Langkau ke kandungan utama

Bukit Panchang Tinagat

Bukit Panchang Tinagat merupakan salah satu tempat menarik di Negeri Sabah untuk aktiviti mendaki khususnya buat mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki bukit yang agak curam namun tidaklah terlalu mencabar dan sesuai buat mereka yang mungkin baru belajar mendaki. Bukit ini juga dikenali dengan beberapa nama iaitu seperti Bukit Tinagat dan Bukit Kinabutan, nama bukit ini disebut sebagai Bukit Tinagat kerana lokasinya yang berada di dalam kawasan Hutan Simpan Tinagat dan hutan ini terletak dalam daerah Tawau iaitu di Batu 6 Jalan Apas, lebih kurang 11 km atau pun kira-kira 18 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandar Tawau, Sabah.

BUKIT PANCHANG






Bukit Panchang Tinagat merupakan salah satu tempat menarik dalam daerah Tawau boleh anda datang kunjungi khususnya bagi mereka yang sangat berminat dengan aktiviti mendaki bukit sambil melihat keindahan alam semulajadi dan pemandangan Bandar Tawau dari bukit atu kawasan tanah tinggi. Bukit ini juga dikenali sebagai Bukit Tinagat dan Bukit Kinabutan dan ia terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Tinagat iaitu di Batu 6, Jalan Apas Tawau lebih kurang 11 km atau kira-kira 18 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandar Tawau, manakala kalau dari luar daerah seperti dari Pusat Bandar Kota Kinabalu pula jaraknya adalah sekitar 458 km iaitu lebih kurang mengambil masa kira-kira 7 jam 40 minit perjalanan menaiki kenderaan, tapi kalau mahu mudah dan cepat boleh naik kapal terbang dari Kota Kinabalu ke Tawau kemudian boleh sewa kereta dari sini untuk ke lokasi bukit ini. Hutan Simpan Tinagat ini berada di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Sabah dan hutan ini adalah hutan simpan kelas pertama yang mana ianya bermaksud dilindungi sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perhutanan Sabah. Sebelum ini orang ramai boleh masuk secara percuma saja, namun kini anda yang mahu mahu ke sini atau mendaki bukit ini perlulah melalui Stesen Perhutanan Sabah yang ada di sini dan membayar bayaran masuk terlebih dahulu tapi jangan risau sebab bayaran masuk pun bukanlah mahal lagi pun dengan bayaran tu mungkin akan dapat membantu untuk pihak berkenaan membuat penambahbaikan laluan dan kemudahan untuk pendakian. Untuk makluman anda bukit ini agak curam namun tidak terlalu sukar untuk membuat aktiviti pendakian ke puncak bukit, jadi ianya sesuai bagi anda yang mungkin baru belajar aktiviti mendaki bukit khususnya yang tinggal disekitar daerah Tawau sebelum bercadang untuk mendaki ke puncak yang lebih tinggi seperti Gunung Kinabalu. Selain itu apa menariknya di sini ialah pada kaki bukit ini terdapat sebuah rumah api yang telah dibina sejak zaman British lagi iaitu pada tahun 1916, namun buat masa ini rumah api tersebut masih lagi kawasan yang dilarang untuk masuk atau dikunjungi oleh orang ramai.

Bukit Panchang Tinagat mempunyai ketinggian 393 meter dari aras laut dan jarak laluan pendakian ke puncak bukit ini adalah sekitar 1080 meter untuk sehala dan seperti yang dinyatakan di atas tadi bukit ini berbentuk curam namun ianya mudah untuk anda membuat pendakian lagi pun terdapat beberapa kemudahan yang diletakkan sepanjang laluan mendaki untuk memudahkan anda antaranya kemudahan yang ada adalah seperti tali yang diletakkan untuk anda berpaut atau pegang di kawasan yang mungkin agak curam dan memerlukan tali tersebut agar mudah untuk naik dan turun bukit. Selain itu terdapat juga papan tanda dan penunjuk untuk memudahkan anda mengikut laluan tersebut termasuklah papan tanda yang menerangkan jenis-jenis tumbuhan yang ada di kawasan hutan berkenaan dan mungkin juga terletak berhampiran dengan laluan pendakian. Bukit ini adalah bekas gunung berapi dan sudah tentu tanah yang ada di sini adalah subur jadi tidak hairanlah tumbuhan yang dalam hutan ini dapat tumbuh dengan subur dan sihat, bila anda berada di sini banyak jenis tumbuhan yang boleh anda lihat dan ianya ditanda dengan papan tanda yang menunjukkan nama jenis tumbuhan tersebut, ada nama tumbuhan tu di tulis dalam Bahasa Melayu dan juga beberapa bahasa etnik di Sabah seperti Bajau, Dusun, Brunei, iban dan lain-lain lagi. Apa pun perlu ambil perhatian dan waspada apabila anda melihat papan tanda yang memaparkan jenis tumbuhan iaitu Semecarpus Glaucus atau Rengas dalam Bahasa Melayu di hutan ini yang mana anda mesti mengelak daripada memegang atau menyentuhnya sebab tumbuhan tersebut boleh menyebabkan kegatalan atau ruam pada kulit anda jadi pastikan anda patuhi arahan yang diberikan oleh anda ketika mendaki. Sebelum terlupa sekarang ini
anda wajib menyewa atau mengupah seorang pemandu jalan atau guide dari Jabatan Perhutanan ketika anda mendaftar masuk, bayaran untuk guide adalah RM50 untuk 5 orang pendaki, jadi sebaiknya datang ke sini dalam satu kumpulan yang ramai kalau dapat lima orang lagi bagus sebab bolehlah anda kongsi dengan rakan seorang RM10 untuk bayaran guide tersebut dan bayaran guide ini tidak termasuk dengan bayaran masuk.


Di tempat pendaftaran masuk terdapat beberapa kemudahan disediakan seperti pondok rehat dan juga tandas, jadi siapa yang mahu menggunakan tandas bolehlah gunakannya sebelum memulakan mendaki sebab di atas puncak bukit tidak ada tandas, jadi sebaiknya anda buang air di tandas ini sebelum anda mendaki di bukit berkenaan. Ingat ya, mesti membuat pendaftaran dan membayar bayaran masuk ke hutan ini sebab sekiranya anda tidak berbuat demikian maka anda akan dianggap sebagai memasuki kawasan hutan simpan ini tanpa kebenaran yang boleh menyebabkan anda di denda atau di penjara, atau kedua-duanya sekali, jadi pastikan anda masuk melalui Stesen Jabatan Perhutanan yang ada di sini. Terdapat juga beberapa kemudahan tempat duduk yang telah disediakan di lokasi tertentu ketika anda melalui laluan mendaki di hutan ini yang membolehkan anda duduk berehat sekiranya terasa penat dan boleh singgah rehat sambil minum air dahulu sebelum menyambung semula pendakian ke puncak bukit ini. Apabila anda sudah berada di puncak terdapat juga kemudahan binaan atau platform papan yang dibina untuk memudahkan anda berdiri di atas platform ini sambil mengambil gambar dan juga melihat keindahan pemandangan yang cukup menawan dari puncak bukit ini yang mana dari atas puncak bukit ini anda boleh melihat indahnya pemandangan Bandar Tawau, lautan celebs dan beberapa pulau yang ada terdapat di seberang laut berkenaan seperti Pulau Sebatik dan beberapa lagi pemandangan lain yang boleh dilihat dari sini. Memang sangat berbaloi bila dapat mendaki ke puncak bukit yang menyajikan
satu keindahan pemandangan yang cukup luar biasa dan di atas puncak ini juga anda berpeluang untuk melihat rumah api seperti yang telah dinyatakan di atas tadi yang mana rumah api ini adalah antara bangunan bersejarah yang terdapat di bukit ini yang telah dibina seawal tahun 1900an lagi iaitu ketika zaman British. Semasa anda berada di atas puncak bukit terutamanya ketika berdiri di platform binaan kayu berkenaan perlulah sentiasa berhati-hati walaupun ianya kukuh tetapi perlu juga berhati-hati dan kalau boleh jangan terlalu ramai betul di atas platform tersebut dalam satu masa, ini untuk keselamatan anda dan juga kumpulan anda ketika berada di sini.

Di atas puncak bukit ini juga terdapat sebuah batu gunung berapi yang besar dan masih wujud sehingga sekarang, selain itu di puncak ini tidak ada sebarang pokok besar yang boleh anda jadikan tempat untuk berteduh sekiranya cuaca panas, oleh itu sebaiknya bila mendaki ke atas ni pakailah tutup kepala seperti topi terutamanya bila anda mendaki dalam keadaan cuaca yang agak panas tapi kalau cuaca tidak panas tidak pakai pun tidak menjadi masalah. Bila berada di puncak dan terasa lapar anda boleh juga makan terlebih dahulu semula memulakan perjalanan turun dari bukit, tetapi pastikan segala sampah atau sisa makanan tu janganlah dibuang di atas bukit ini, sebaliknya bawa turun sampah anda dan buang di tong sampah yang telah disediakan di kaki bukit nanti. Untuk mendaki bukit sebaiknya anda membuat beberapa persiapan agar lebih memudahkan anda ketika mendaki nanti, walaupun pendakian ke puncak bukit ini tidaklah terlalu
sukar tetapi perlu juga anda buat persiapan seperti apa pakaian yang perlu di pakai dan apa barang yang yang perlu di bawa. Pastikan bawa barang yang penting saja dan jangan membawa terlalu banyak alat atau barang apabila mendaki sebab ianya akan menyukarkan anda berjalan dan membuat pendakian ke puncak bukit apabila terlalu banyak barang, kalau datang dalam satu kumpulan yang ramai bolehlah agihkan tugas untuk barang agar lebih memudahkan dan tidak terlalu berat beg yang di bawa. Di bawah ini adalah antara beberapa barangan yang rasanya mungkin boleh anda bawa sekiranya bercadang untuk ke sini dan mendaki ke puncak bukit, senarai ini adalah cadangan sahaja kalau anda rasa ada lagi keperluan lain yang dirasakan perlu untuk di bawa maka bolehlah bawa agar ianya dapat memudahkan anda membuat pendakian nanti dan yang penting pakaian mendaki tu pakai yang sesuai :

Barang di bawa :

01. Pakian yang sesuai
02. Kasut yang sesuai
03. Pakai seluar panjang
04. Bawa makanan
05. Air minuman
06. Tongkat jalan
07. Tali (jika perlu)
08. Baju hujan (jika perlu)
09. Penghalau nyamuk
10. Kamera/video kamera
11. Tisu/tuala keringat
12. Sarung tangan
13. Duit poket
14. Makanan ringan
15. Pakai stokin
16. Beg galas
17. Windbreaker
18. Berdoa

Bagi anda yang mahu datang ke Bukit Panchang Tinagat boleh memandu kenderaan sendiri ke sini yang terletak di Batu 6 Jalan Apas, Tawau dan anda akan melihat papan tanda berulis Selamat Datang Ke Taman Alam Tinagat Bukit Panchang dan di sini anda boleh meletakkan kenderaan di tepi jalan dan pastikan tidak menghalang laluan jalan tersebut, kemudian boleh berjalan kaki ke Stesen Jabatan Perhutanan untuk daftar dan membuat pembayaran masuk. Anda boleh juga menaiki bas yang melaui jalan ini tetapi ianya akan mengambil masa untuk menunggu penumpang penuh kecualilah kumpulan anda ramai dan dapat penuhi bas tersebut jadi tidak perlu tunggu lama untuk bas tersebut jalan, tetapi mungkin agak sukar untuk pulang semula nanti sebab kena tunggu bas lagi, jadi sebaiknya anda memandu kenderaan sendiri ke sini lagi pun dapat juga pergi ke tempat menarik lain yang ada di Tawau sekiranya anda ada kereta sendiri.

Bayaran masuk :
RM5.00 : Seorang (warganegara)
RM15.00 : Seorang (warga asing)

Bayaran guide (wajib) :
RM50.00 : 5 orang pendaki

Untuk sebarang pertanyaan atau pun maklumat lebih lanjut boleh menghubungi terus pihak pengurusan Bukit Panchang Tinagat :

Hubungi :
Jabatan Perhutanan Sabah (Tawau)
Beg Berkunci 13,
91009, Tawau,
Sabah, Malaysia.
Telefon : +6089 761 833
Telefon : +6089 761 863


Ulasan