Langkau ke kandungan utama

Sabah Tea Resort

Sabah Tea Resort merupakan salah sebuah resort yang menarik terletak di Ranau, Sabah dan resort ini sebenarnya terletak di dalam kawasan Ladang Teh Sabah, Ranau iaitu lebih kurang 126 km atau kira-kira 2 jam 45 minit perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah.

SABAH TEA RESORT

Kredit gambar : Sabah Tea


Kredit gambar : Booking

Kredit gambar : Booking

Sabah Tea Resort merupakan salah sebuah resort menarik yang bertaraf 3 bintang dan resort ini terletak dalam kawasan Ladang Teh Sabah di Kampung Nalapak, Ranau, Sabah iaitu lebih kurang 126 km atau kira-kira 2 jam 45 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu, tapi kalau dari Bandar Ranau jaraknya adalah lebih kurang 20 km atau kira-kira 33 minit perjalanan sahaja. Resort ni sebenarnya menarik sebab ia terletak di kawasan Ladang Teh Sabah yang juga merupakan salah satu tempat menarik untuk dikunjungi di negeri ini dan lokasinya yang jauh dari kesibukan bandar buatkan suasana di resort ni menjadi lebih tenang dan yang menariknya juga dari sini anda akan dapat melihat dengan jelas pemandangan alam semulajadi seperti hutan tropika dan juga Gunung Kinabalu yang ada berhadapan dengan resort ini berdiri tersergam indah, anda boleh bagun awal pada waktu pagi untuk melihat keindahan matahari terbit dicelah Gunung Kinabalu yang diseliputi embun dan kabus yang memang cukup indah. Kalau cuaca sudah agak cerah badan gunung ini akan dapat dilihat sepenenuhnya jadi anda bolehlah bergambar di lokasi yang sudah disediakan khas untuk mengambil gambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan gunung tersebut. Resort ni telah dibina pada tahun 1997 lagi dan kemudian pada tahun 2010 pihak pengurusan telah membuat pengubahsuaian resort ini agar ianya dapat menjadikannya lebih menarik untuk dijadikan tempat pilihan pelancong bercuti.

Untuk memberikan keselesaan kepada para tetamu yang datang ke Sabah Tea Resort maka pihak resort telah menyediakan pelbagai kemudahan dan juga perkhidmatan agar tetamu mereka sentiasa berpuas hati sepanjang percutian mereka bermalam di sini. Antara kemudahan serta perkhidmatan yang ada di resort ini ialah adalah sudah semestinya tempat penginapan, yang mana pihak pengurusan ada 3 jenis penginapan yang anda boleh pilih jika ingin bercuti di sini iaitu yang pertama perpenginapan Rumah Panjang Teh Sabah. kedua penginapan Kotej Teh Sabah dan ketiga adalah Tapak Perkhemahan.  Untuk Rumah Panjang Teh Sabah (Sabah Tea Longhouse) ianya adalah penginapan yang bercirikan suasana budaya tradisional masyarakat Sabah dan reka bentuk rumah panjang ni adalah diadaptasikan daripada reka bentuk Rumah Panjang Rungus dengan dindingnya diukir corak 7 budaya etnik di Sabah iaitu Rungus, Bajau, KadazanDusun, Murut, Lundayeh, Lotud dan Melayu Brunei, jadi ianya memang cukul cantik dan menarik bagi mereka yang ingin melihat dan mengenali budaya etnik di negeri ini. Di rumah panjang ni ada beberapa bilik dan setiap bilik tu boleh memuatkan 2 hingga 3 orang dalam satu masa dan bilik ini dilengkapi dengan beberapa kemudahan atau peralatan untuk tetamu seperti kipas siling sebab biasa rumah panjang budaya tidak ada penghawa dingin, kelambu juga ada disediakan bagi mengelakkan anda digigit oleh nyamuk, siapa yang bawa telefon, kamera atau laptop tu tidak perlu risau sebab di sini ada juga soket untuk cas peralatan
anda. Selain itu kemudahan lain yang ada pada rumah panjang ialah 6 tandas dan 14 bilik mandi yang terletak di luar dan beberapa peralatan untuk cuci pakaian yang telah disediakan.


Jenis penginapan kedua adalah Kotej Teh Sabah (Sabah Tea Cottages), suasana di penginapan ni lebih santai dan tradisional tetapi dalam bilik penginapan ni dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden walaupun lokasinya yang jauh dari bandar dan antara kemudahan yang ada dibilik ini ialah katil bersaiz queen dan single yang dapat memuatkan sehingga 3 orang dalam satu masa, selain tu terdapat TV LCD yang disediakan, penyaman udara, bilik mandi, almari dan lain-lain lagi untuk keselesaan para tetamu. Jenis penginapan yang ketiga adalah tapak perkhemahan yang sesuai bagi mereka yang lebih suka berkhemah di luar. Lokasi tapak perkhemahan ni berdekatan dengan sungai iaitu Sungai Sapoan, jadi anda boleh berkhemah di sini, memasak makanan sendiri seperti buat BBQ yang sudah pasti akan lebih seronok lebih-lebih lagi jika datang beramai-ramai bersama keluarga atau rakan berkhemah, masak dan makan bersama di bawah sinaran bulan dan bintang. Untuk tapak perkhemahan ni terdapat beberapa juga kemudahan lain  yang disediakan iaitu seperti tandas awam dan khemah untuk disewa, tapi kalau anda mahu jimat boleh bawa khemah sendiri dari rumah. Kawasan tapak perkhemahan ni mampu untuk memuatkan lebih kurang 150 orang dalam satu masa, jadi siapa yang berminat untuk berkhemah di sini boleh buat tempahan awal sikit untuk memastikan bahawa kawasan tapak tidak penuh. Setiap bilik di sini adalah kawasan dilarang merokok, oleh itu sekiranya anda ingin merokok bolehlah tanya pekerja atau kakitangan yang bertugas dimana kawasan yang dikhaskan untuk ini. Selain daripada penginapan, kemudahan dan perkhidmatan lain yang disediakan pihak resort adalah restoran yang mana terdapat sebuah restoran yang ada di sini dan menyediakan pelbagai jenis menu makanan untuk sarapan, makan tengahari serta makan malam, dan yang menariknya menu makanan atau minuman di sini ada yang menggunakan Teh Sabah seperti teh tarik pandan dan pancake teh.

Untuk memudahkan para tetamu sentiasa berhubung keluarga atau rakan
dengan lebih mudah maka pihak resort ada menyediakan kemudahan internet percuma seperti wifi di semua kawasan resort ini termasuk di bilik penginapan, jadi bolehlah anda memuat naik gambar percutian anda di resort ini yang cantik dan menarik ke laman sosial masing-masing untuk dikongsikan. Bagi yang datang seperti dari luar daerah dengan memandu kereta sendiri, anda tidak perlu risau tentang tempat untuk meletakkan kereta anda sebab di resort ini pun ada menyediakan kemudahan kawasan tempat letak kereta yang berdekatan dengan tempat penginapan. Dewan majlis atau acara dan bilik mesyuarat ada disediakan di sini untuk sesiapa yang mahu melakukan majlis seperti acara dan majlis harijadi, perkahwinan, makan malam, mesyuarat dan beberapa majlis keramaian yang lain, untuk sewa tempat ni sebaiknya anda buat tempahan lebih awal agar pihak resort dapat memastikan tidak ada tetamu lain yang menggunakan dewan tersebut pada tarikh yang anda pilih dan sekaligus dapat menyediakan segala kemudahan dan juga peralatan yang patut untuk majlis anda itu nanti. Untuk keselamatan pihak resort menyediakan khidmat pengawal keselamatan yang bertugas dalam 24 jam agar dapat memastikan tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, selain itu cctv 24 jam juga ada dipasang dikawasan umum. Sesiapa yang menginap atau bercuti lama di sini mungkin boleh dapatkan perkhidmatan dobi dan cucian kering yang disediakan pihak resort, jadi anda tidak perlulah risau lagi tentang pakaian sekiranya jumlah yang anda bawa adalah sedikit sahaja. Untuk senarai lebih ringkas, di bawah ni adalah beberapa kemudahan yang disediakan pihak resort iaitu seperti :

Kemudahan/Perkhidmatan :

01. Penginapan 3 jenis
02. Dewan majlis
03. Restoran Sabah Tea
04. CCTV 24 jam
05. Pengawal K
eselamatan 24 jam
06. Kemudahan BBQ
07. Khidmat dobi dan cucian kering
08. Pancuran air mandi panas/sejuk
09. Tapak perkhemahan
10. Khemah untuk disewa
11. Tempat letak kereta
12. Kedai cenderahati
13. Kelambu di rumah panjang
14. Besen basuh di rumah panjang
15. TV di Cottages

Walaupun resort ni letaknya di kawasan kebun atau ladang teh tapi terdapat juga banyak aktiviti yang boleh anda buat bila datang bercuti di sini, antaranya adalah seperti jejak hutan atau jungle trekking, anda boleh buat aktiviti ni dalam berkumpulan agar lebih seronok tetapi perlulah mendapat kebenaran dahulu daripada pihak resort agar mereka dapat menyediakan apa-apa yang perlu termasuklah pemandu jalan yang akan menunjukkan jalan kepada kumpulan anda ketika melakukan jungle trekking ni. Selain itu anda juga boleh buat aktiviti melawat ke kilang Teh Sabah yang terletak berhampiran saja dengan tempat ni dan di kilang ni mungkin anda boleh melihat cara-cara Teh Sabah ni diproses dan sebagainya. Aktiviti seterusnya adalah berjalan-jalan atau bersiar pada awal pagi untuk melihat keindahan matahari terbit yang begitu indah dicelahan Gunung Kinabalu. Yang suka melukis tu mungkin anda boleh cuba untuk ikut aktiviti membuat atau melukis batik yang disediakan pihak resort dan biasanya corak batik yang dilukis di sini adalah corak batik Sabah. Kalau anda datang beramai-ramai secara berkumpulan bersama kawan bolehlah buat aktiviti bina pasukan atau team building seterusnya melakukan pelbagai aktiviti sukan atau sukaneka yang boleh dilakukan di resort ini. Tapi rasanya yang lebih menarik di sini adalah buat aktiviti melawat Ladang Teh Sabah sambil melihat cara-cara kakitangan di sini memetik daun teh di sini, dari ladang teh ni pun memang sesuai untuk anda mengambil gambar kerana ianya menyajikan satu pemandangan yang cukup mengagumkan.

Pada waktu malam pula anda boleh ikut aktiviti berjalan malam melihat serangga termasuklah kelip-kelip yang begitu cantik pada waktu malam tapi kalau jalan malam ni pun perlu bertanya dengan pihak resort terlebih dahulu, jangan jalan sendirian sesuka hati kalau pada waktu malam. Aktiviti lain ialah seperti lawatan ke kelas yang menerangkan tentang kebudayaan masayarakat di Sabah, aktiviti berbasikal dan juga aktiviti mendaki sebab di tempat ni memang kawasan berbukit jadi mungkin anda boleh buat aktiviti mendaki ni yang dibuat oleh pihak resort buat pada tetamu mereka yang membuat permintaan untuk aktiviti ini. Selain itu terdapat juga beberapa aktiviti yang agak lebih mencabar sedikit iaitu aktiviti merentas halangan seperti tali rendah dan komander. Jika anda bercuti ke sini dalam beberapa hari mungkin anda boleh pertimbangkan sekali untuk melawat beberapa tempat menarik yang terletak berhampiran dengan resort dan ladang teh ni dan khususnya melawat tempat menarik di daerah Ranau dan juga Kundasang seperti

Tempat menarik berhampiran :

01. Sabah Tea Garden Day
02. Bukit Kotud
03. Kolam Air Panas Poring
04. Damai Eco Ranch
05. Taman Negara Kinabalu
06. Rafflesia Conservation Garden
07. Tagal Sg. Moroli Fish Spa
08. Kinomulok Garden
09. Sably Goat
10. Ranau Paragliding
11. Taman Rekreasi Mini Kembara

Di resort ni memang banyak lagi kemudahan, perkhidmatan dan juga aktiviti yang boleh anda dapatkan serta lakukan di sini, bagi yang ingin tahu kemudahan dan aktiviti lain mungkin boleh layari laman web rasmi Sabah Tea Resort. atau terus menghubungi pihak pengurusan resort ini. Kalau mahu ke sini dari Kota Kinabalu boleh ambil bas di Terminal Bas Bandaraya Utara yang terletak di Inanam lebih kurang 10 km dari Pusat Bandaraya Kota Kinabal, naik bas di sini yang menuju ke Ranau dan boleh beritahu pemandu atau pembantu pemandu untuk menurunkan anda di Ranau. Bila sudah sampai Ranau bolehlah sewa teksi atau perkhidmatan e-hailing yang lain untuk ke resort ini. Kalau datang dari daerah lain iaitu daerah di Pantai Timur Sabah seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan lain-lain lagi tu boleh ikut juga cara macam kalau dari Kota Kinabalu ni. Pilihan lain ialah memandu kereta sendiri terus ke sini atau kalau tidak ada kereta bolehlah sewa kereta yang penting anda mempunyai lesen yang sah ya, jangan memandu tanpa lesen.

Untuk sebarang maklumat yang lebih lanjut anda bolehlah menghubungi pihak pengurusan Sabah Tea Resort di alamat seperti di bawah ini.

Sabah Tea Resort
KM17, Jalan Ranu-Sandakan,
Kampung Nalapak,
89309, Ranau,
Sabah, Malaysia.
Telefon : +6088 440 882
Email : info@sabahtea.net
Website : Sabah Tea

Ulasan