Ujana Elopura merupakan salah satu tempat menarik di Sabah, tempat ini adalah sebuah kawasan taman rekreasi yang terletak di Pantai Timur Sabah dalam daerah Sandakan iaitu lebih kurang sekitar 7 minit perjalanan saja daripada Pusat Bandar Sandakan.
UJANA ELOPURA
Ujana Elopura merupakan salah sebuah tempat menarik yang terdapat di daerah Sandakan dan tempat ni merupakan sebuah taman rekreasi untuk seisi keluarga khususnya bagi mereka yang tinggal di sekitar daerah Sandakan. Dahulunya tempat ni adalah kawasan padang dan juga kawasan perumahan setinggan iaitu Kampung Muhibah yang telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan dengan membuat beberapa pembinaan seperti jalan raya yang baru iaitu Jalan Lintas Utara. Selepas jalan raya tersebut siap dibina maka pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Sandakan telah mengambil inisiatif untuk buat satu taman rekreasi di kawasan ini yang dinamakan Ujana Elopura. Tempat ni terletak di Batu 2½ iaitu lebih kurang 4.9 km atau kira-kira 7 minit perjalanan menaiki kereta mengikut Jalan Labuk Utara, tapi kalau ikut jalan baru iaitu Jalan Lintas Utara pula sekitar 5.2 km dan masanya lebih kurang juga dalam 7 minit sama dengan Jalan Labuk.
Sebelum pembinaan Ujana Elopura, kawasan tempat letak kereta di sini juga pernah digunakan sebagai terminal bas jalan jauh atau biasa penduduk tempatan sebut terminal bas express iaitu bas yang jalan jauh keluar daerah seperti ke Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan lain-lain lagi. Ketika Ujana Elopura ni baru siap dibina kemudahan yang ada hanyalah sedikit saja, namun kini terdapat beberapa penambahbaikan dan juga pembinaan baru kemudahan untuk para pengunjung termasuklah tandas awam, tempat permainan kanak-kanak, tempat duduk dan beberapa lagi kemudahan lain yang bertujuan agar dapat memberi keselesaan kepada pengunjung sepanjang mereka berada di sini. Taman ni memang sesuai dijadikan tempat rekreasi seisi keluarga ketika ada masa lapang pada waktu cuti seperti cuti hujung minggu dan juga cuti sekolah dengan membawa bersama anak-anak bagi menggembirakan mereka bermain di taman ini.
Taman ni dikendalikan atau diurus oleh Pihak Majlis Perbandaran Sandakan, jadi kalau datang ke sini pastikan anda tidak membuat kerosakan ke atas kemudahan yang disediakan dan pastikan juga tidak membuang sampah merata-rata tempat di kawasan ini agar tempat ni sentiasa bersih dan dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung datang membuat pelbagai aktiviti rekreasi bersama keluarga seperti berjoging, berjalan-jalan, buat sukaneka bersama anak-anak, berbasikal dan lain-lain lagi. Perlu ingat juga ya kalau anda berbasikal tu jangan terlalu laju sebab laluan berjoging atau berbasikal ni tidaklah besar jadi takut pula anda terlanggar dengan pengunjung yang lain khususnya kanak-kanak. Tandas awam yang disediakan di sini dikenakan bayaran sedikit, jadi kalau anda mahu ke sini bolehlah bawa sikit duit untuk kegunaan jika ingin menggunakan tandas tersebut. Di taman ni tidak banyak pokok yang boleh anda berteduh ketika cuaca panas jadi biasanya orang lebih ramai ke sini pada waktu petang kerana cuacanya lebih redup dan tidak panas, kalau mahu datang pagi pun boleh juga tapi sebaiknya pakai topi atau payung sebab taman ini buka sekitar jam 10 pagi jadi masa ni mungkin suhu matahari sudah mula panas sedikit.
Kalau anda mahu ke sini boleh naik bas jika ingin berjimat sebab tambang lebih murah dan anda boleh naik bas dari terimal bas di Pusat Bandar Sandakan yang melalui tempat ni iaitu bas yang melalui Jalan Labuk Utara. Bas awam senang saja anda dapat sebab biasanya semua bas yang melalui Jalan Labuk Utara memang akan di hadapan Taman Ujana Elopura ni yang penting beritahu pemandu bas untuk turunkan anda di perhentian bas Ujana Elopura. Tapi kalau mahu ikut perkhidmatan e-hailing pun boleh juga sebab terpulang dari anda yang mana dirasakan lebih mudah, lagi pun kalau e-hailing boleh pilih sama ada ikut Jalan Lintas Utara atau Jalan Labuk Utara.
Ulasan
Catat Ulasan