Langkau ke kandungan utama

Humble Hobbit Home

Humble Hobbit Home merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Tempat menarik ini terletak di dalam daerah Kundasang iaitu lebih kurang 1.5 km dari Pekan Kundasang, Ranau, Sabah.

HUMBLE HOBBIT HOME

Kredit Gambar : humblehobbithome

Humble Hobbit Home adalah salah satu tempat menarik di daerah Kundasang, Ranau. Tempat ini ialah sebuah tempat penginapan yang mempunyai reka bentuk unik yang mana reka bentuk penginapan ini adalah seperti dalam filem Rumah Hobbit atau Rumah Lord Of The Ring dan ia terletak di tepi atau lereng bukit dengan pemandangan yang cukup menawan. Rumah penginapan ini terletak di Kampung Sinisian, Kundasang, Ranau, iaitu cuma lebih kurang 1.5 km atau kira-kira 5 minit perjalanan saja dari Pekan Kundasang, kalau dari Bandar Ranau pula lebih kurang 15 km atau kira-kira 20 minit perjalanan dan lebih kurang 95 km atau kira-kira 2 jam perjalanan jika dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu. Penginapan ini adalah amat sesuai kepada mereka yang berminat dan ingin mencuba untuk tinggal di rumah yang unik seperti ini.

Humble Hobbit Home ini boleh dikira masih baru lagi sebab penginapan ini baru dibina pada tahun 2019, dan walaupun ianya masih baru tetapi tempat ini sudah menjadi salah satu tarikan kepada para pelancong yang mencari penginapan disekitar daerah Kundasang lebih-lebih lagi daripada penginapan ini anda boleh melihat keindahan Gunung Kinabalu yang tersergam indah. Jadi anda boleh duduk santai sambil minum kopi dan melihat pemandangan yang indah. Kebanyakkan bahan dan juga peralatan yang di bina dalam serta luar rumah ini adalah menggunakan bahan alam semulajadi seperti kayu. Penginapan ini mungkin agak kecil sikit dan ruangan dalamnya juga tidak begitu luas sebab ia dibina dengan berkonsepkan rumah orang kerdil seperti yang terdapat dalam filem The Hobbit dan Lord Of The Ring, tetapi anda tidak perlu risau sebab sesiapa pun sebenarnya boleh juga masuk tidak kira berapa pun ketinggian anda
.


Biasanya dalam satu rumah Hobbit hanya dapat muat untuk empat orang sahaja dan ada juga unit yang khas untuk pasangan yang baru kahwin dan berbulan madu di penginapan ini. Di rumah ini juga ada terdapat mini pantri untuk tempat menyediakan makanan dan terdapat juga satu taman yang dibuat dari batu yang terletak diluar untuk para tetamu memasang unggung api bagi memanaskan badan ketika sejuk seperti pada waktu malam. Selain itu terdapat juga satu kawasan diluar rumah yang disediakan khas untuk aktiviti memasak barbeque dan jika anda mahu buat bbq bolehlah bawa makanan basah yang mahu dimasak dan pinjam peralatan bbq daripada pihak perngurusan di sini. Memang menarik bila anda datang ke sini menginap sebab cuacanya yang sejuk dan segar serta boleh memasak bbq dan juga memasang unggun api sambil makan malam dan melihat keindahan pemandangan pada waktu malam, jika cuaca terang pada malam itu dengan sinaran bulan dan bintang mungkin boleh melihat pemandangan Gunung Kinabalu pada waktu malam.

Terdapat juga beberapa kemudahan yang telah disediakan oleh Humble Hobbit Home ini untuk para pengunjung yang datang menginap di sini, dan kemudahan yang disediakan adalah bertujuan untuk memastikan tetamu mendapat keselesaan serta kepuasan apabila bermalam dan menginap di tempat ini dan ianya tidak ada bayaran tambahan untuk kemudahan tersebut. Antara kemudahan yang disediakan ialah seperti tempat memasak dan bbq, kawasan khas untuk anda memasang unggun api pada waktu malam sebab biasanya malam adalah sangat sejuk dan juga kawasan letak kereta. Tempat letak kereta di berada di kawasan bukit dan jalannya ada yang curam, jadi kalau anda takut atau tidak biasa dengan jalan tersebut, anda bolehlah meminta tolong dengan pihak Humble Hobbit Home untuk meletakkan kereta anda di kawasan letak kereta.

Tempat ni adalah penginapan, oleh itu anda sudah pasti tahu apa keperluan yang ingin di bawa jika ingin bermalam di tempat ini, contohnya membawa baju tebal sebab tempat ni memang sejuk siang dan malam, lain daripada tu anda mungkin perlu bawa makanan basah jika ingin memasak atau buat bbq, keperluan lain adalah jangan lupa untuk membawa minuman seperti air mineral atau minuman manis, dan bawalah apa-apa yang anda rasa perlu lagi. Walaupun anda boleh membawa makanan dan juga minuman dari luar, terdapat beberapa larangan yang harus anda ingat yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan di sini, antara larangan tersebut ialah :

Perkara dilarang :

01. Dilarang bawa minuman keras
02. Dilarang bawa makanan tidak halal
03. Dilarang bawa haiwan peliharaan
04. Dilarang berkaraoke
05. Dilarang merokok
 
Untuk ke sini anda boleh menaiki bas dari Bandar Kota Kinabalu yang menuju ke daerah Kundasang atau Ranau dan minta pemandu bas tersebut turunkan anda di Pekan Kundasang. Selepas anda sampai ke Kundasang boleh jalan kaki saja sebab tempat dekat saja dengan Pekan Kundasang, cumanya anda mungkin akan penat sebab kena naik atas bukit sikit. Pilihan yang baik ialah dengan memandu kereta sendiri jadi boleh terus bawa kereta ke atas bukit untuk di simpan. Sebelum datang ke sini anda perlu buat tempahan terlebih dahulu ya untuk memastikan masih ada kekosongan bilik untuk anda.

Waktu operasi :
Setiap hari : Setiap masa

Bayaran penginapan :
RM180.00 hingga RM250.00

Sebarang pertanyaan, maklumat lanjut dan membuat tempahan boleh menghubungi pihak pengurusan Humble Hobbit Home seperti alamat di bawah ini :

Alamat : 
Humble Hobbit Home
Kampung Sinisian,
89308, Kundasang,
Sabah, Malaysia.

Telefon : 011-5580 6617
Website: facebook.com/humblehobbithome

Ulasan