Langkau ke kandungan utama

Muzium Warisan Keningau

Muzium Warisan Keningau merupakan salah sebuah tempat menarik di Sabah. Muzium ini terletak di Pedalaman Sabah iaitu di daerah Keningau iaitu lebih kurang 600 meter dari Pusat Bandar Keningau.

MUZIUM WARISAN KENINGAU


Kredit Gambar : Muzium Sabah

Muzium Warisan Keningau merupakan salah satu tempat menarik di Keningau yang patut dikunjungi oleh mereka-mereka yang ingin mengenali beberapa sejarah mengenai Sabah dan khususnya daerah Keningau. Jadi kalau anda penduduk tempatan atau pelancong dari dalam ataupun luar negara yang datang ke Keningau bolehlah singgah di sini sebentar. Muzium ini terletak di Jalan Kali, Taman Mahathir iaitu cuma lebih kurang 600 meter atau kira-kira 2 minit perjalanan dari Pusat Bandar Keningau dan lebih kurang 108 km atau kira-kira 1 jam 50 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandar Kota Kinabalu. Pada awalnya bangunan ini adalah Rumah Rehat Kerajaan sebelum secara rasminya dijadikan sebagai muzium pada tahun 2008.

Bangunan Muzium Warisan Keningau sebenarnya telah dibina pada tahun 1946 dan siap sepenuhnya setahun kemudian iaitu pada tahun 1947 yang dibina oleh Borneo Construction Company Ltd iaitu semasa pentadbiran British Crown Colony. Tujuan pembinaan bangunan pada awalnya ini adalah untuk dijadikan sebagai Rumah Rehat Kerajaan pada masa itu. Rumah Rehat ini dijadikan sebagai tempat atau penginapan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang datang ke daerah Keningau untuk lawatan atau urusan kerja. Selepas Sabah merdeka dan menyertai pembentukan Malaysia bersama Sarawak dan Tanah Melayu tempat ini masih terus digunakan sebagai Rumah Rehat Kerajaan sehingga tahn 2008.


Bangunan Rumah Rehat Kerajaan ini juga mempunyai sejarah unik yang mana Rumah Rehat ini pernah menjadi tempat rehat dan juga penginapan kepada dua pemimpin utama negara yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan kedua iaitu YAM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan YAB Tun Abdul Razak sebelum dan selepas Sabah mencapai kemerderkaan dan menyertai Malaysia. Walaupun kini rumah ini telah dijadikan sebagai muzium namun sejarah dan kenangan kedua pemimpin negara ini yang datang dan menginap di sini masih terus diingati. 

Bangunan Rumah Rehat Kerjaan yang digunakan sebagai rumah penginapan untuk pegawai kerajaan yang datang melawat ke Keningau ini kemudiannya dijadikan sebagai sebuah muzium pada tahun 2008 dan secara rasminya rumah ini menjadi muzium iaitu sebagai Muzium Warisan Keningau. Muzium ini akan mempamerkan beberapa aspek warisan penduduk tempatan di Keningau seperti dari segi budaya, sejarah, zoologi, tamadun islam, sukan dan sebagainya. Terdapat juga beberapa gambar pemimpin atau pembesar yang berasal dari daerah Keningau yang dipamerkan di sini iaitu antaranya ialah Saudin bin Labutau yang berasal dari Kampung Ambual Keningau dan berbangsa Murut yang merupakan orang pertama di Malaysia yang menjejakkan kaki ke New York. 

Pada tanggal 9 September 2018, Batu Sumpah Keningau iaitu merupakan batu bersejarah yang mana batu ini memaparkan Perjanjian Pembentukan Malaysia antara pemimpin atau pembesar Negeri Sabah dan pemimpin dari Tanah Melayu. Batu ini telah dipindahkan daripada tempat asalnya dan diletakkan di dalam kawasan Muzium Warisan Keningau agar batu tersebut lebih terjaga, sekaligus menambahkan lagi tarikan kepada orang ramai dari penduduk tempatan atau pelancong dari dalam ataupun luar negara untuk datang melawat ke muzium ini dan melihat batu tersebut.  

Terdapat beberapa kemudahan yang telah disediakan untuk para pengunjung datang melawat ke sini, iaitu seperti tempat letak kereta dan kalau lapar bolehlah ke Bandar Keningau sahaja sebab tidak jauh cuma 600 meter dari sini. Sebaiknya kalau ke sini bawa apa yang perlu dicatatkan dan digambar agar dapat dijadikan bahan rujukan pada masa hadapan sebab di sini banyak bahan sejarah mengenai negeri Sabah dan daerah Keningau itu sendiri.

Untuk ke muzium ini pelancong atau pengunjung boleh menaiki bas dari Kota Kinabalu yang terletak di Padang Merdeka yang menuju ke Keningau. Biasanya bas bertolak sekitar jam 8 pagi, 12 tengahari dan 4 petang. Selepas sampai di Keningau bolehlah menaiki teksi atau perkhidmatan e-hailing yang laindan beritahu pemandu tersebut untuk hantar anda ke muzium ini. Pilihan lain ialah dengan memandu sendiri kenderaan atau boleh menyewa kenderaan yang penting anda ada lesen sahaja sekaligus bolehlah anda melawat ke tempat menarik lain disekitar daerah Keningau.

Waktu operasi :
Setiap hari : 9 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Percuma

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut bolehlah menghubungi pihak pengurusan Muzium Warisan Keningau di alamat seperti di bawah ini :

Alamat :
Muzium Warisan Keningau
Peti Surat 2753,
Jalan Kali, Taman Mahathir,
89007, Keningau
Sabah, Malaysia.
Telefon : 087-339 126
Website : Muzium Sabah


Ulasan