Langkau ke kandungan utama

Kinomulok Garden

Kinomulok Garden merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Taman rekreasi untuk orang ramai ini terletak di dalam daerah Ranau, Sabah iaitu kira-kira 17 minit perjalanan dari Bandar Ranau.

KINOMULOK GARDEN


Kinomulok Garden adalah salah satu tempat menarik di Sabah yang juga merupakan rumah penginapan bertemakan rumah hobbit, tempat ni sesuai untuk penduduk tempatan dan pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negara yang datang melancong ke daerah Ranau. Taman ini adalah sebuah taman rekreasi yang terletak di Ranau iaitu lebih kurang 98 km atau kira-kira 2 jam perjalanan dari Bandar Kota Kinabalu dan lebih kurang 7 km atau kira-kira 10 minit perjalanan saja dari Bandar Ranau. Ia diusahakan oleh penduduk tempatan di sini dan tempat ini merupakan pusat rekreasi yang patut anda datang melawat bersama keluarga atau kawan-kawan pada musim cuti sekolah, cuti dihujung minggu dan juga jika ada masa lapang.

Taman ini dihias dengan begitu cantik sekali dengan flora dan fauna seperti bunga orkid yang cantik dan wangi, air sungai yang mengalir jernih, ini sudah pasti menjadikan tempat ini antara tempat yang sesuai untuk anda mengambil gambar kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan. Di tambah lagi dengan pemandangan keindahan Gunung Kinabalu membuatkan tempat atau taman ini begitu indah. Jika datang bercuti bersama rakan atau keluarga ke sini, anda pasti akan terpukau dengan keindahan taman ini sekaligus membuatkan cuti atau percutian anda ke sini berbaloi serta menjadi pengalaman yang cukup indah buat anda sebab di sini bukan hanya mengambil gambar keindahan saja tetapi terdapat juga pelbagai aktiviti lain yang boleh dilakukan.


Di taman ini ada juga penginapan yang disediakan, dan berhampiran dengan penginapan tersebut ada terdapat sebuah kolam mandi, kalau kalau mahu mandi boleh saja ke kolam tersebut. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan apabila datang di sini adalah seperti bergambar, berkayak, berenang di kolam renang, melawat taman arnab, melawat taman orkid, memancing di kolam ikan, dan juga menaiki ATV. Tetapi sebaiknya bagi yang mahu melakukan aktiviti seperti berkayak dan berenang atau mandi di air kolam pastikan anda sedia keperluan yang perlu di bawa sebelum datang ke sini iaitu seperti :
01. Pakaian mandi (tutup aurat)
02. Tuala
03. Pakaian lebih/kering
04. Kaca mata hitam (kalau takut silau)
05. Selipar
06. Sarung telefon kalis air
07. Kamera

Antara senarai di atas keperluan yang utama adalah harus anda sediakan iaitu keperluan untuk aktiviti mandi di kolam sebab macam selipar ia adalah bagi elakkan kaki anda panas berjalan di batuan atau konkrit berdekatan kolam. Kaca mata hitam pula kalau yang tidak tahan dengan silauan matahari dan pakaian mandi tu sebaiknya yang tutup aurat lebih-lebih lagi bagi wanita muslimah sebab ia di kawasan terbuka. Yang sarung telefon kalis air tu baik di bawa jika mahu buat aktiviti berkayak agar telefon anda tidak basah terkena air. Bagi aktiviti iaitu seperti melawat taman arnab pastikan anda ikut peraturan yang diberi sebab biasanya kalau bagi makan arnab kena beli dari situ juga tidak boleh bawa makanan dari luar.

Terdapat beberapa kemudahan yang telah ada disediakan di sini untuk anda guna bila datang ke sini. Antara kemudahan yang ada adalah seperti :
01. Cafe/tempat makan
02. Tempat letak kereta
03. Tandas
04. Kenderaan ATV
05. Penginapan
06. Peralatan BBQ
07. Tempat majlis

Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk datang ke sini bersama keluarga atau kawan-kawan untuk melihat keindahan hidupan flora dan fauna yang ada di sini. Pastikan juga bateri kamera atau telefon anda penuh, jadi boleh jugalah ambil gambar lebih sikit sebab suasana keindahan di sini sangat cantik dan rugi rasanya jika anda tidak mengambil peluang untuk bergambar. Kalau anda mahu bermalam di penginapan yang disediakan pun boleh sebab di sini ada penginapan yang besar sikit ada juga penginapan seperti rumah hobit. Dari anda saja mahu pilih yang mana mengikut keselesaan anda sekeluarga.

Untuk ke taman ini adalah lebih baik kalau ada kereta sendiri, atau kalau tiada kereta sendiri bolehlah sewa dengan orang yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa (yang penting anda ada lesen). Ini adalah agar lebih memudahkan perjalanan ke sini dan pulang semula ke tempat anda, dan kalau ada kereta boleh juga pergi ke tempat menarik lain di sekitar Daerah Ranau yang juga di kenali sebagai daerah pelancongan. 

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :

Dewasa : RM5.00
Kanak-kanak : RM3.00

Bayaran di atas ini mungkin boleh berubah pada bila-bila masa mengikut keadaan semasa. Oleh itu anda sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pihak pengurusan Kinomulok Garden seperti alamat di bawah :

Alamat :
Kinomulok Garden
Kg. Lohan Ulu,
Peti Surat 7,
89308, Ranau,

Sabah, Malaysia.
Telefon : 011-1208 8537
Email : kinomulok.garden@gmail.com

Nota :

01. Patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan pihak pengurusan Kinomulok Garden ini untuk kebaikan anda ketika melawat ke sini.

02. Sentiasa jaga keselamatan anda dan anak-anak anda ketika ketika berada di sini terutamanya jika melakukan aktiviti seperti mandi di kolam.


Ulasan