam terang maka akan menyerikan lagi pemandangan dari puncak bukit ini. Kemudahan dapur gas juga ada disediakan di sini bagi anda yang mahu memasak dengan menggunakan dapur gas tersebut dengan jumlah bayaran tertentu mengikut saiz dapur gas yang anda sewa sama ada besar atau yang kecil, tetapi sekiranya anda lebih suka memasak dengan cara BBQ boleh gunakan kemudahan peralatan BBQ yang telah disediakan secara percuma cumanya ia tidak disertakan dengan arang, tapi anda tidak perlu risau sebab arang tu anda boleh dibeli di sini. Peralatan lain seperti periuk nasi, gelas, sudu, piring, pisau, cerek dan beberapa kemudahan untuk masak dan makan juga turut ada disediakan agar lebih memudahkan para pengunjung yang datang
Kemudahan lain yang ada disediakan ialah air yang mana sumber air tersebut adalah diambil dari air bukit yang boleh digunakan untuk mandi, buang air, dan bermacam lagi keperluan lain, jadi anda tidak perlu risau tentang air sekiranya bermalam di sini sebab kemudahan tandas dan bilik mandi turut ada disediakan. Kafe juga telah dibina di sini untuk kemudahan para pengunjung yang datang untuk lawatan sehari atau bermalam dan mungkin tidak ada membawa makanan sendiri, jadi bolehlah menjamu selera di kafe yang ada ini, terdapat pelbagai menu yang disediakan tetapi yang selalu menjadi tarikan orang ramai ialah seperti abc musangking, abc jelly, soto ayam, jus avocado, dan yang paling menarik ialah boleh makan buah durian juga di sini, tapi yang menggunakan produk durian atau avocado ikut musim juga sebab pokok-pokok tersebut bukan sentiasa berbuah sebaliknya ianya mengikut musim. Oleh itu kalau anda bercadang ke sini untuk merasa durian tersebut boleh juga menghubungi pihak pengurusan di sini terlebih dahulu untuk bertanya sekiranya sekarang ini ada durian disediakan. Selain itu terdapat juga air mineral dalam botol yang bersaiz kecil dan besar yang dijual di sini yang boleh anda beli untuk kegunaan apabila berkhemah di tempat ini. Bagi yang memandu kenderaan sendiri ke puncak bukit ini terutamanya mungkin mereka yang datang daripada jauh iaitu seperti dari luar daerah Keningau, tidak perlulah risau sebab di sini pun ada juga kawasan tempat letak kereta yang luas disediakan kepada anda secara percuma. Bila bercadang datang ke sini untuk berkhemah dan bermalam pastikan anda sediakan beberapa keperluan yang dirasakan penting untuk dibawa bagi memudahkan anda apabila sudah sampai ke bukit ini nanti, di bawah ini adalah antara barangan yang rasanya perlu di bawa bila ke sini, jika ada tidak tersenarai tetapi anda rasa ingin membawa bolehlah bawa sahaja, antara barang keperluan tersebut ialah seperti berikut :
Barang perlu bawa :
01. Khemah sendiri
02. Makanan/minuman
03. Makanan basah (bbq)
04. Pakaian lebih
05. Beras masak nasi
06. Baju sejuk tebal
07. Beg tidur kalis air
08. Selimut tebal
09. Pemetik api
10. Lampu suluh
11. Kamera/video kamera
12. Duit poket
13. Powerbank
14. Peti kecemasan
15. Tali (jika perlu)
Untuk yang muslim mungkin boleh bawa keperluan tambahan seperti sejadah dan telekung bagi wanita untuk menunaikan solat, kompas juga boleh dibawa sekiranya perlu bagi memudahkan anda melihat kedudukan kiblat dengan lebih jelas dan yang penting sudah tentulah pakaian yang sesuai terutama sekali bagi muslimah sebab kadang angin di atas bukit ini boleh menjadi kuat, jadi sangat penting untuk memakai pakaian yang lebih sesuai. Tidak pasti sekiranya sekarang ini sudah ada surau yang disediakan atau tidak ada, tetapi jika anda berkhemah bolehlah menggunakan khemah untuk bersolat.
Bagi sesiapa yang mahu ke bukit ini boleh memilih untuk menaiki bas yang menuju ke Keningau, lepas itu sewa perkhidmatan e-hailing untuk menghantar anda terus ke sini tapi harga tambang mungkin akan mahal sikit sebab perjalanan jauh sikit dan naik bukit lagi, oleh itu adalah lebih baik sekiranya anda memandu kenderaan sendiri ke bukit ini sebab ia akan lebih memudahkan perjalanan pergi dan balik anda dari bukit ini dan juga untuk mengangkut barang-barang keperluan lain terutamanya bagi mereka yang ke sini untuk berkhemah dan bermalam dalam beberapa hari.
Waktu operasi :
Isnin : Cuti
Selasa - Jumaat : 10 pagi - 5 petang
Sabtu - Ahad : 6 pagi - 6 petang
Cuti umum : Hubungi pihak di sini
Untuk sebarang maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan bolehlah menghungi pihak pengurusan Bukit Durian Keningau ini di alamat seperti di bawah :
Hubungi :
Bukit Durian Keningau
Kg Penindukan Agudon,
89000, Kenigau,
Sabah, Malaysia.
Telefon : +6011 2630 3532
Web Fb : Bukit Durian
Kg Penindukan Agudon,
89000, Kenigau,
Sabah, Malaysia.
Telefon : +6011 2630 3532
Web Fb : Bukit Durian
Ulasan
Catat Ulasan