Langkau ke kandungan utama

Buah Tarap

Buah Tarap merupakan salah satu buah-buahan tempatan bagi negeri Sabah. Buah Tarap sangat popular dikalangan masyarakat Sabah dan banyak ditanam di kebun-kebun.

BUAH TARAP



Buah Tarap atau ada juga yang menyebut 'Buah Terap' adalah salah satu buah-buahan tempatan negeri Sabah yang sangat terkenal. Buah Tarap mempunyai rasa yang cukup sedap dan mudah tumbuh dan hidup dengan subur di Sabah yang beriklim tropika. Buah ini cukup popular dan ia adalah buah-buahan yang amat diminati di negeri ini dan ia dikenali dengan nama 'Timadang' di kalangan masyarakat Kadazan-Dusun.

Buah ini mempunyai rupa bentuk yang bulat dan beratnya boleh mencecah sehingga 1 kg. Untuk melihat sama ada buah ini masak atau belum, boleh di lihat apabila yang masih muda mempunyai kulit yang berwarna hijau pekat manakala buah yang sudah masak pula akan mempunyai kulit yang berwana hijau kekuningan dan sangat mudah untuk di kopek untuk diambil isinya.


Sesetengah masyarakat mengatakan Buah Tarap mempunyai bentuk seperti cempedak dan nangka, namun ianya tetap mempunyai perbezaan dari segi rupa bentuk yang mana buah ini mempunyai bentuk yang lebih bulat dan isinya juga lebih kecil berbanding cempedak dan nangka. Kulit dibahagian luar pun tidak terlalu keras seperti nangka. Dari segi warna isi juga ianya mempunyai perbezaan yang mana warna isi buah ini berwarna putih susu manakala cempedak dan nangka lebih kepada warna kekuningan

Untuk memetik buah ini, ianya biasa dipetik ketika buah ini sudah kelihatan separuh masak dan masin keras lagi, kemudian akan menyimpannya di dalam suatu tempat seperti karung untuk diperam sehingga masak. Ada juga terdapat sesetengah masyarakat yang membiarkan saja buah ini betul-betul masak di atas pokok dan tunggu sehingga buah tersebut jatuh sendiri sendiri macam buah-buah yang lain.

Namun kebanyakkan masyarakat akan lebih suka memetik buah tersebut ketika ianya masih keras, ini adalah bagi mengelakkan buah tersebut masak dipokok yang boleh menyebabkan buah itu jatuh sendiri ke tanah dan pecah, kerana buah yang terlalu masak kulitnya tidak lagi keras dan lebih mudah hancur bila jatuh dari pokok. Untuk memetik buah ini, boleh dengan panjat pokok tersebut atau pun menggunakan penjolok.

Apabila musim buah, memang senang jumpa buah ini di gerai buah yang ada di mana saja, contohnya di pinggir jalan dan ia dijual bersama buah yang lain seperti rambutan, durian, nangka, cempedak dan lain-lain lagi. Harganya juga tidak terlalu mahal iaitu bermula dari RM2.00 ke atas mengikut saiz buah tersebut.

Buah ini senang didapati di negeri Sabah kerana ramai juga yang menanam pokok tarap di kebun mereka, lebih-lebih lagi pokok buah ini sangat mudah untuk membesar iaitu sekitar 3 tahun pokok ini boleh sudah mengeluarkan buah. Selain untuk buah, sesetengah masyarakat juga menanam pokok buah ini kerana ia dikatakan pelbagai guna, termasuk batangnya, daun, buah itu sendiri dan lain-lain lagi.

Antara kegunaan buah dan pokok tarap ini adalah ada sesetengah masyarakat yang merebus atau goreng biji buah ini untuk dimakan kerana mempunyai rasa yang cukup sedap. Batang pokok ini pula biasanya akan digunakan dalam pertukangan kerana pokok ini mempunyai kayu jenis yang keras. Manakala daunnya banyak digunakan seperti untuk kegunaan membungkus nasi atau makanan tradisional masyarakat Kadazan-Dusun seperti Linopot. Pada masa dahulu daunnya dikatakan digunakan untuk menampal bumbung rumah yang bocor kerana pada masa dahulu kebanyakkan atap rumah adalah dibuat daripada nipah.

Buah ini juga dikatakan mempunyai khasiatnya apabila dimakan iaitu buah ini mengandungi Vitamin C dan buah ini berfungsi sebagai bahan pelawas untuk sistem pencernaan yang lebih baik. Dengan adanya khasiat seperti ada kandungan vitamin dalam buah ini, ianya sekaligus dapat menarik lagi orang ramai untuk menanam pokok atau memakan buah ini.

Ulasan