Langkau ke kandungan utama

Menara Jam Tertua

Menara Jam Atkinson merupakan menara jam yang tertua di Negeri Sabah. Menara Jam Atkinson siap dibina pada 1905 dan terletak di Pusat Bandar Kota Kinabalu, Sabah.

MENARA JAM TERTUA



Menara Jam Atkinson merupakan salah satu tempat menarik di Kota Kinabalu Sabah yang boleh dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara yang datang melancong ke Sabah. Menara ini telah dimulakan pembinaannya pada tahun 1902 dan siap sepenuhnya pada tanggal 20 April 1905. Menara Jam ini dahulunya dikenali sebagai Menara Jam Peringatan Atkinson dan terletak di Pusat bandar Kota Kinabalu dan ia adalah menara jam yang tertua di Sabah.

Menara ini dibina bagi memperingati Francis George Atkinson iaitu seorang Pegawai British yang juga merupakan pegawai daerah pertama Jesselton yang telah meninggal dunia akibat penyakit malaria ketika berumur 28 tahun. Oleh sebab 
peristiwa tersebut ibu kepada Francis George Atkinson iaitu Puan Mary Edith Atkinson telah mencadangkan untuk membina menara jam ini bagi memperingati anaknya yang telah meninggal dunia.


Yang menariknya menara ini adalah ia telah dibina daripada kayu dan tanpa menggunakan sebarang paku dengan ketinggian 50 kaki (15 meter) namun sehingga kini ia masih lagi berdiri teguh. Semasa berlakunya Perang Dunia Kedua, menara ini adalah salah satu bangunan yang terselamat akibat dari peperangan tersebut dan dapat dilihat sampai ke hari ini

Dahulunya lokasi menara terletak berhampiran dengan pantai, namun selepas tamat Perang Dunia Kedua iaitu bermula dari awal 1950an ianya kelihatan semakin jauh daripada pantai atau laut kerana proses penambakan laut yang dilakukan dipelabuhan Jesselton pada masa itu.


Menara jam ini juga telah diletakkan loceng yang akan berbunyi setiap satu jam sebagai tanda waktu/masa kepada penduduk sekitar dan bermula pada tahun 2017, Menara ini telah diwartakan sebagai salah satu daripada 24 Tapak Warisan yang terdapat di Negeri Sabah. 


Nota :
Sekarang ini kawasan Menara Jam ditutup untuk sementara waktu daripada kunjungan orang ramai sehingga pada 23 September 2023 untuk kerja-kerja menaik taraf kawasan tersebut.

Ulasan