Langkau ke kandungan utama

Pulau Selingan

Pulau Selingan (Selingan Island) merupakan salah sebuah pulau di Sabah. Pulau ini terletak di dalam daerah Sandakan, Sabah iaitu lebih kurang 40 km ke laut dari Pusat Bandar Sandakan.

PULAU SELINGAN



Pulau Selingan adalah sebuah pulau di Sabah yang boleh dikunjungi oleh orang ramai seperti penduduk tempatan atau pelancong dari dalam dan luar negara yang datang melawat ke Sabah terutamanya ke daerah Sandakan. Pulau ini terletak dalam Taman Pulau Penyu (Turtle Island Park) bersama dua pulau lagi yang juga termasuk dalam Taman Pulau Penyu iaitu Pulau Bakungan Kecil dan juga Pulau Gulisan. Pulau Selingan berada di dalam kawasan perairan Laut Sulu iaitu lebih kurang 40 km atau kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Pusat Bandar Sandakan. Pulau ini sangat terkenal sebagai tempat pendaratan penyu sebab itulah pulau ini juga dikenali sebagai Taman Pulau Penyu.
 
Pulau ini sangat terkenal sebagai tempat pendaratan penyu sebab itulah pulau ini juga dikenali sebagai Pulau Penyu. Pulau Selingan merupakan antara tempat paling selamat bagi penyu mendarat dan bertelur terutama sekali Penyu Hijau dan Penyu Karah kerana di sini tempat ini akan dikawal dengan rapi oleh Pihak Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) yang merupakan pihak yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga Taman Pulau Penyu ini. Penyu Hijau biasanya mendarat di pulau ini pada waktu malam untuk bertelur, dan jumlah yang paling banyak penyu ini naik atau mendarat di Pulau Selingan adalah sekitar bulan Julai hingga Oktober setiap tahun.


Bagi Penyu Karah pula biasanya penyu ini akan banyak mendarat dan bertelur sekitar bulan Februari hingga April setiap tahun. Pihak Taman-Taman Sabah juga telah membina sebuah Pusat Penjagaan dan Penetasan bagi telur-telur penyu di pulau ini dan telur ini juga akan dijaga dengan lebih rapi agar tidak diambil atau dikacau oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pusat Penjagaan dan Penetasan ini juga adalah merupakan pusat penjagaan yang pertama dibina di Malaysia iaitu pada 1 Ogos 1966. Oleh itu pengunjung yang datang ke sini diminta agar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan pulau dan antara peraturan yang penting ialah tidak dibenarkan berada di kawasan pantai ketika matahari terbenam sehingga matahari terbit agar anda tidak mengganggu penyu-penyu yang ingin naik mendarat dan bertelur.

Walaubagaimanapun anda tidak perlu risau sebab pihak pengurusan atau renjer di pulau ini akan tetap memberi peluang kepada para pengunjung yang datang untuk melihat penyu bertelur tetapi anda tidak boleh pergi melihat sendiri sebaliknya perlulah dengan pengawasan pihak penguruan atau renjer. Pihak pengurusan atau renjer akan membawa pengunjung untuk melihat penyu tersebut bertelur, tetapi hanya sekali sahaja untuk satu malam. Anda juga boleh pergi melawat Pusat Penjagaan dan Penetasan Telur Penyu  untuk melihat sendiri bagaimana kerja-kerja penjagaan dan penetasan telur penyu dijalankan.

Sebenarnya di sini bukan sahaja boleh melihat penyu bertelur tetapi anda juga boleh melakukan aktiviti laut yang anda kehendaki tetapi biasanya aktiviti laut seperti snorkeling atau menyelam anda hendaklah bermalam di chalet yang ada di sini. Bagi yang melawat ke sini untuk lawatan sehari mungkin bolehlah buat aktiviti mandi dipantai mengambil gambar dan melawat pusat penjagaan tersebut. Tapi kalau anda bermalam mungkin akan lebih menyeronokkan sebab boleh lihat penyu bertelur dan dapat melihat keindahan matahari terbenam pada waktu petang dan melihat matahari timbul pada waktu pagi. Secara ringkas antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini ialah :

Aktiviti :

01. Melihat penyu bertelur
02. Melawat pusat penjagaan telur
03. Mandi di pantai 
04. Snorkeling
05. Menyelam
06. Melihat matahari terbenam
07. Melihat matahari timbul
08. Bergambar
09. Bersiar-siar

Sekiranya anda bercadang untuk ke pulau ini sebaiknya anda buatlah persiapan atau persediaan seperti barang apa yang perlu di bawa ke sini untuk keperluan anda sekiranya ingin melawat untuk sehari saja atau pun sekiranya anda ingin bermalam. Antara barang yang mungkin anda boleh bawa sekiranya ingin ke pulau ini ialah seperti :

Barang perlu bawa :

01. Kamera/video kamera
02. Kaca mata hitam
03. Payung/topi
04. Baju hujan
05. Selipar
06. Tikar berkelah
07. Makanan ringan
08. Minuman
09. Tuala mandi
10. Peralatan mandian
11. Baju sejuk
12. Losyen pelindung matahari

Untuk ke Pulau Selingan pengunjung boleh mengambil bot dari Jeti Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) di Jalan Buli Sim-Sim. Atau boleh terus menghubungi pihak ejen pelancongan tempatan, tetapi pastikan ejen pelancongan tersebut adalah sah berdaftar.

Bayaran masuk :
Dewasa : RM 30.00 (Warganegara)
Dewasa : RM 60.00 (Bukan warganegara)
Kanak-kanak : RM 20.00 (Warganegara)
Kanak-kanak : RM 30.00 (Bukan warganegara)

Nota :
Pengunjung yang ingin mengambil gambar penyu bertelur pada waktu malam bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM10.00 dan kamera yang digunakan mestilah tidak menggunakan cahaya (flash). 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut dan membuat tempahan boleh menghubungi pihak Taman-Taman Sabah seperti alamat di bawah ini :

Alamat : 
Sabah Parks
Lot 45 & 46, Level 1-5,
Block H, Signature Office,
KK Times Square, Coastal Highway,
88100, Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.
Telefon : 088-523 500
Webiste : Sabahparks

Ulasan