Langkau ke kandungan utama

Muzium Tamadun Islam Sabah

Muzium Tamadun Islam Sabah merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Muzium ini adalah muzium yang banyak mempamerkan artifak berkaitan islam dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

MUZIUM TAMADUN ISLAM SABAH

Sumber Gambar : Muzium Islam

Muzium Tamadun Islam Sabah adalah salah satu tempat menarik di Sabah yang sememangnya sangat sesuai dikunjungi terutamanya penduduk tempatan untuk mengetahui sejarah Islam di Sabah, tapi yang dari luar seperti pelancong dari dalam ataupun luar negara boleh juga datang sini. Muzium ini adalah muzium yang menempatkan dan mempamerkan sejarah kedatangan islam ke bahagian Asia Tenggara termasuklah Negeri Sabah dan juga Malaysia. Muzium Islam ini terletak di Jalan Menteri iaitu lebih kurang 3 km atau kira-kira 5 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Kota Kinabalu dan berada tidak jauh dari Muzium Negeri Sabah. Jadi sesiapa yang berminat untuk mengetahui sejarah kedatangan islam ke Asia Tenggara terutamanya ke Sabah bolehlah datang ke muzium ini kerana di sini merupakan tempat yang sesuai untuk anda melihat dan mempelajari sejarah kedatangan islam.

Muzium ini terbahagi kepada 2 tingkat yang mana pada tingkat pertama ianya mempamerkan galeri yang berkaitan dengan artifak islam yang dibawa dari Asia Tengah seperti dari Turki, Mesir Maghribi dan lain-lain lagi. Artifak ini adalah antara artifak yang berusia beribu tahun yang dijumpa ketika awal kedatangan islam ke negara-negara tersebut, selain dari negara Asia Tengah di sini juga ada berpuluh-puluh jenis artifak yang dijumpai disekitar Kepulauan Borneo terutamanya dari Sabah, Sarawak dan juga dari Brunei. Antara artifak yang terdapat di bahagian tingkat pertama ini adalah replika pedang Saidina Uthman bin Affan, Al-Quran tulisan tangan, Jubin tembikar ilkanid, Astrolab tembaga dan lain-lain lagi yang mana ianya pasti akan membuat anda menjadi kagum apabila melihatnya.


Selain itu terdapat juga bahagian galeri yang mempamerkan perkembangan Islam di Sabah. Bahagian galeri ini memberikan maklumat mengenai sejarah kedatangan islam ke negeri ini, gambar-gambar masjid, undang-undang islam, tokoh islam negeri, peristiwa penting islam dan banyak lagi. Yang menarik lagi adalah galeri pakaian islam yang menerangkan etika cara berpakaian dalam islam terutamanya bagi kaum muslimah (wanita) kerana mungkin ramai yang tidak berapa faham maksud disebalik pakaian tersebut, jadi galeri ini ada memaparkannya dan boleh dilihat dan dibaca oleh para pengunjung. Di galeri pakaian ini juga ada dipamerkan beberapa jenis kain, pakaian, jubah serta aksesori seperti tali pinggang, rantai, gelang, cincin dan lain-lain lagi yang di kebanyakkannya adalah barangan sulaman tangan dari Timur Tengah seperti Turki, Jordan, Arab dan Dubai.

Selain daripada mempamerkan artifak dan sejarah islam, di muzium ini juga terdapat beberapa artifak yang dipamerkan yang mana artifak ini dijumpai di kepulaun borneo seperti di Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan. Antara artifak lama yang telah dijumpai dan dianggap berusia lebih daripada 100 tahun adalah seperti kotak pinang yang diperbuat daripada kayu dan di ukir dengan dengan perak dan juga terdapat kotak pinang yang diperbuat daripada perak sepenuhnya. Ini termasuklah beberapa set simpanan sirih seperti dulang yang biasa digunakan untuk menyimpan pinang, sirih dan kapur. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk datang ke muzium ini untuk melihat sendiri dengan mata anda, sebab kalau tulis memang terlalu banyak.

Kalau anda mahu muzium ini sebaiknya anda pergi Muzium ke Negeri Sabah dahulu, lepas selesai melawat Muzium Negeri bolehlah ke sini sebab tidak juga jauh jadi boleh lah jalan kaki saja dalam 10 minit, lagi pun bila anda ke Muzium Negeri Sabah dan membayar tiket di sana, anda boleh gunakan tiket masuk tersebut untuk masuk ke Muzium Tamadun Islam ini tanpa perlu buat bayaran masuk lagi. Jadi maksudnya anda hanya perlu buat bayaran masuk di Muzium Negeri Sabah saja dan tidak perlu buat bayaran masuk lagi bila mahu ke Muzium Tamadun Islam ini, tetapi perlu tunjukkan tiket masuk tu dan tiket tu hanya sah dalam sehari saja, tidak boleh guna kalau esoknya baru ke sini.

Untuk ke sini boleh naik bas tetapi kalau naik bas anda mungkin akan tunggu masa sikit sebab biasanya bas hanya bergerak apabila sudah penuh. Tapi anda boleh juga menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing lain kalau mahu lebih cepat. Kalau ada kereta sendiri bolehlah pandu terus ke Muzium Islam ini, kalau tidak ada kereta ada banyak juga syarikat yang menyediakan kereta untuk di sewa (yang penting anda ada lesen). Jadi lebih mudah anda bergerak dan boleh juga melawat tempat menarik lain sekitar Kota Kinabalu.

Waktu operasi :
Setiap hari : 9 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Warganegara : RM2.00
Warga asing dewasa : RM15.00
Bagi warganegara pelajar berpakaian uniform, kurang upaya, warga emas dan juga pemandu teksi bayaran masuk adalah percuma

Bayaran di atas ini mungkin boleh berubah pada bila-bila masa mengikut keadaan semasa. Oleh itu sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pihak pengurusan Muzium Tamadun Islam Sabah seperti alamat di bawah ini :

Alamat :
Muzium Tamadun Islam Sabah
Jalan Menteri,
Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.
Telefon : 088-238 501 / 088-238 502
Fax : 088-538 231
Webiste : www.museum.sabah.gov.my/exhibition/70


Ulasan