Tehe-Tehe

Tehe-Tehe merupakan salah satu makanan tradisional di Sabah. Tehe-Tehe adalah makanan tradisi bagi suku kaum Bajau di Sabah terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah seperti di Semporna.

TEHE-TEHE

Kredit Gambar : Djesseltonsabah

Tehe-Tehe adalah salah satu makanan tradisional di Sabah. Makanan ini ialah makanan tradisi dan boleh dikira sebagai makanan wajib bagi suku kaum Bajau terutamanya yang tinggal di sebelah Pantai Timur Sabah seperti di Daerah Semporna. Tehe-Tehe ini adalah sejenis hidupan laut yang dipanggil landak laut dan ia banyak dijual di daerah Semporna dengan harga sekitar RM10.00 ke atas mengikut bilangan dan saiz landak laut itu. 

Hidangan ini dipanggil Tehe-Tehe kerana ia menggunakan landak laut (tehe-tehe) sebagai tempat untuk meletakkan nasi, jadi ia sebenarnya adalah nasi tehe-tehe, tetapi untuk meringkaskan sebutan tersebut maka orang ramai biasa sebut ia dengan perkataan tehe-tehe saja. Ia lebih kurang seperti memasak nasi himpit atau pun ketupat, cuma bezanya nasi tehe-tehe ini menggunakan cengkerang landak laut sebagai alat untuk membungkus nasi tersebut.


Antara bahan-bahan yang biasanya digunakan untuk menyediakan atau memasak hidangan tehe-tehe ini adalah seperti berikut :

Bahan-bahan :

01. Tehe-tehe (landak laut)
02. Beras
03. Halia
04. Garam
05. Gula

Cara penyediaanya adalah seperti berikut :

01. Sebaiknya anda rebus tehe-tehe terlebih dahulu agar lebih mudah untuk anda membuang duri halus yang berada di bahagian luar cengkerangnya.

02. Selepas membuang duri dibahagian luar, kemudian buang bahagian dalam cengkerang tehe-tehe tersebut dan bersihkan bahagian dalaman tersebut.

03. Gaulkan seua bahan-bahan seperti beras, halia, garam dan gula sehingga sebati (halia, garam dan gula adalah untuk sebagai bahan perasa).

04. Masukkan bahan yang sudah digaul tadi ke dalam cengkerang tehe-tehe dan tutup cengkerang tersebut supaya nasi yang dimasukkan tidak terkeluar apabila direbus.

05.  Rebus nasi tehe-tehe tersebut selama lebih kurang 30 minit. Selepas masak bolehlah ambil atau angkat nasi tehe-tehe tersebut dan hidang untuk dimakan.

Masakan ini biasanya dibuat untuk dihidangkan makan bersama keluarga, selain itu hidangan ini juga selalu dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumah mereka lebih-lebih lagi dari suku kaum Bajau itu sendiri.

Nota :

01. Kalau mahu nasi tehe-tehe ini lebih sedap boleh tambah bahan-bahan lain seperti tambah isi udang, sotong atau makanan laut lain.

02. Pastikan cuci bahagian dalam cengkerang landak laut agar ianya tidak akan mengeluarkan bau seperti bau tanah atau hanyir.

03. Tutup cengkerang sebelum direbus menggunakan apa-apa daun seperti daun kelapa dan sebagainya, yang penting bersihkan dahulu daun tersebut.

Lihat tempat menarik di Sabah klik sini
Lihat ruangan iklan klik sini

  
  

Ulasan