Langkau ke kandungan utama

Pulau Sipadan

Pulau Sipadan merupakan sebuah pulau paling popular yang terdapat di Sabah. Pulau Sipadan terletak di daerah Semporna, Sabah iaitu lebih kurang 1 jam perjalanan menaiki bot dari Bandar Semporna.

PULAU SIPADAN



Pulau Sipadan merupakan salah sebuah tempat menarik di Sabah yang terletak di daerah Semporna. Ia merupakan sebuah pulau yang cukup terkenal di seluruh dunia. Dengan air lautnya yang jernih serta terdapat lebih kurang 3000 spesis ikan dan beratus-ratus spesis karang telah menjadikan Pulau Sipadan antara 10 tempat paling terbaik di dunia untuk aktiviti menyelam skuba. Pulau Sipadan juga telah diiktiraf antara bentuk muka bumi yang ajaib pada tahun 2009.

Pengunjung yang datang ke Pulau Sipadan juga berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti laut yang pasti akan membuatkan anda merasa lebih teruja. Ini termasuklah aktiviti menyelam sambil melihat pelbagai jenis penyu termasuklah Penyu Karah dan Penyu Hijau yang begitu banyak dan ada kalanya dapat dilihat sehingga 20 ekor dalam satu-satu masa.


Terdapat lebih kurang 12 tapak menyelam yang popular di Pulau Sipadan iaitu seperti Turtle Cavren (Gua Penyu), Coral Garden Drop Off (berhampiran jeti utama Pulau Sipadan), North Point, West Ridge, Hanging Garden (Taman Tergantung), Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Turtle Patch, Mid Reef (Tengah Batu Karang) dan White Avenue.

Sekiranya anda ingin melakukan aktiviti menyelam, anda dikehendaki untuk mendapatkan permit terlebih dahulu dan kouta untuk permit dihadkan hanya 176 permit dalam sehari iaitu 156 untuk permit menyelam dan 20 permit untuk snorkeling. Setiap permit menyelam sah untuk sehari sahaja dan tidak boleh lebih dari 3 kali selaman. Permit boleh diperolehi daripada pihak pengurusan menyelam Pulau Sipadan.

Pada tahu 1933, Pulau Sipadan telah diiktiraf sebagai salah satu pusat atau tempat hidupan liar, oleh itu setiap pengunjung yang datang ke Pulau Sipadan dikehendaki mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan Pulau Sipadan agar segala kehidupan di pulau ini sentiasa terjaga dan terpelihara termasuklah hidupan marin.

Untuk ke Pulau Sipadan pengunjung yang datang dari luar daerah Semporna boleh menaiki bas yang menuju ke Semporna dan seterusnya ke jeti Pekan Semporna untuk menempah bot dan pastikan mengatur pengangkutan dengan pemandu bot tersebut untuk perjalanan pergi dan balik. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan yang berdaftar untuk lebih memudahkan segala perjalanan perjalanan anda pergi dan balik (pastikan ejen pelancongan berdaftar).

Nota :

1. Bermula pada Disember tahun 2020 Pulau Sipadan akan ditutup untuk kunjungan orang ramai pada bulan Disember untuk memulihkan semula kehidupan marin dan karang selama sebulan.

2. Pulau Sipadan tidak lagi menyediakan penginapan di pulau ini, oleh itu jika anda datang ke sini boleh pilih sama ada anda ingin bermalam di pulau-pulau yang berhampiran seperti Pulau Kapalai, Mabul dan Mataking atau balik ke bandar Semporna dan cari penginapan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lebih lanjut bolehlah menghubungi pihak Taman-Taman Sabah di alamat seperti di bawah ini :

Alamat :
Sabah Parks
Block H, Level 1-5, Lot 45 & 46,
Signature Office, KK Times Square,
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Telefon : +6088 523500
Website :
 sabahparks

Ulasan