Langkau ke kandungan utama

Taman Kinabalu Serinsim

Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Tempat ini terletak dalam daerah Kota Marudu, iaitu lebih kurang 35 km dari Pekan Kota Marudu, Sabah.

TAMAN KINABALU SERINSIM


Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim merupakan salah sebuah tempat menarik di Kota Marudu yang juga merupakan kawasan tanah Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa dijaga dan dipelihara keaslian hutannya. Taman ini terletak di daerah Kota Marudu iaitu lebih kurang 35 km atau kira-kira 40 minit perjalanan dari Pekan Kota Marudu dan lebih kurang 155 km atau kira-kira 2 jam 45 minit perjalanan jika dari Bandar Kota Kinabalu. Taman ini juga dikenali dengan nama Taman Serinsim atau Taman Sorinsim yang mana ia juga merupakan salah satu daripada empat sub-stesen yang terdapat di dalam Taman Negara Kinabalu. Tempat ini dahulunya adalah sebuah kawasan pertanian yang mula dibuka oleh penduduk sekitar Serinsim ni, kemudian tempat ni diambil oleh Kerajaan Sabah seterusnya diwartakan sebagai salah satu daripada Taman-Taman Sabah pada tahun 1992.

Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim sangat sesuai sebagai salah satu tempat beriadah atau perkelahan dan perkhemahan seisi keluarga ataupun bersama rakan-rakan kerana terdapat banyak kawasan atau tempat menarik yang terdapat di dalam taman ini. Tempat menarik yang terdapat di dalam taman ini selalu menjadi pilihan penduduk tempatan dan pelancong dari luar negara yang datang melancong ke Negeri Sabah iaitu seperti Gunung Nambuyukong yang mempunyai ketinggian 1603 meter. Gunung ini boleh didaki tidaklah terlalu tinggi dan boleh didaki dalam sehari sahaja kerana jarak pendakian cuma 13 km atau kira-kira 10 jam perjalanan pergi dan balik, oleh itu tidak hairanlah gunung ini sering menjadi pilihan peminat-peminat aktiviti mendaki dari kalangan penduduk tempatan dan pelancong dari dalam dan luar negara apabila ke sini, tetapi perlu kebenaran dari Taman-Taman Sabah dahulu sebab anda perlu mengupah seorang pemandu jalan atau guide untuk mendaki gunung ini
.


Selain itu terdapat juga sungai yang airnya sejuk dan bersih di dalam taman ini yang boleh pengunjung buat aktiviti mandi manda bersama keluarga atau rakan-rakan, tetapi perlu sentiasalah berhati-hati bila mandi di air sungai sebab risiko adalah tanggungjawab anda sendiri, jadi bawalah apa-apa yang perlu jika ingin mandi air sungai ini sambil beriadah dan berkelah ditepi sungai tersebut. Terdapat juga pondok dapur dan tempat masak bbq jika anda mahu masak bbq selepas mandi di sungai, tetapi anda perlu sediakan peralatan sendiri untuk masak bbq. Kalau anda datang untuk lawatan sehari saja tidak masak di sini pun tidak mengapa sebab boleh bawa makanan dari rumah atau beli saja dari kedai dan bawa ke sini dan makan ramai-ramai. Anda juga boleh berjalan meredah hutan untuk ke kawasan air terjun iaitu Air Terjun Sorinsim atau juga dikenali sebagai Air Terjun Misumpak yang mempunyai ketinggian 12 meter dan anda boleh mandi di air terjun, tetapi untuk ke air terjun ini anda perlulah upah seorang pemandu jalan atau guide yang dikendalikan oleh Pihak Taman-Taman Sabah.    

Aktiviti lain yang boleh anda lakukan apabila berada di taman ini ialah melawat ke gua kelawar yang terletak sejauh 5.5 km perjalanan dari taman ini, lawat makam Sigunting iaitu seorang pahlawan Dusun Kota Marudu kelahiran Kampung Serinsim yang telah melawan menentang penjajahan Brisith sekitar penghujung tahun 1894 hingga 1905, di sini juga anda boleh melawat ke satu tapak bersejarah iaitu sebuah makam orang tertinggi di dunia yang bernama Gambaliu dan dikatakan mempunyai ketinggian 24 kaki iaitu lebih tinggi dari orang tertinggi dunia pada masa ini. Tempat lain yang boleh anda lawat di sini ialah batu lebah dan boleh melawat ke ladang rusa yang seluas 10 ekar dengan sebuah menara untuk melihat jelas rusa-rusa tersebut. Jalan meredah hutan ke tempat-tempat ini sememangnya akan memberikan anda satu pengalaman yang cukup indah kerana sepanjang perjalanan meredah hutan ini, anda akan dapat melihat pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat dalam hutan ini.

Anda yang minat aktiviti berkhemah boleh juga datang berkhemah di sini kerana terdapat kawasan khas yang disediakan untuk para pengunjung yang datang untuk berkhemah di taman ini. Memang banyak aktiviti yang boleh anda lakukan apabila datang ke Taman Kinabalu Serinsim ini, tetapi semua aktiviti tersebut pastikan memberitahu terlebih dahulu dengan pihak pengurusan taman ini agar mereka boleh buat persiapan atau memberi taklimat tentang keselamatan dan persediaan pemandu jalan atau guide, lebih lebih lagi untuk aktiviti mendaki, meredah hutan dan aktiviti lain. Secara ringkas antara aktiviti yang boleh anda lakukan apabila berada di taman ini ialah seperti :

Aktiviti :

01. Mendaki gunung Nambuyukong
02. Meredah hutan 
03. Barbeque
04. Mandi sungai
05. Berkelah
06. Beriadah 
07. Melawat makam Sigunting
08. Melawat makam Gambaliu
09. Melawat gua kelawar
10. Jalan ke Air Terjun Misumpak
11. Melawat ladang rusa
12. Melawat batu lebah
13. Berkhemah
14. Sukaneka
15. Pendidikan
16. Kerja berkumpulan

Terdapat juga beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan Taman Kinabalu Serinsim ini untuk pengunjung yang datang ke sini sama ada yang datang untuk lawatan dalam sehari ataupun yang bermalam di penginapan dan berkhemah. Kemudahan yang disediakan ini adalah bertujuan agar dapat memudahkan dan memberi keselesaan kepada para pengunjung sekaligus dapat menarik lebih ramai yang datang terutama sekali pelancong daripada luar negara. Antara beberapa kemudahan yang ada disediakan di taman ini ialah
seperti :

Kemudahan :

01. Penginapan
02. Elektrik 
03. Pondok dapur
04. Tandas
05. Tempat bbq
06. Tempat unggun api
07. Tapak perkhemahan 
08. Kedai runcit (luar pagar)
09. Kafe (luar pagar)
10. Pemandu jalan/guide

Kemudahan dalam penginapan :

01. Katil
02. Dapur
03. Tilam
04. Bantal
05. Selimut
06. Bilik air
07. Penghawa dingin
08. Lampu

Kepada mereka yang mahu bermalam di sini sama ada di penginapan atau di khemah, anda perlulah membawa barang-barang keperluan yang dirasakan sangat penting untuk digunakan sepanjang berada di taman ini nanti. Kalau bermalam di sini boleh bawa makanan basah untuk anda masak nanti, tidak kira masak di dapur ataupun dengan buat bbq. Selain itu bawa minuman, baju untuk mendaki, lampu suluh, khemah dan lain-lain lagi. Jika mahu berkhemah di sini, pastikan bertanya dahulu sama ada di sini ada menyediakan khemah untuk disewa atau tiada, kalau tiada maka anda harus membawa khemah sendiri dari rumah.

Nota penting : 
Anda TIDAK dibenarkan membawa atau memasak masakan tidak halal seperti khinzir di dalam tempat penginapan yang anda sewa sekiranya bermalam di penginapan atau chalet tersebut.

Untuk ke sini anda boleh menaiki bas dari Kota Kinabalu yang menuju ke daerah Kota Marudu, lepas sampai ke Kota Marudu bolehlah menaiki menyewa teksi atau perkhidmatan e-hailing lain dan beritahu pemandu untuk hantar anda ke tempat ini iaitu Taman Kinabalu Serinsim. Tetapi kalau anda ada kereta sendiri adalah lebih baik, kalau tidak ada kereta boleh juga sewa kenderaan (yang penting anda ada lesen memandu), ini adalah bagi memudahkan pergi dan balik anda dari tempat ini dan pergi membeli barang keperluan sekiranya ada kekurangan jika bermalam di sini. 

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk (warga) :
Dewasa : RM3.00
Kanak-kanak : RM1.00
Warga Emas : RM1.00

Bayaran masuk (bukan warga)
Dewasa : RM15.00
Kanak-kanak : RM10.00
Warga emas : RM15.00

Tapak perkhemahan :
Dewasa : RM5.00 seorang /malam
Kanak-kanak : RM2.00 seorang /malam
Warga emas : RM5.00 seorang /malam

Sebarang pertanyaan, pertanyaan harga mendaki, sewa chalet, maklumat lanjut dan membuat tempahan boleh menghubungi pihak Taman-Taman Sabah seperti alamat di bawah ini :

Alamat : 
Sabah Parks
Lot 45 & 46, Level 1-5,
Block H, Signature Office,
KK Times Square, Coastal Highway,
88100, Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.
Telefon : 088-523 500
Webiste : www.sabahparks.org.my

Ulasan