Langkau ke kandungan utama

Air Terjun Maliau Basin

Air Terjun Maliau Basin merupakan salah satu air terjun yang terdapat di Negeri Sabah. Air Terjun ini adalah air terjun yang mempunyai 7 tingkat dan terletak di dalam daerah Tawau, Sabah.

AIR TERJUN MALIAU BASIN



Air Terjun Maliau Basin sememangnya sangat terkenal dengan rupa bentuknya yang berbentuk seperti anak tangga 7 tingkat dengan ketinggian kira-kira 18 meter. Air Terjun Maliau Basin ini terletak di dalam kawasan Konservasi Maliau Basin yang juga merupakan kawasan pemuliharaan Hutan Simpan Maliau Basin di daerah Tawau.

Kawasan Pemuliharaan Maliau Basin terletak agak jauh di bahagian Pedalaman Tengah Negeri Sabah sehinggakan kawasan konservasi Hutan Simpan ini dikenali atau digelar sebagai 'Sabah Lost World'. Ini juga menjadikan air terjun ini antara yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara kerana tertarik dengan kawasan konservasi ini termasuklah air terjun yang masih terpelihara dan tidak terganggu oleh pencemaran. Air Terjun Maliau Basin juga merupakan antara yang tercantik di negeri ini.


Oleh kerana kawasan Maliau Basin merupakan kawasan pemuliaraan hutan, maka pengunjung yang ingin ke kawasan ini mestilah memohon kebenaran daripada pihak Yayasan Sabah yang merupakan pihak pengurusan kawasan Maliau Basin dan sebaiknya juga pengunjung memohon seorang atau beberapa orang Malik untuk menunjuk jalan. Pengunjung juga harus membawa kelengkapan yang cukup kerana kawasan ini sangat jauh dan terpencil dengan akses yang terhad seperti komunikasi dan kemudahan keselamatan.

Untuk ke sini pengunjung digalakkan untuk menghubungi mana-mana ejen pelancongan yang berdaftar. Pengunjung akan melalui daerah Tawau atau Keningau yang memakan masa lebih kurang 5 jam perjalanan untuk sampai ke pintu masuk kawasan Konservasi. Selepas itu pengunjung akan meredah hutan (jungle trekking) untuk ke air terjun yang mungkin akan memakan masa beberapa hari dengan bermalam di beberapa kem.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan kepada pengunjung yang datang ke kawasan pemuliharaan ini iaitu seperti kem-kem penginapan untuk pengunjung bermalam kerana perjalanannya yang memakan masa beberapa hari. Terdapat juga kemudahan helikopter untuk mereka yang ingin memilih untuk terbang dan tidak dengan berjalan meredah hutan. Helikopter ini juga disediakan untuk persediaan sekiranya ada kecemasan.

Selain daripada mandi di air terjun, pengunjung juga boleh menjalankan aktiviti lain seperti berjalan meredah hutan (jungle trekking), memerhati burung (bird watching) dan melihat hidupan liar pada lain waktu malam.


Ulasan