Langkau ke kandungan utama

Magical Garden

Magical Garden merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Tempat menarik ini terletak di daerah Kundasang, Ranau, iaitu lebih kurang 11 km dari Pekan Kundasang, Sabah.

MAGICAL GARDEN


Kredit Gambar : Magicalgardenranau

Magical Garden adalah salah satu tempat menarik di Kundasang, Ranau yang dibina khas untuk mereka yang berminat dengan aktiviti bergambar. Magical Garden terletak dalam daerah Kundasang iaitu lebih kurang 11 km atau kira-kira 18 minit perjalanan sahaja menaiki kenderaan dari Pekan Kundasang dan lebih kurang 95 km atau kira-kira 2 jam perjalanan kalau dari Bandar Kota Kinabalu. Dengan lokasi tempat ini yang terletak di kawasan lereng bukit dan menghadap ke arah Gunung Kinabalu menjadikan tempat ini cukup menarik dengan pemandangan yang indah. Landskap berwarna warni yang dibina di kawasan ini sesuai dengan nama tempat iaitu Magical Garden yang sudah pasti dapat menarik perhatian lebih pengujung untuk datang ke sini.

Magical Garden sememangnya amat sesuai sebagai tempat orang ramai untuk meluangkan masa ketika musim cuti seperti cuti sekolah atau pada waktu hujung minggu. Anda boleh datang beramai-ramai ke sini untuk mengambil gambar kenangan yang berlatarbelakangkan bunga-bunga yang ditanam cantik sepanjang lereng bukit. Landskap ini sememangnya sangat menarik kerana ia dilihat seakan-akan seperti di Jepun. Bagi mereka yang suka muat naik gambar ke dalam media sosial, ini adalah salah satu tempat yang sangat sesuai untuk anda kerana pemandangan bergambar di sini sangat cantik dan kalau anda pandai mengambil gambar dengan baik mungkin akan menggambarkan seolah-olah anda sedang berada di luar negara terutama sekali bagi kaum wanita yang suka akan bunga-bungaan yang cantik. Terdapat bermacam jenis bunga yang berwarna warni di sini jadi anda boleh pilih kawasan bunga yang anda mahu bergambar, tetapi harus diingat jangan dipetik bunga tersebut sebab ia adalah dilarang petik.


Landskap laluan berjalan kaki yang bertingkat seperti tangga dan dicat dengan warna warni juga sangat menarik lebih-lebih lagi dengan terdapatnya beberapa replika yang dibina sepanjang laluan tersebut iaitu seperti piano yang besar akan mencantikkan pemandangan untuk anda bergambar di sini, yang mana di piano ni anda boleh duduk dan membuat gaya seperti bermain piano atau berdiri berhampiran piano tersebut. Tempat ini dibina sebagai satu kawasan yang khas untuk bergambar atau berselfie jadi mungkin tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan, tetapi bergambar dengan pemandangan yang cukup menawan dan indah ini sudah pasti akan memuaskan hati anda apabila berkunjung ke sini, tapi apa pun yang penting pastikan bateri telefon atau kamera anda adalah penuh agar dapat mengambil gambar sepuas hati untuk dijadikan kenan-kenangan atau untuk di kongsi dengan rakan-rakan di media sosial. Antara aktiviti yang mungkin boleh anda lakukan di sini ialah seperti : 

Aktiviti :

01. Bergambar
02. Bersiar-siar
03. Melihat bunga
04. Melihat pemandangan
05. Berselfie

Walaupun tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, pihak pengurusan tetap ada menyediakan kemudahan untuk para pengunjung yang datang. Kemudahan yang disediakan ini adalah bertujuan agar pengunjuk boleh menggunakannya sambil bergambar agar setiap gambar yang diambil lebih menarik untuk dikongsi dengan rakan-rakan yang lain, antara kemudahan yang ada ialah :

Kemudahan :

01. Laluan jalan kaki
02. Tangga ke bukit
03. Tempat bergambar
04. Pakaian kimono (sewa)
05. Replika pedang (sewa)
06. Pakaian Jepun (sewa)
07. Tempat duduk
08. Replika piano
09. Tempat letak kereta

Dengan adanya kemudahan seperti senarai di atas ini ianya sudah pasti dapat menarik lagi pengunjung untuk datang ke sini mengambil gambar. Pakaian Jepun seperti Kimono dan pedang tu boleh di sewa di sini untuk anda pakai bersiar-siar sambil mengambil gambar yang mana ianya akan membayangkan anda berada di negara Jepun. Jika anda bercadang untuk ke sini mungkin anda perlu membuat beberapa persediaan seperti barang apa yang mahu di bawa agar ianya lebih memudahkan anda sama ada semasa dalam perjalanan atau ketika berada di kawasan ini seluas 2 ekar dengan kawasan muka buminya yang berbukit, oleh itu mungkin anda boleh pakai baju lengan panjang atau bawa payung dan topi, selain tu pastikan bawa air minum sebab kawasan tersebut mungkin panas ketika waktu cerah.

Disarankan sebaiknya anda memandu kereta sendiri untuk ke sini atau jika tidak ada kereta bolehlah juga sewa kenderaan seperti e-hailing, ini adalah agar dapat memudahkan perjalanan pergi dan balik anda dari Magical Garden ini dan seterusnya dapat melawat tempat menarik lain yang banyak disekitar daerah Kundasang dan juga Ranau. 

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Dewasa : RM6.00
Kanak-kanak : RM4.00

Sebarang pertanyaan, maklumat lanjut dan membuat tempahan boleh menghubungi pihak pengurusan Magical Garden seperti alamat di bawah ini :

Alamat : 
Magical Garden
Kg. Purakagis,
Kundasang, Ranau,
Sabah, Malaysia
Telefon : 010-955 0019
Facebook : facebook.com/MagicalGardenRanau

Ulasan