Langkau ke kandungan utama

Kampung Bavanggazo

Kampung Bavanggazo merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Tempat ini merupakan Rumah Panjang bagi suku kaum Rungus yang terletak di dalam daerah Kudat, Sabah.

KAMPUNG BAVANGGAZO


Kampung Bavanggazo atau juga dikenali Bavanggazo Rungus Longhouse adalah salah satu tempat menarik di daerah Kudat yang anda boleh kunjungi sekiranya berminat dengan suasana Rumah Panjang dan ingin mengenali kehidupan suku kaum Rungus tidak kira anda adalah penduduk tempatan atau pelancong yang datang melancong ke daerah ini. Tempat ini adalah Rumah Panjang bagi suku kaum Rungus yang kebanykakkan tinggal di sebelah utara Sabah seperti di Kudat. Rumah Panjang ini terletak 41 km dari Bandar Kudat atau lebih kurang 100 km dari Bandar Kota Kinabalu. Rumah ini telah dibina pada bulan April 1992 dan sehingga kini ia masih lagi menjadi salah satu tempat tarikan pelancongan di daerah Kudat.

Suku kaum Rungus memang sangat terkenal dengan Rumah Panjang kerana pada masa dahulu mereka tinggal beramai-ramai di sebuah Rumah Panjang yang boleh memuatkan beberapa keluarga. Apabila ada keluarga mereka yang berkahwin maka bilik juga akat turut ditambah dan jumlah keluarga juga akan semakin ramai. Rumah Panjang Bavanggazo ini dibina dengan menggunakan bahan asas daripada tumbuh-tumbuhan contohnya seperti pokok bambu yang dipotong kecil dan disusun dengan kemas untuk dijadikan lantai rumah, bahagian dinding pula dibuat daripada kayu manakala atap rumah pula dibuat daripada daun nipah.


Jika anda datang melawat ke sini anda akan dapat melihat bagaimana bentuk rumah ini, dengan ruang tamunya yang sangat panjang, selain itu terdapat juga beberapa peralatan muzik tradisional dan peralatan tradisional lain yang akan dipamerkan kepada anda. Antaranya adalah seperti manik atau dikenali sebagai Pinakol yang mana suku kaum Rungus sangat terkenal dengan karya pembuatan manik. Di sini anda juga akan dapat melihat cara atau budaya suku kaum Rungus seperti cara kehidupan mereka seharian, makanan tradisional mereka, pakaian tradisional dan lain-lain lagi.

Tapi sekiranya mahu lebih mendalami cara kehidupan suku kaum Rungus, anda boleh juga mengambil pakej untuk bermalam di Rumah Panjang ini, tapi anda pelu memberitahu awal-awal dengan pihak pengurusan Rumah Panjang. Jika bermalam di sini anda mungkin berpeluang untuk merasai makanan suku kaum ini, termasuk melihat kraftangan mereka, persembahan kebudayaan dan anda boleh juga diberikan kesempatan untuk berjalan di kawasan Kampung Bavanggazo ini.

Untuk ke sini, pelancong atau pengunjung sebaiknya memandu kenderaan anda sendiri atau kalau tiada kereta boleh juga menyewa kenderaan (yang penting anda ada lesen memandu). Ini adalah bagi memudahkan perjalanan anda ke sini dan seterusnya pulang semua ke tempat anda. Anda juga boleh melancong ke tempat menarik yang lain disekita daerah ini seperti di Tanjung Simpang Mengayau, kilang pembuatan gong dan lain-lain lagi. Atau boleh atur dengan ejen pelancongan sekiranya ada pakej untuk ke sini.

Waktu operasi : 
Setiap hari : 9 pagi - 6 petang

Bayaran masuk :
Warganegara : RM3.00
Bukan warganegara : RM5.00

Sebarang pertanyaan ataupun maklumat lanjut bolehlah menghubungi pihak pengurusan Kampung Bavanggazo seperti alamat di bawah ini

Alamat :
Kampung Bavanggazo Longhouse
89050, Kudat,
Sabah, Malaysia.
Telefon : 010-798 1681 (Adrian Maralag)
Website : Bavanggazo

Ulasan