Langkau ke kandungan utama

Batu Sumpah Keningau

Batu Sumpah merupakan salah satu tugu peringatan yang terdapat di negeri Sabah. Batu Sumpah dibina pada tahun 1964 dan terletak berhampiran Muzium Warisan Keningau di daerah Keningau, Sabah 

BATU SUMPAH KENINGAU


Batu Sumpah merupakan salah satu tugu peringatan yang terletak di daerah Keningau, Sabah dan siap dibina pada tahun 1964. Tugu ini adalah salah satu tugu yang penting buat Sabah yang mana tugu ini adalah tugu yang dibina bagi memperingati peristiwa Sabah menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Tugu ini memaparkan memaparkan perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Tanah Melayu dan penduduk tempatan sebagai persetujuan dalam pembentukan Malaysia.

Batu Sumpah yang dibina bagi memperingati kemasukan negeri Sabah dan negeri Sarawak ke dalam Malaysia ini telah dirasmikan pada 31 Ogos 1964 di kawasan perkarangan Pejabat Daerah Lama Keningau oleh Menteri Pekerjaan Persekutuan Malaysia pada masa itu iaitu iaitu Encik V. Manickavasagam dan disaksikan oleh pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri Sabah dan ketua-ketua masyarakat tempatan Sabah termasuklah Ketua Menteri Sabah pada ketika itu iaitu Tun Fuad Stephens.


Cadangan mengenai pembentukan Malaysia ini telah dibuat oleh Kerajaan Tanah Melayu pada masa itu yang meliputi beberapa tempat atau negara iaitu Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Majlis Perundangan Borneo Utara telah mempersetujui dan sekaligus menandatangani Perjanjian Malaysia pada 12 September 1962 setelah melihat Perjanjian 20 Perkara sekiranya Sabah menyertai Malaysia, yang mana perjanjian itu telah ditulis oleh Tun Fuad Stephen dan dipersetujui oleh Kerajaan Tanah Melayu.


Pada awalnya peyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia ini terdapat sedikit bantahan terutama dari Ketua-Ketua Adat dan Orang Kaya Kaya di Pedalaman Sabah, namun setelah ada perbincangan secara langsung dengan Perdana Menteri Tanah Melayu pada masa itu iaitu Tunku Abdul Rahman, akhirnya persetujuan pun dicapai tetapi dengan 3 syarat utama perlu diberi jaminan oleh Kerajaan Pusat iaitu yang berkaitan hak Sabah dari segi agama, tanah dan adat anak negeri. Bagi penduduk tempatan di bahagian pedalaman pula mereka akan berjanji untuk setia dengan Kerajaan Malaysia.

Selepas persetujuan dicapai, pihak penduduk tempatan telah meminta agar dibina sebuah tugu yang dikenali sebagai Batu Sumpah bagi menunjukkan jaminan yang telah dibuat oleh kerajaan Pusat kepada Sabah selepas Sabah menyertai Malaysia. Akhirnya sebuah tugu batu telah dibina pada tahun 1964 dan antara petikan yang tedapat pada tugu ini adalah :

Batu Sumpah Peringatan Mengikut Perlambagaan
1. Ugama Bebas Dalam Sabah
2. Tanah2 Dalam Sabah Di-Kuasa Oleh Kerajaan Sabah
3. Adat Istiadat Anak Rayat Sabah Di-hormatkan dan Di-pelihara Oleh Kerajaan

Sebalek Pula Rayat2 Sabah di Interior Bersumpah Ta'at Setia Kepada Kerajaan Malaysia


Batu Sumpah yang telah dibina pada tahun 1964 ini pada mulanya terletak berhampiran dengan hotel perkasa, namun ia telah dipindahkan pada tahun 1982 ke perkarangan Pejabat Daerah Keningau.Selepas itu Batu Simpan ini sekali lagi dipindahkan ke kawasan berhampiran dengan Muzium Warisan Kenigau pada 9 September 2018.

Ulasan