Langkau ke kandungan utama

Kuih Jelurut

Kuih Jelurut juga merupakan salah satu kuih tradisional di Sabah. Kuih ini sangat diminati oleh seluruh penduduk negeri Sabah terutama sekali mereka yang tinggal di Pedalaman dan juga di Labuan.

KUIH JELURUT

Kredit Gambar : Sihzmah

Kuih Jelurut merupakan salah satu kuih tradisional di Sabah. Kuih ini terdapat juga di tempat lain tapi dengan nama yang berbeza, contoh seperti di Sarawak dan Brunei yang memanggil kuih ini dengan nama 'celurut'. Selain itu ada juga negara lain yang memanggil kuih ini dengan nama selorot dan lain-lain lagi. Kalau di Sabah kuih ini sangat popular dan merupakan makanan tradisi dikalangan suku kaum Melayu-Brunei Sabah termasuklah juga di Labuan. Bentuk dan rasa kuih ini adalah lebih kurang dengan dodol, tapi terdapat juga sedikit perbezaan rasanya sebab kuih ini dibungkus dengan daun nipah muda yang pasti akan menambahkan lagi aroma wangian kuih ini dan begitu juga dengan teksturnya. 

Walaupun kuih ini tidaklah begitu sukar untuk membuat dan memasaknya namun ia amat memerlukan penelitian ketika membuatnya terutama sekali ketika membuat kelonsong, ini kerana untuk membuat kelonsong yang baik ianya memerlukan daun nipah yang lebih muda dan segar agar lebih mudah menganyam daun tersebut untu dibentuk menjadi kelonsong. Ketika membuat anyaman juga perlukan kemahiran sebab kalau tidak daun nipah tersebut akan menjadi longgar dan mudah bocor sekaligus akan menyebabkan adunan yang dimasukkan dalam kelonsong tersebut akan tumpah atau terkeluar. Tapi tidak perlu risau sebab itu adalah perkara biasa sekiranya anda baru saja belajar buat anyaman kelonsong kuih ini, bila sudah lama-kelamaan pasti akan dapat juga membuat dengan lebih baik.


Di Sabah, kuih ini ada juga yang menjualnya tetapi tidaklah ramai dan pada kebiasaannya ia dijual ditamu mingguan di sekitar negeri ini terutamanya jika daerah atau tempat itu mempunyai ramai penduduk dari suku kaum Melayu-Brunei. Tetapi kalau mahu cuba masak sendiri pun boleh juga, tidak kisah kalau sedap atau tidak yang penting cuba dahulu. Antara bahan-bahan yang biasa digunakan untuk membuat kuih ini :

Bahan-bahan :
01. 2 cawan atau 500gram tepun beras
02. Setengah cawan gula pasir
03. 1 liter santan
04. 1 sudu kecil garam
05. 250gram gula apong atau gula melaka
06. Daun nipah muda
07. Lidi (cuci bersihkan dulu kalau kotor)

Cara penyediaanya :

01. Pertama sekali sebaiknya buat dulu kelonsong kuih dengan menganyam daun nipah yang muda menjadi bentuk kon. Bahagian bawah kelonsong kon tersebut tutup dengan sedikit potongan daun nipah kemudian ketatkan atau kuncikan dengan menggunakan lidi.

02. Bila kelonsong sudah siap, Panaskan santan dan bila sudah mendidih sila masukkan garam, gula pasir dan gula apong atau gula melaka.

03. Sambil menunggu bahan-bahan yang dipanas itu mendidih, bolehlah juga sambil-sambil mengayak tepung beras dan lepas ayak letak di dalam tempat yang bersih (tempat tu agak-agak yang boleh muat untuk air santan tadi).

04. Selepas air santan tadi mendidih boleh angkat dan letak didalam tempat yang ada tepung beras kemudian adun sehingga sebati. Setelah selesai tuang ke dalam bekas seperti jug (supaya senang untuk menuang ke kelonsong kuih nanti).

05. Masukkan air ke dalam periuk pengukus, kemudian panaskan air tersebut sambil meletakkan kelonsong kuih secara berdiri di dalam periuk tersebut dan tuang adunan tadi ke dala kelonsong.

06. Kukus selama lebih kurang 20 minit, tetapi selalu lihat air dalam periuk jangan sampai kering yang boleh menyebabkan kuih itu hangus.

07. Boleh tengok kuih itu kalau sudah tidak cair bererti ianya sudah masak dan bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

Nota :

01. Kalau tiada gula apong boleh guna gula melaka
02. Susun kelonsong secara berdiri supaya senang tuang adunan
03. Kukus selama lebih kurang 20 minit
04. Sentiasa lihat paras air kukusan setiap 5 minit

Ulasan