Langkau ke kandungan utama

Turali

Turali merupakan salah satu alat muzik tradisional Sabah dan termasuk dalam kategori aerofon iaitu seperti alat muzik seruling. Alat muzik ini adalah alat muzik tradisi suku kaum Kadazan-Dusun

TURALI

Credit Gambar : alliwannadoinmyheart

Turali merupakan salah satu alat muzik tradisional di Sabah yang biasanya digunakan oleh suku kaum Kadazan Dusun. Turali juga dikenali atau disebut dengan beberapa nama mengikut daerah contohnya di Tambunan ia disebut dengan nama Turahi manakala di Penampang pula ianya di sebut Tuahi. Apa pun sebutan atau panggilannya alat muzik ini adalah yang sama juga.

Alat muzik ini mempunyai rupa bentuk yang dilihat seakan-akan alat muzik seperti seruling, namun alat muzik ini mempunyai keunikan tersendiri kerana alat muzik ini tidak ditiup menggunakan mulut seperti seruling, sebaliknya alat muzik Turali ini akan ditiup dengan menggunakan hembusan daripada hidung untuk menghasilkan bunyi atau rentak muzik. Jadi sudah pasti ianya adalah unik lebih-lebih lagi kepada si pemainnya kerana bukan senang untuk menghasilkan rentak bunyi melalui hembusan dari hidung.


Seperti alat muzik tradisional Sabah yang lain, alat muzik ini juga diperbuat daripada buluh, yang mana pada bahagian hujung buluh tersebut akan di tebuk lubang (salah satu hujung saja jangan kedua-kedua hujung dilubang). Kemudian pada bahagian tengah atau badan buluh tersebut akan dibuat dalam 4 lubang  iaitu 3 lubang di bahagian atas manakala 1 lubang lagi di bahagian bawah.

Alat muzik Turali ini terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu Bahagian Mokorudu, Bahagian Pogunian dan Bahagian Pongirusan :

1. Pogunian adalah lubang yang dibuat di bahagian hujung alat muzik Turali yang juga dijadikan tempat meniup menggunakan hembusan dari hidung.

2. Pongirusan adalah lubang yang buat di tengah bahagian belakang Turali yang mana ia biasanya akan dimainkan menggunakan ibu jari kiri sambil jari kiri yang lain memainkan lubang pada bahagian tengah untuk menghasilkan bunyi.

3. Mokorudu pula adalah lubang bahagian pada sebelah bawah Turali yang akan dimainkan dengan menggunakan jari tangan kanan untuk menghasilkan bunyi.


Pada masa dahulu alat muzik ini hanya dimainkan apabila dalam kesedihan iaitu sepeti ketika ditimpa musibah, namun kini ia lebih banyak dimainkan pada majlis-majlis lain sama ada majlis rasmi atau pun majlis keramaian dan juga ketika sendirian untuk menghilangkan rasa bosan.

Ulasan