Langkau ke kandungan utama

Negeri Sabah

Sabah Negeri Di Bawah Bayu adalah salah sebuah daripada 14 negeri yang terdapat di Malaysia dan Negeri Sabah adalah negeri kedua terbesar serta mempunyai jumlah suku kaum atau etnik yang paling banyak di negara ini iaitu lebih kurang 42 etnik. Sabah telah pula mula diduduki sekitar 20,000 hingga 30,000 tahun dahulu, ini dibuktikan dengan beberapa penemuan beberapa peralatan purba yang ditemui di Teluk Darvel dan Gua Madai dalam Hutan Simpan Baturong berhampiran dengan Sungai Tingkayu yang terletak di kawasan ini. Terdapat juga beberapa tempat lain yang menjadi bukti wujudnya manusia awal di negeri ini seperti yang ditemui di tapak arkeologi di Lembah Mansuli, Lahad Datu dan di Bukit Tengkorak, Semporna yang mana menjadi salah satu tapak pembuatan tembikar yang terbesar di Asia Tenggara ketika zaman neolitik.

NEGERI SABAH




Sabah merupakan salah sebuah negeri atau wilayah yang terdapat di Malaysia dan merupakan negeri kedua terbesar di negara ini dengan keluasan 73,904 km persegi atau 28,534 batu persegi. Negeri Sabah lebih dikenali dengan nama ' Sabah Negeri Di Bawah Bayu' atau pun 'Sabah Land Below The Wind', ini adalah kerana kedudukan Sabah yang berada di laluan angin monsun yang dapat mengelak negeri ini daripada dilanda ribut taufan yang berskala besar. Asal usul nama Sabah dikatakan diambil bersempena dengan nama pokok pisang iaitu 'Pisang Saba' atau juga lebih dikenali dengan nama saing sabbah atau sappah oleh penduduk tempatan dan pokok pisang ini banyak ditanam di Bahagian Pantai Barat Sabah pada masa dahulu, bermula pada abad 15 nama Sabah telah mula digunakan oleh para pedagang yang datang ke sini, namun selepas Sabah dijajah oleh British dan pemerintahannya dijalankan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 nama Sabah telah ditukarkan kepada Borneo Utara sehinggalah pada tahun 1963. Apabila Borneo Utara mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963 dan kemudiannya telah bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Sarawak untuk membentuk Malaysia, nama Sabah telah digunakan semula sehinggalah ke hari ini. Sebenarnya banyak juga pendapat lain mengenai asal usul nama Sabah sebab sehingga kini masih kurang jelas lagi tentang asal usul nama tersebut, antara pendapatl lain ialah nama Sabah diambil dari perkataan Melayu Brunei yang bermaksud Hulu dan ada juga yang mengatakan ianya daripada perkataan arab yang bermaksud matahari terbit, tetapi antara pendapat yang paling popular adalah daripada tanaman pisang saba.

Pada tahun 1942 telah berlakunya Perang Dunia Kedua dan Borneo Utara pada masa itu juga turut mendapat kesan daripada perang tersebut dan telah dijajah oleh Jepun pada ketika itu sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua pada 1945. Akibat atau kesan daripada Perang Dunia Kedua tersebut pihak SBBU tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membangunkan semula Borneo Utara yang musnah teruk, ini menyebabkan Borneo Utara diletakkan dibawah pentadbiran Pejabat Kolonial dan menjadi salah satu tanah jajahan British pada bermula 15 Julai 1946. Selepas beberapa tahun, akhirnya Borneo Utara telah mencapai pemerintahan sendiri dari pihak British dan diberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1963. Sebelum itu, pada tahun 1962 satu suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Cabbold telah ditubuhkan oleh pihak British bagi memungut pendapat dan suara rakyat Borneo Utara sama ada mereka bersetuju dan menyokong untuk bergabung dengan Sarawak dan negeri Tanah Melayu bagi membentuk Pesekutuan Malaysia. Hasilnya Suruhanjaya Cabbold tersebut mendapati kebanyakkan penduduk dan pemimpin utama Borneo Utara bersetuju dengan penggabungan ini yang kemudiannya pada 16 September 1963 Borneo Utara menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia seterusnya menukarkan nama Borneo Utara kepada Sabah. Ketua Menteri Sabah yang pertama dilantik selepas merdeka adalah YAB Tun Muhammad Fuad Stephens iaitu, manakala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah pertama yang dilantik adalah Tun Datuk Seri Panglima Datu Mustapha Bin Datu Harun.


Ketika awal penduduk Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di Borneo Utara (kini Sabah) pusat pemerintahan pertamanya adalah di Kudat, namun ianya dipindahkan pada tahun 1883 ke Sandakan dan sekitar tahun 1930 an Borneo Utara menjadi salah satu pengeluar utama kayu balak tropika yang mana Sandakan menjadi pengeksport kayu balak yang terbesar di dunia pada ketika itu dengan pengeluaran terbesar iaitu 180,000 meter padu sekaligus menjadikan Borneo Utara khususnya Sandakan menjadi lokasi tumpuan utama para pedagang dan jutawan kayu balak pada masa itu. Selepas Perang Dunia Kedua pusat pemerintahan Borneo Utara telah dipindahkan ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) sehingga ke hari ini. Pada masa kini dianggarkan jumlah penduduk negeri Sabah adalah hampir 4 juta orang dan mempunyai bilangan suku kaum antara yang paling banyak di Malaysia iaitu lebih kurang 42 etnik atau kaum, walaupun Sabah mempunyai bilangan suku kaum yang cukup banyak namun semua suku kaum yang tinggal hidup di negeri ini sentiasa hidup aman dan makmur serta sentiasa menghormati antara satu sama lain menjadikan Sabah begitu unik dengan kepelbagaian adat dan budaya. Antara suku kaum tersebut adalah seperti Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Melayu-Brunei, Rungus, Orang Sungai, Idahan, Iranun, Kedayan, Bisaya, Suluk, Bugis, Timor, Jawa, Cina dan lain-lain lagi. Bahasa yang digunakan di Sabah ialah Bahasa Malaysia dan penggunaan dan Bahasa Malaysia yang digunakan oleh penduduk Negeri Sabah adalah lebih kepada Bahasa Baku jadi ianya adalah mudah untuk penduduk dari negeri lain berinteraksi dengan penduduk Sabah sekiranya mereka datang melancong ke negeri ini.

Negeri Sabah terbahagi kepada 5 Bahagian utama yang berada di tanah besar tidak termasuk Labuan dan antara 5 Bahagian utama tersebut ialah seperti Bahagian Pantai Barat (Kota Kinabalu) yang berada dibawah pusat pentadbiran di Bandaraya Kota Kinabalu, bagi Bahagian Sandakan ia berada dibawah pentadbiran utama di Bandar Sandakan, ketiga iaitu Bahagian Tawau yang berada dibawah pentadbiran utama yang terletak di Bandar Tawau, keempat adalah Bahagian Pedalaman yang mana berada dibawah pentadbiran utama di Bandar Keningau dan kelima Bahagian Kudat yang berada dibawah pentadbiran utama yang terletak di Bandar Kudat. Setiap bahagian ini mempunyai beberapa daerah penuh kecil lain iaitu seperti di bawah ini :

Bahagian Pantai Barat (Kota Kinabalu)
Daerah :
01. Kota Kinabalu
02. Kota Belud
03. Penampang
04. Putatan
05. Ranau
06. Tuaran
07. Papar

Bahagian Sandakan
Daerah :
01. Sandakan
02. Beluran
03. Kinabatangan
04. Telupid
05. Tongod

Bahagian Pedalaman
Daerah :
01. Keningau
02. Beaufort
03. Nabawan
04. Kuala Penyu
05. Membakut
06. Tambunan
07. Tenom

Bahagian Tawau
Daerah :
01. Tawau
02. Lahad Datu
03. Kunak
04. Semporna
05. Kalabakan

Bahagian Kudat
Daerah :
01. Kudat
02. Kota Marudu
03. Pitas

Dengan bentuk muka bumi serta keindahan alam semulajadi seperti pulau-pulau, gunung-ganang, flora dan fauna, air terjun, kehidupan laut dan lain-lain lagi, maka ianya telah menjadikan negeri atau pun Wilayah Sabah antara tempat yang sering menjadi pilihan untuk dikunjungi oleh pelancong tidak kira dari dalam atau pun dari luar negara, terutama sekali dengan adanya tarikan daripada Gunung Kinabalu yang tinggi dan berdiri megah serta merupakan gunung tertinggi di Malaysia, selain itu dengan adanya pulau bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan, Pulau Selingan dan beberapa pulau lain turut menarik orang ramai atau pelancong untuk datang ke negeri ini. Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok juga merupakan tempat tarikan utama pelancong khususnya pelancong daripada luar negara untuk datang ke Sabah. Dengan adanya tempat-tempat tersebut sememangnya telah menjadikan sektor pelancongan negeri ini antara salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sabah


Ulasan

Catat Ulasan