Langkau ke kandungan utama

Tangga Seribu Sandakan

Tangga Seribu Sandakan merupakan salah satu tempat menarik di Sabah untuk anda kunjungi bila ada kesempatan, tetapi perlu diingatkan jika anda mahu berjalan di tangga ini sebaiknya datanglah dalam satu kumpulan yang ramai dan jangan ke sini satu atau dua orang sahaja sebab laluan tangga ni agak sunyi terutamanya pada waktu awal pagi dan lewat petang. Tangga Seribu ini terletak di Pusat Bandar Sandakan dan boleh jalan kaki beberapa minit sahaja dari Terminal Bas Bandar Sandakan.

TANGGA SERIBU


Kredit gambar : Mpstourism


Kredit gambar : Mpstourism


Kredit gambar : Mpstourism


Kredit gambar : Mpstourism


Kredit gambar : Mpstourism

Tangga Seribu Sandakan merupakan salah satu tempat menarik di Sandakan yang sudah cukup dikenali oleh penduduk di daerah ini, bagi anda yang mahu berjalan ditangga seribu ini diingatkan untuk datang dalam berkumpulan, lagi ramai anda datang ke sini lebih baik dan jangan ke sini satu atau dura orang sebab laluan tangga ini memang sangat sunyi terutama sekali pada waktu awal pagi dan lewat petang, oleh itu disarankan jika ke sini datanglah ke sini beramai-ramai. Tangga ini telah dibina sejak zaman penjajahan British lagi yang mana pada ketika itu tangga ini digunakan sebagai laluan ke Pusat Bandar Sandakan oleh masyarakat cina pada ketika itu untuk menjual hasil pertanian mereka di pasar bandar. Selain itu Tangga Seribu Sandakan juga telah disenaraikan sebagai Jejak Warisan ke-3 dalam senarai Jejak Warisan Sandakan dan mempunyai kaitan sejarah ketika penjajahan zaman British. Tangga ni terletak di Pusat Bandar Sandakan dan berada tidak jauh dari Wisma Perbandaran Majlis Perbandaran Sandakan dan ianya cuma mengambil masa lebih kurang 5 hingga 10 minit sahaja dengan berjalan kaki dari Terimal Bas Bandar Sandakan. Tangga ini dahulunya telah rosak selepas Perang Dunia Kedua namun telah dibaik pulih semula oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan dan pada tahun 2021 tangga ini telah dibuat penambahbaikan dengan mewarnakannya dan melukis corak mural pada tangga tersebut seperti yang anda lihat pada gambar di atas. Tangga ini memang menarik untuk dilalui cuma mungkin suasana laluannya yang sunyi dan dahulu ada banyak kes yang terjadi di sini menyebabkan ramai yang tidak berani jika sikit orang sahaja yang ikut ke sini. Walaupun pada masa kini ada juga pihak berkuasa membuat rondaan di tangga ini tetapi sekiranya anda bercadang ke tangga ini adalah lebih baik datang beramai-ramai seperti yang sudah dinyatakan di atas tadi untuk kebaikan dan keselamatan anda ketika berjalan ditangga ini dan kalau ke sini pastikan datang pada waktu siang sahaja.

Tangga seribu adalah nama popular yang diberikan kepada tangga ini oleh penduduk tempatan yang tinggal di daerah Sandakan sebab mungkin tangga ini mempunyai banyak anak tangga, tetapi sebutan nama tangga ini yang sebenarnya adalah 'tangga dengan seratus langkah' dan jumlah anak tangga seribu ini adalah lebih kurang 124 anak tangga sahaja. Pada masa kini tangga ini digunakan untuk orang ramai sebagai jalan pintas ke
Jalan Astana yang mana terdapatnya salah satu lagi jejak warisan yang ada di daerah ini iaitu Rumah Agnes Keith atau Agnes Keith House yang juga merupakan Jejak Warisan Ke-4 dalam senarai Jejak Warisan Sandakan. Selain daripada rumah bersejarah ini, anda juga boleh melihat pemandangan yang cukup indah dari atas Jalan Astana ini iaitu pemandangan Bandar Sandakan dan air laut yang terbentang luas serta pulau kecil yang berada diseberang sana, boleh lihat pemandangan itu seperti yang ada pada gambar kelima di atas tadi. Dari Jalan Astana ini juga anda boleh menggunakan Tangga Seribu sebagai jalan pintas untuk ke Pusat Bandar Sandakan iaitu berhampiran dengan Majlis Perbandaran Sandakan punya bangunan, berhampiran juga balai polis bandar, dan beberapa lagi jejak warisan yang lain seperti Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri Sandakan yang berusia lebih kurang 135 tahun, Dataran Majlis Perbandaran Sandakan, Monumen William Pryer, Monumen Syarikat Berpiagam, Monumen Pembebasan Sandakan dan Monumen Perang Sandakan. Oleh itu apabila anda turun semula dari Tangga Seribu bolehlah terus berjalan dan melihat beberapa lagi jejak warisan yang disebutkan ini sebab tidak jauh juga dari tempat anda turun dari tangga tadi, tetapi bagi yang bukan muslim dan ingin ke Masjid Jamek dan masuk ke dalamnya untuk melihat keunikan masjid tertua di Sabah ini, pastikan anda minta kebenaran terlebih dahulu dengan pihak masjid sebelum masuk.


Seperti yang juga sudah disebutkan di atas tadi Tangga Seribu Sandakan telah pun dicantikkan dengan diwarna dan dilukis mural pada tangga tersebut dan kerja menambahbaik dan mencatikkan tangga ini adalah hasil kerjasama antara Majlis Perbandaran Sandakan, Kementerian
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah. Oleh itu sekiranya anda berjalan di tangga ini pastikanlah jangan membuang sampah merata tempat, kalau ada tong sampah bolehlah buang terus ke dalam tong sampah tersebut tetapi kalau tidak nampak tong sampah boleh bawa sahaja dulu sampah anda tu dan buang bila ada jumpa tong sampah nanti. Bila datang beramai-ramai naik tangga ini kalau boleh bawalah sedikit air minuman sebab seratus lebih anak tangga ini walaupun tidaklah terlalu tinggi tetapi mungkin juga boleh menyebabkan anda terasa penat dan lelah. Apa pun kadang tangga ini dalam keadaan licin dan dipenuhi daun yang berguguran oleh itu sentiasalah berhati-hati apabila melangkah di tangga ini untuk elakkan anda daripada tergelincir jatuh terutama sekali ketika musim hujan atau jika ketika itu baru habis hujan. Diharapkan pihak MPS dapat selalu menjaga dan membersihkan tangga ini agar ianya sentiasa kelihatan cantik dan bersih sekaligus dapat menarik minat lebih ramai orang datang ke sini, selain itu harapnya ada juga rondaan yang lebih kerap dan kawalan keselamatan daripada pihak berkuasa untuk mengawasi tangga ini agar orang ramai tidak merasa risau atau takut untuk melakukan aktiviti seperti berjalan atau joging menaiki dan menuruni tangga ini sebab tangga ini mempunyai satu potensi yang cukup baik dari segi pelancongan di Sandakan.

Peringatan :

1. Jangan datang sikit orang
2. Datanglah beramai-ramai
3. Hati-hati jika tangga licin
4. Jangan merokok
5. Jangan buang sampah

Tangga ini berada dibawah jagaan dan pengurusan pihak MPS maka oleh itu sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi terus pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) seperti alamat di bawah ini :

Alamat :
Jabatan Pelancongan

Majlis Perbandaran Sandakan
Peti Surat 221,
Sandakan, Sabah.
Tel : +6089 221 944
Website : MPS
Web fb : Mpstourism


Ulasan