Langkau ke kandungan utama

Pantai Tanjung Aru

Pantai Tanjung Aru merupakan pantai yang paling popular di negeri Sabah. Pantai Tanjung Aru ini terletak di Kota Kinabalu iaitu lebih kurang 15 minit perjalanan saja dari Kota Kinabalu Sabah.

PANTAI TANJUNG ARU


Pantai Tanjung Aru adalah tempat menarik di Sabah. Ia terletak kira-kira 6 km atau lebih kurang 15 minit perjalanan saja dari pusat Bandar Kota Kinabalu. Pantai ini merupakan pantai yang paling popular di Sabah dan merupakan tempat perkelahan dan beriadah sesisi keluarga yang paling menjadi pilihan tumpuan utama penduduk tempatan di negeri Sabah ketika cuti sekolah atau ketika cuti dihujung minggu.

Pantai Tanjung Aru mempunyai pemandangan yang cukup indah dan di sini pengunjung juga berpeluang melihat keindahan pantai yang putih bersih dan panjang, tetapi yang paling dinantikan oleh para pengunjung yang datang ke sini adalah suasana keindahan matahari terbenam yang dikatakan antara yang tercantik di Asia. Oleh sebab itu tidak hairanlah kenapa ramai pelancong dari luar negara datang ke pantai ini terutama sekali pelancong dari Asia seperti China, Korea Selatan dan lain-lain lagi.


Pantai Tanjung Aru ini adalah satu pantai yang panjang dan ia dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Pantai Pertama, Kedua dan Ketiga. Pantai Pertama adalah pantai yang lebih dekat dengan beberapa kemudahan yang ada di sini seperti tandas, restoran, gerai makan dan juga terdapat beberapa taman. Pantai ini merupakan antara yang paling ramai dikunjungi oleh pengunjung dari dalam dan luar negara kerana lokasinya yang lebih dekat dengan kemudahan-kemudahan ini.

Pantai Kedua juga mempunyai beberapa kemudahan namun tidak banyak berbanding dengan pantai pertama. Antara kemudahan yang ada di pantai kedua ini adalah restoran dan 'inline skating rink'. Walaupun kawasan pantai ada kemudahan namun tidak ramai yang datang ke pantai kedua ini, oleh itu suasananya adalah lebih tenang. Jadi kalau anda lebih suka suasana yang tenang bolehlah ke pantai kedua ini.

Pantai Ketiga pula adalah pantai yang terletak lebih hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pantai ini lebih sunyi berbanding dari orang ramai berbanding kawasan Pantai Pertama dan Pantai Kedua. Di pantai ketiga ini lebih sesuai untuk menenangkan fikiran sambil melepaskan tekanan dari kesibukan kota. Kalau anda mahu teriak di sini pun boleh untuk lepaskan tekanan tapi tengok keadaan juga kalau ada orang lain takut mereka terkejut.

Untuk ke Pantai Tanjung Aru, pengunjung boleh juga menaiki bas dari pusat Bandar Kota Kinabalu atau boleh menaiki perkhidmatan teksi dan boleh juga menggunakan perkhidmatan e-hailing yang lain. Jika ada kereta boleh pandu sendiri, kalau tiada kereta boleh juga menyewa kenderaan untuk pandu sendiri (yang penting ada lesen) supaya perjalanan anda lebih mudah dan anda boleh mengatur masa dengan lebih baik


Ulasan