Langkau ke kandungan utama

Fish Spa Bombon Kg. Marakau

Fish Spa Bombon Kg. Marakau merupakan salah sebuah tempat menarik di Sabah. Fish Spa Bombon ini adalah kawasan tagal (dilarang menangkap ikan) dan terletak di dalam daerah Ranau, Sabah.

FISH SPA BOMBON KG. MARAKAU


Fish Spa Bombon Kg. Marakau merupakan salah satu tempat menarik di Ranau yang boleh dikunjung oleh pelancong dari dalam dan luar negara yang datang melancong ke Sabah. Fish Spa ini terletak di Kampung Marakau iaitu lebih kurang 10 minit perjalanan dari Pekan Ranau atau 2 jam 30 minit perjalanan dari Kota Kinabalu. Kawasan ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2014. Nama Bombon yang digunakan adalah sama seperti tempat lain yang menggunakan perkataan Tagal yang bermaksud kawasan yang tidak dibenarkan memancing atau menangkap ikan.

Lokasi Fish Spa ini adalah di Sungai Mansahaban yang mana terdapat banyak jenis ikan yang ada di sini, dan kebanyakkannya adalah ikan jenis koi yang berwarna warni. Dengan air sungai ini yang begitu jernih ia membolehkan ikan koi tersebut dapat dilihat dengan jelas berenang di dalam air sungai, Ini sekaligus memberikan pengunjung peluang untuk merakan atau mengambil gambar ikan-ikan tersebut yang akan berkumpul berdekatan kaki ketika atau tangan ketika diberikan makan.


Yang menariknya apabila pengunjung memasukkan kaki ke dalam sungai ini, ikan-ikan koi tersebut akan datang ke kaki dan ini menyebabkan anda akan merasakan seperti sedang di urut (spa). Tetapi pengunjung diingatkan supaya perlahan-lahan dan berhati-hati ketika masuk ke dalam sungai agar anda tidak jauh tergelincir kerana keadaan batu di sungai biasanya adalah licin, ia juga bagi mengelakkan anda daripada terpijak ikan yang berenang di situ.

Selepas mendaftar masuk pengunjung akan diberikan percuma satu bungkus baja makanan ikan (kalau mahu lebih boleh beli) yang boleh anda gunakan untuk memberi makan pada ikan di sungai. Sebelum masuk ke sungai anda perlu terlebih dahulu menukar selipar atau kasut anda dan memakai selipar yang telah disediakan oleh pihak taman ini. Lepas itu anda akan ditujuk ajar cara yang betul untuk memberi makanan kepada ikan tersebut.

Selain melakukan aktiviti dengan ikan di sungai, anda juga boleh melawat rusa di taman ini dan memberinya makanan. Sekiranya belum puas berjalan anda boleh ke Kampung Marakau untuk melakukan aktiviti mendaki ke Bukit Dompurungan yang setinggi 901 meter sambil melihat pemandangan Gunung Kinabalu dan melihat pelbagai jenis bunga termasuk bunga Rafflesia, dan jika bernasib atau tepat masanya mungkin boleh melihat bunga tersebut mekar.

Untuk ke sini, kalau dari Kota Kinabalu bolej juga naik bas, tapi lebih baik untuk pengunjung atau pelancong menaiki kereta sendiri atau kalau anda ada lesen memandu bolehlah cuba menyewa kenderaan agar memudahkan lagi perjalanan anda ke sini dan pulang semula ke tempat anda dan boleh juga pergi melawat tempat menarik yang lain sekitar daerah Ranau yang sudah pasti sememangnya terlalu banyak.

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Warganegara dewasa : RM5.00
Bukan warganegara dewasa : RM10.00
Kanak-kanak : RM3.00
Makanan ikan : Percuma 1 pek (RM1.00 untuk tambah 1 pek)

Nota :
Pengunjung adalah dinasihatkan agar tidak membuang sampah merata-rata. Bekas plastik makanan ikan yang sudah habis harus dibuang di tong sampah yang disediakan.

Ulasan