Langkau ke kandungan utama

Kuih Terang Bulan

Kuih Terang Bulan merupakan salah satu kuih tradisional di Sabah. Kuih ini sangat popular dan amat diminati oleh seluruh penduduk Negeri Sabah tidak kira tua atau pun muda.

KUIH TERANG BULAN



Kuih Terang Bulan merupakan salah satu kuih tradisional di Sabah. Kuih ni sangat popular dan diminati oleh semua penduduk negeri ini tidak kira tua ataupun muda pasti akan menyukai kuih ini. Kuih ini banyak dijual pada hari-hari biasa seperti di kedai-kedai di kawasan bandar (biasanya penjual kuih terang bulan akan tumpang sedikit ruang dikedai-kedai makan atau restoran) dan yang ini memang ramai yang berjual cara begini. Kadang ada juga yang menjual di tepi-tepi jalan tetapi jarang sekali sebab kalau di Sabah penjual kuih ditepi jalan biasanya menjual kuih yang sudah siap dimasak saja.

Selain itu kuih ini juga biasa dijual dipasar atau tamu mingguan dimana-mana daerah di Sabah. Tapi paling senang dijumpa kuih ini adalah ketika di Bazaar Ramadhan ketika bulan puasa sebab memang ramai yang akan jual kuih ini pada masa tersebut kerana lebih mudah di masak dan orang ramai pun suka berbuka puasa dengan kuih ini terutamanya golongan muda yang buka puasa secara beramai-ramai. Tapi kalau bukan bulan puasa boleh cuba cari dikedai makan atau restoran seperti yang diterangkan diatas tadi dan kalau mahu cari pun memang senang saja. .


Harga kuih ini pun agak murah juga, sebab itu jarang juga orang membuatnya sendiri di rumah, sebab biasanya orang ramai akan membeli saja dari mana-mana penjual sama ada yang menjual dikedai atau pun yang menjual melalui online lepas itu hantar kepada pembeli. Tapi kalau dapat buat sendiri kuih ini memang agak berbaloi walaupun memang banyak kerja sikit tapi kepuasan pasti ada jika dapat belajar membuat kuih ini. Kalau ada yang mahu cuba buat sendiri bolehlah cuba cara di bawah ini. Antara bahan-bahan yang biasanya digunakan untuk menyediakan kuih terang bulan adalah :

Bahan A :
01. 2 cawan tepung gandum
02. ½ cawan gula
03. 2 ½ sudu serbuk penaik
04. Garam secukup rasa

Bahan B :
01. 1 cawan susu cair
02. 1 ½ cawan air
03. 1 atau 2 biji telur
04. ½ cawan gula
05. Pewarna kuning
06. ½ cawan minyak masak

Bahan C :
01. 1 mangkuk kacang tanah
02. 1 atau 2 cawan gula
03. Mentega/majerin

Cara penyediaanya :

01. Masukkan kesemua bahan A ke dalam satu bekas atau tempat yang agak besar (terpulang anda guna apa, contohnya boleh gunakan mangkuk besar).

02. Selepas itu masukkan semua bahan B ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan A tadi dan gaulkan kesemuanya adunan tersebut sehingga sebati.

03. Semasa mengadun pastikan adunan tersebut kelihatan tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat, kalau adunan itu terlalu pekat boleh tambah air lagi sikit. 

04. Selepas adunan tersebut sudah selesai dibuat, tutup dan biarkan saja dahulu adunan itu sekurang-kurangnya dalam lebih kurang ½ jam.

05. Sambil anda menunggu adunan tu, bolehlah menggoreng kacang tanah sehingga kelihatan warna keperangan, angkat dan kemudian buang kulit kacang tanah tersebut terlebih dahulu.

06. Selepas selesai membuang kulit kacang tanah yang sudah digoreng tadi, bolehlah blender kacang tanah tersebut tetapi jangan blender terlalu halus (blender jangan lama jadi ia tidak terlalu halus).

07. Selepas ½ jam, panaskan kuali terlebih dahulu, sebaiknya anda menggunakan kuali yang berbentuk leper supaya dapat membuat bentuk kuih ini dengan lebih baik.

08. Bila kuali sudah panas, ambil adunan tadi dalam ukuran 1 gelas, kemudian tuang ke dalam kuali tersebut dan ratakan adunan tersebut di kuali.

09. Boleh lorek terang bulan tu dari bahagian tepi kuali untuk lihat dan buat bentuk terang bulan dan tutup sekejap saja, boleh agak jangan sampai hangus.

10. Jika sudah kelihatan masak, tabur kacang tanah yang sudah dikisar tadi dan juga gula. Lihat warna tepi kuih tersebut jika sudah warna keperangan dan kelihatan rangup bolehlah dilipat dan diangkat.

11. Sapukan mentega atau marjerin pada kedua-dua permukaan terang bulan yang sudah dilipat tadi, lepas itu potong macam bentuk digambar dan hidang.

Nota :

1. Tepung gandum itu sebaiknya di ayak terlebih dahulu supaya lebih halus dan lebih baik hasilnya.

2. Gunakan kuali yang leper dan tebal supaya terang bulan tidak cepat hangus kalau guna kuali tebal.

3. Buang kulit kacang semasa masih panas agar lebih mudah untuk dibuang kulitnya.

Ulasan