Langkau ke kandungan utama

Tawau Bell Tower

Menara Loceng Tawau (Tawau Bell Tower) merupakan salah sebuah tempat menarik di Sabah. Menara Loceng ini terletak di daerah Tawau, berhampiran dengan Padang Bandaran Tawau, Sabah.

TAWAU BELL TOWER



Menara Loceng Tawau (Tawau Bell Tower) merupakan salah satu tempat yang juga merupakan tempat bersejarah bagi daerah Tawau . Menara ini telah dibina pada tahun 1921 hasil daripada sumbangan yang telah diberikan oleh ahli perniagaan Jepun pada masa itu. Kebanyakkan pekerja yang diambil berkerja untuk pembinaan loceng ini adalah daripada buruh penjara. Menara ini juga di kenali dengan nama 'Belfry'.

Loceng ini di bina berhampiran dengan Padang Bandaran Tawau dan tujuan utama pembinaan menara ini adalah bagi memperingatai perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1918 yang mana pada masa itu Jepun merupakan sekutu kepada British. Ketika loceng ini dibina ia selalu digunakan untuk menandakan bermulanya waktu kerja dan juga untuk masa-masa kecemasan.


Selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2 iaitu pada tahun 1945, loceng ini adalah antara salah satu bangunan yang masih terselamat dan masih berdiri teguh berhampiran Padang Bandaran Tawau. Lokasi loceng ini juga dikatakan merupakan tempat tentera Jepun yang telah ditawan atau yang telah menyerah diri untuk dikumpulkan sebelum dihantar ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) oleh tentera British dan Australia yang telah berjaya menawan kembali daerah Tawau.

Menara Loceng Tawau ini diperbuat daripada kayu yang keras seperti belian dengan 6 tiang keseluruhannya. Oleh kerana sudah dibina terlalu lama menara ini pernah mengalami beberapa kerosakan dan pada tahun 2006 menara ini telah dibaik pulih oleh pihak swasta yang kemudiannya menyerahkan semula menara ini kepada pihak Muzium Negeri Sabah pada 12 Jun 2006.

Walaupun nama menara ini adalah menara loceng, namun loceng yang ada di menara ini sudah tidak ada lagi. Peristiwa kehilangan loceng pada menara ini juga dikatakan sebagai misteri kerana tidak ada sebarang petunjuk kehilangan tersebut sehingga kini.

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi - 5 petang

Bayaran masuk :
Percuma

Nota :
Kalau pengunjung atau pelancong mahu ke sini, bolehlah datang ke bandar Tawau kerana lokasi menara ini adalah di bandar Tawau dan mudah untuk di temui yang hanya berhampiran dengan Padang Bandaran Tawau. Kalau datang melawat waktu petang boleh sekali tengok kemeriahan orang ramai bersukan di padang.

Ulasan