Langkau ke kandungan utama

Nulu Tinorindak

Nulu Tinorindak merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Bukit Tinorindak terletak di dalam daerah Kundasang, iaitu lebih kurang 1.5 km dari Pekan Kundasang, Sabah.

NULU TINORINDAK


Nulu Tinorindak (Bukit Tinorindak) merupakan salah satu tempat mendaki yang menarik terletak di daerah Kundasang yang juga merupakan satu kawasan tanah tinggi untuk melihat keindahan alam semulajadi khususnya di sekitar kawasan Kundasang. Bukit ini terletak di Lembah Permai Kundasang, Ranau iaitu lebih kurang 1.5 km atau kira-kira 5 minit perjalanan dari Pekan Kundasang dan 94 km atau kira-kira 1 jam 50 minit perjalanan dari Pusat Bandar Kota Kinabalu. Nulu Tinorindak mempunyai ketinggian 1758 meter dari aras laut dengan jarak pendakian sekitar 5.7 km pergi dan balik dari titik permulaan (starting point). Bukit ini sering menjadi pilihan kepada peminat aktiviti mendaki kerana laluan pendakianyang ke sini yang agak mencabar dan mempunyai atau menyajikan pemandangan yang cantik apabila sudah berada di atas puncak bukit ini. 

Nulu Tinorindak mula dibuka untuk pendakian orang ramai pada bulan Mei 2016 oleh Datuk Masidi Manjun yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah pada masa itu. Sejak mula dibuka telah ramai pendaki dari dalam dan luar negara yang datang mendaki di sini dan tidak kurang juga mereka yang baru mula mencuba aktiviti mendaki kerana bukit ini boleh dijadikan sebagai satu tempat latihan sebelum peminat aktiviti mendaki memulakan pendakian ke gunung yang lebih tinggi seperti Gunung Kinabalu dan beberapa lagi gunung tinggi yang terdapat di negeri ini. Apa pun yang penting persiapkan diri anda sekiranya mahu mendaki di bukit ini sebab dengan keadaan cuaca yang sejuk dan bentuk muka bumi yang agak mencabar sudah pasti memerlukan semangat yang kuat untuk sampai ke puncak bukit ini.


Sekiranya anda bercadang untuk datang mendaki bukit ini, sebaiknya anda mengatur masa dengan baik agar tidak datang ke sini pada musim hujan yang mungkin boleh menyebabkan pendakian menjadi lebih sukar. Selain itu pendakian ke puncak bukit ini semasa cuaca dalam keadaan baik akan berikan peluang kepada anda untuk dapat melihat pemandangan Gunung Kinabalu di depan mata dengan jelas sekali dan dapatlah juga melihat pemandangan seluruh kawasan pekan Kunadasang yang cantik dan indah. Bila datang ketika cuaca baik ianya akan lebih memudahkan kepada para pendaki yang baru saja mula mencuba aktiviti mendaki, oleh itu anda bolehlah mengatur masa dengan rakan-rakan untuk cari masa yang sesuai mendaki bukit ini. Ramai-ramai mendaki akan menjadikan pendakian anda ke bukit ini lebih seronok dan tidak perlu risau sebab bila ramai akan dapat saling tolong menolong ketika dalam perjalanan mendaki ke puncak bukit.  

Kalau anda mendaki ke bukit ini, akan ada pemandu jalan atau guide yang membawa 5 orang pendaki jadi anda tidak perlu risau, tetapi sebaiknya anda sentiasa berhati-hati ketika mendaki dan kalau boleh pakailah pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki sebab pendakian adalah mencabar dan mungkin akan ada bahagian yang laluannya curam, ada yang licin dan lain-lain lagi. Walaupun bukit ini tidaklah begitu tinggi namun adalah lebih baik anda membuat persiapan dan persediaan agar perjalanan anda ke sini berjalan dengan lancar dan tidak ada masalah. Antaranya pastikan kesihatan anda berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika mendaki dan jika ada mempunyai penyakit, bolehlah meminta nasihat daripada doktor terlebih dahulu sekiranya anda dibenarkan mendaki, begitu juga beritahu dengan pihak pengurusan Nulu Tinorindak masalah kesihatan anda (sekiranya ada) untuk pastikan anda dibenarkan mendaki. Jika sihat, pastikan stamina anda berada dalam tahap yang baik agar mudah untuk anda mendaki nanti.

Untuk ke sini, sebaiknya anda memandu kereta sendiri, tapi kalau tidak ada kenderaan sendiri bolehlah menyewa kenderaan dari mana-mana syarikat yang menyewakan kereta (yang penting anda ada lesen memandu). Kalau datang ramai-ramai bolehlah kongsi sewa kenderaan agar dapat menjimatkan lagi kos anda atau jika kawan ada kereta bolehlah kongsi bayarkan minyak. 

Waktu operasi :
Setiap hari : Sentiasa buka

Bayaran mendaki :
Tiket masuk : RM5.00
Guide : RM10.00
Sijil : RM10.00

Harga di atas mungkin berubah mengikut pakej pendakian atau mengikut keadaan semasa, oleh itu untuk pertanyaan harga, tempahan dan maklumat lanjut bolehlah
menghubungi pihak Nulu Tinorindak seperti alamat di bawah ini :

Alamat :
Nulu Tinorindak
Kampung Lembah Permai,
89308, Kundasang, Ranau
Sabah, Malaysia.

Telefon : 013-544 5657
Website : facebook.com/nulutinorindak/


Ulasan