Langkau ke kandungan utama

Pulau Supirak

Pulau Supirak amerupakan salah sebuah pulau yang terdapat di negeri Sabah. Pulau yang unik dan dianggap sebagai pulau lagenda ini terletak di dalam Daerah Kecil Pitas, Kota Marudu, Sabah.

PULAU SUPIRAK


Pulau Supirak atau juga disebut Pulau Batu Supirak adalah sebuah pulau yang terdapat di Negeri Sabah yang boleh anda kunjungi sekiranya datang melancong ke Sabah terutamanya ke Daerah Kecil Pitas, Kota Marudu. Pulau ini terletak di kg. Malubang Pitas, iaitu lebih kurang 186 km atau kira-kira 3 jam perjalanan dari Pusat Bandar Kota Kinabalu ke Pitas. Pulau ini sememangnya sangat unik dan menarik kerana mempunyai rupa bentuk yang seakan-akan seperti sebuah kapal laut, jadi kalau anda adalah seorang yang meminati percutian ke pulau sudah pasti ini adalah salah satu pulau yang patut anda kunjungi, walau pun pulau ini hanyalah sebuah pulau batu tapi ia pasti akan memberikan anda satu pengalaman yang cukup indah bila ke sini.

Pulau ini bukanlah sebuah pulau yang mempunyai persisir pantai seperti yang terdapat di pulau-pulau yang lain, ini kerana pulau ini adalah sebuah pulau batu, jadi memang tidak ada pasir atau pantai. Walaubagaimanapun dengan keunikan rupa bentuk ianya pasti mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke sini. Menurut cerita pulau ini dahulu adalah sebuah kapal laut yang besar, namun telah disumpah menjadi batu oleh seorang ibu kerana kecewa dengan anaknya. Dikatakan anaknya yang bernama Si Ragam telah meminta izin dari ibunya untuk berkerja disebuah kapal yang pada ketika itu sedang berlabuh di tepi laut dan berjanji akan pulang semula ke tempat ibunya setelah mendapat rezeki yang lebih. Setelah beberapa tahun berkerja dan berkerja dengan rajin akhirnya Si Ragam telah dijadikan sebagai nakhoda kapal.


Pada satu hari dikatakan kapal mereka telah berlabuh disalah sebuah pulau yang bernama Pulau Intan dan Si Ragam telah bertemu dan jatuh hati dengan puteri pulau tersebut iaitu Dayang Dundunai dan tidak lama selepas mereka berkenal, mereka pun berkahwin. Setelah beberapa bulan berkahwin mereka telah bersama-sama menaiki kapal dan berlayar, dan ketika pelayaran tersebut kapal mereka telah berlabuh di laut berhampiran kampung asal Si Ragam. Orang kampung yang melihat melihat dan mengenalinya telah menghebahkan berita tersebut. Supirak (ibu si Ragam) yang mendengar berita tersebut sangat gembira dan menaiki perahu menuju ke kapal tersebut dan berjumpa dengan anaknya. Namun Si Ragam yang melihat keadaan ibunya dengan berpakaian lusuh tidak mahu mengakui bahawa itu adalah ibu kerana terasa malu dengan isterinya yang merupakan seorang puteri diraja.

Si Ragam yang terus bertegas tidak mahu mengaku itu adalah ibunya telah menyuruh orang-orangnya untuk menghalau ibunya keluar daripada kapal itu. Akibat daripada itu Supirak (ibunya) amat kecewa dan hatinya juga begitu hancur melihat perubahan anaknya. Orang kampung yang ada di atas kapal dan berpesta bersama dengan Si Ragam turut mengejek ibunya. Akibatnya Supirak telah menyumpah anaknya menjadi batu. Walaupun anaknya terasa menyesal atas perbuatannya namun semua sudah terlambat, akhirnya anaknya dan orang-orang di kapal, orang kampung dan Supirak sendiri telah bertukar menjadi batu. Selain itu di pulau ini juga anda akan dapat melihat beberapa batu yang dikatakan terjadi akibat daripada kisah lagenda ini iaitu seperti batu berunsai, batu talam dan batu gerawang.

Kalau mahu ke sini, orang yang datang dari jauh tidak perlu risau sebab pulau ini tidak jauh juga dari daratan Kampung Malubang, iaitu kira-kira 10 minit perjalanan saja menaiki bot. Dan di Kampung Malubang juga ada chalet yang berbentuk seperti rumah panjang yang boleh anda sewa jika ingin bermalam dan melihat keindahan matahari terbenam, matahari muncul pada keesokan harinya dan juga memancing. Tapi sebaiknya kalau anda mahu ke sini dan ingin bermalam di chalet anda haruslah menempah chalet tersebut lebih awal sebab kadang kala chalet cepat penuh terutamanya ketika musim cuti seperti cuti sekolah.

Untuk ke sini, kalau naik kereta sendiri bolehlah memandu terus ke Kampung Malubang yang sejauh 186 km atau lebih kurang 3 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, kemudian pergi ke jeti Kampung Malubang untuk menempah atau menyewa bot untuk pergi ke Pulau Supirak. Kalau mahu dari kudat pun boleh juga cuma mungkin jauh sikit perjalanannya iaitu 3 jam dari Kota Kinabalu ke Kudat, kemudian dari jeti Marina ke Pulau Supirak memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Jadi terpulang pada anda mahu ikut laluan yang mana.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut bolehlah menghubungi pihak pengurusan Pulau Supirak ini seperti alamat di bawah :

Alamat :
Archangel Borneo Holidays Sdn. Bhd
Telefon : 010-308 7331
Email : archangelborneoholidays@gmail.com

Untuk membuat tempahan chalet 
sekiranya ingin bermalam boleh hubungi pihak pengurusan Indah Chalet Pitas di alamat seperti di bawah :

Alamat chalet :
Indah Chalet Pitas
Telefon : 014-953 9109
Website : facebook.com/IndahChaletPitas/

Nota :

1. Sentiasa pastikan keselamatan anda, keluarga atau rakan-rakan semasa di bot atau ketika melakukan aktiviti lain terutamanya jika ada anak-anak seperti sentiasa pakai jaket keselamatan.


Ulasan