Langkau ke kandungan utama

Muzium Tun Sakaran

Muzium Tun Sakaran merupakan salah satu tempat menarik di Sabah yang boleh anda kunjungi dan muzium ini terletak di dalam daerah Semporna, Sabah iaitu lebih kurang 1.4 km atau kira-kira 4 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandar Semporna.

MUZIUM TUN SAKARAN


Kredit gambar : Sabahtourism

Kredit gambar : Sabahtourism

Muzium Tun Sakaran merupakan salah satu tempat menarik di daerah Semporna yang rasanya perlu anda kunjungi sekiranya datang melancong ke negeri ini khususnya ke daerah Semporna. Pembinaan muzium ini telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta yang mana ia dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah. Majlis pecah tanah telah dibuat pada 31 Disember 2008 oleh Tun Sakaran, setelah beberapa tahun muzium akhirnya Muzium Tun Sakaran ini telah siap sepenuhnya pada 25 April 2015 dan dirasmikan bersama oleh Tun Sakaran Dandai, Tun Juhar Mahiruddin dan juga Datuk Shafie Afdal. Walaupun muzium ini siap sepenuhnya pada 2015, namun sebahagian bangunan yang telah siap telah pun di buka untuk kunjungan orang ramai pada tahun 2014. Muzium ini terletak di Jalan Inabah Kamal, Semporna iaitu lebih kurang 1.4 km atau kira-kira 4 minit perjalanan menaiki kereta dari Pusat Bandar Semporna dan nama muzium ini diambil bersempena nama Tun Sakaran Dandai yang merupakan Ketua Menteri Sabah pada tahun 1994 dan Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun 1995 hingga 2002 yang mana Tun Sakaran juga berasal dari daerah Semporna. Tanah tempat muzium ini dibina yang berkeluasan lebih kurang satu ekar adalah hasil sumbangan daripada Tun Sakaran sendiri. Kalau anda datang bercuti atau berjalan-jalan ke daerah Semporna pastikan jangan lupa untuk singgah walaupun sekejap di muzium ini yang dibuka setiap hari.

Bangunan muzium ini ada 2 tingkat, tingkat bawah adalah bahagian galeri Tun Sakaran yang mana di tingkat bawah ni pengunjung boleh melihat biodata atau sejarah mengenai kehidupan Tun Sakaran dan pada tingkat atas pula ada untuk galeri mengenai sejarah daerah Semporna dan juga masyarakat Bajau khususnya masyarakat Bajau tinggal di daerah ini yang merupakan suku kaum majoriti di sini. Oleh itu jika anda berminat untuk mengetahui sejarah Tun Sakaran dan daerah Semporna serta masyarakat Bajau di sini bolehlah datang ke muzium ini tidak kira umur sama ada tua atau muda, mungkin cikgu atau guru boleh bawa pelajar mereka ke sini untuk buat lawatan sambil belajar agar para pelajar mereka dapat mengenali dengan lebih lanjut lagi kehidupan Tun Sakaran yang merupakan antara pemimpin Negeri Sabah yang disegani dan disanjungi ketika mentadbir negeri ini sebagai Ketua Menteri dan juga sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan pelajar-pelajar juga boleh mendapat lebih maklumat lagi mengenai daerah Semporna dan suku kaum Bajau di daerah ini bila pelajar tersebut datang ke sini melakukan kunjungan. Lagi pun anda tidak perlu risau kalau bawa ramai pelajar, rakan atau keluarga ke sini sebab tidak ada sebarang bayaran masuk yang dikenakan untuk ke muzium ni, tapi biarpun masuk adalah percuma, anda perlulah patuhi segala peraturan yang telah dibuat oleh pihak muzium ini untuk kebaikan anda sepanjang berada di muzium ini. Kalau ke sini sebaiknya jangan lupa untuk bawa apa yang perlu iaitu contohnya bawa pen dan buku nota agar dapat menulis dan mencatat apa-apa maklumat penting yang anda rasa perlu.


Tingkat bawah muzium ini yang menempatkan galeri Tun Sakaran adalah galeri yang mempamerkan kehidupan beliau seperti ahli keluarga, kehidupan peribadi dan biodata atau maklumat diri. Selain itu di galeri ini juga mempamerkan keterlibatan beliau dalam bidang politik dan sumbangan yang diberikan kepada Negeri Sabah ketika berkhidmat terutama sekali ketika menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-8 iaitu pada 17 Mac 1994 hingga 27 Disember 1994 dan juga menjadi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-8 bermula pada 1 Januari 1995 sehingga 31 Disember 2002. Antara sumbangan dan peranan beliau yang begitu besar bagi penduduk Negeri Sabah khususnya di daerah Semporna ialah sumbangan dalam perkembangan dakwah dan syiar islam dan ini terbukti dengan pengiktirafan yang diberikan kepada beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 2017. Di galeri ini juga ada mempamerkan beberapa barangan yang pernah digunakan oleh Tun Sakaran termasuklah beberapa cenderahati yang pernah diberikan kepada beliau oleh orang ternama atau VIP.  Banyak lagi sebenarnya barangan yang merupakan hasil karya dan koleksi yang dipamerkan di galeri ini yang boleh anda lihat sendiri apabila datang ke muzium ini, tapi rasanya yang menarik adalah bot lepa-lepa yang dipamerkan di sini sebab bot ni semua pun sudah tahu ia adalah salah satu simbol yang merujuk kepada daerah ini yang merupakan salah satu pesta atau perayaan bagi penduduk daerah Semporna khususnya masyarakat Bajau yang menyambutnya setiap tahun dan biasanya pada bulan April atau November. Jadi kalau anda tidak ada kesempatan untuk datang melihat pesta lepa-lepa tu bolehlah datang ke muzium ini untuk lihat sendiri model perahu lepa-lepa yang biasa digunakan pada pesta tahunan tersebut.

Pada tingkat atas pula adalah galeri yang mempamerkan sejarah mengenai daerah Semporna dan etnik Bajau khususnya yang tinggal di daerah ini. Di sini anda mungkin berpeluang untuk melihat beberapa gambar lama Semporna sama ada sebelum merdeka atau selepas merdeka serta beberapa maklumat lain mengenai daerah ini seperti sejarah pembukaan daerah, sejarah kemasukan dan perkembangan Islam di daerah ini dan lain-lain lagi. Selain daripada maklumat mengenai sejarah terdapat juga beberapa alat atau senjata lama yang pernah digunakan oleh penduduk di daerah ini, pelbagai jenis parang, tembikar, alat muzik, hasil kraftangan penduduk tempatan daerah serta beberapa lagi peralatan lain yang boleh di lihat di sini. Bagi anda yang mahu mengenali atau mengetahui sejarah dan maklumat mengenai etnik Bajau di Semporna khususnya Bajau Laut maka muzium ini adalah salah satunya tempat yang sesuai untuk anda, sebab di sini ada mempamerkan sejarah mengenai suku kaum Bajau Laut termasuklah juga cara kehidupan mereka seperti bentuk perahu atau juga disebut sebagai lepa-lepa yang biasa mereka gunakan dalam kehidupan seharian yang juga menjadi tempat tinggal mereka, tempat mencari rezeki, tempat memasak, tempat bersalin serta berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Maklumat yang ada di galeri ini juga ditulis dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa English, jadi anda boleh ikut yang mana anda suka untuk ambil maklumat tersebut untuk dijadikan rujukan. Jadi janganlah anda lepaskan peluang untuk datang ke sini sebab banyak maklumat menarik yang anda boleh perolehi jika datang ke sini.

Untuk
ke sini anda boleh melalui Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau bagi pelancong dari dalam dan luar negara yang datang ke negeri ini menggunakan kapal terbang. Bila sampai antara satu daripada tiga daerah tadi bolehlah naik bas express yang menuju ke Semporna, lepas tu sewa teksi atau e-hailing yang akan menghantar anda terus ke sini. Kalau penduduk negeri ini mungkin boleh naik bas atau naik kereta sendiri sahaja, dan pandu terus ke muzium ini yang terletak tidak jauh dari Bandar Semporna. Kalau anda memang sudah ada di daerah ini melancong boleh singgah di sini walaupun sekejap untuk melihat pelbagai galeri yang dipamerkan di sini.

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Percuma

Hubungi :
Muzium Tun Sakaran
Telefon : +6089 786 001
Email : muzium.sabah@sabah.gov.my
Website : Muzium Tun Sakaran


Ulasan