Langkau ke kandungan utama

Tarian Daling-Daling

Tarian Daling-Daling merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini sangat popular di Pantai Timur Sabah dan merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Bajau dan Suluk di Sabah.

TARIAN DALING-DALING


Tarian Daling-Daling merupakan salah satu tarian tradisional yang terdapat di Negeri Sabah. Tarian ini adalah tarian tradisi bagi suku kaum Bajau dan Suluk Sabah. Ia sangat popular di kalangan suku kaum berkenaan terutamanya yang tinggal di Bahagian Pantai Timur Sabah seperti di Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan. Perkataan 'Daling' dipercayai diambil daripada perkataan Bahasa English iaitu 'Darling' yang bermaksud kekasih kerana ketika menari pasangan penari lelaki dan wanita akan saling berbalas pantun sambil sebut perkataan daling yang bermaksud kekasih.

Tarian ini biasanya ditarikan dengan diiringi pukulan alat muzik tradisional iaitu gabbang bersama biola dan juga nyanyian. Gabbang biasanya dimainkan dengan dua bilah kayu yang dipanggil bolak-bolak. Tetapi pada masa kini terdapat juga sesetengah orang yang menarikan tarian ini sambil diiringi dengan muzik yang diputar dari radio, alat pemain karaoke dan lain-lain lagi peralatan. Tarian ini juga biasanya akan ditarikan secara berpasangan iaitu lelaki dan juga wanita dengan jumlah pasangan yang selalu dibuat ada 3 lelaki dan 3 wanita. dengan tiada had masa yang ditetapkan, tapi biasanya mereka akan berhenti menari setelah muzik yang dimainkan tamat.


Semasa menari tarian ini, penari wanita akan memakai perhiasan kepala iaitu destar yang disebut 'pis'. Selain itu penari wanita juga akan memakai kuku palsu disebut 'janggai' yang panjang dan melentik ke belakang. Kuku ini aka dijadikan hiasan di kuku mereka dan ia adalah diperbuat daripada perak atau suasa. Tarian ini kelihatan unik apabila dipersembahkan lebih-lebih lagi pada penari wanita yang menari dengan hiasan kuku palsu panjang dan melentik ke belakang dan juga gerakan kaki sudah pasti memberikan lagi keunikan tarian ini. Semasa menari juga biasanya pasangan lelaki dan wanita akan berbalas pantun yang mana penari lelaki akan memberikan pantun yang kemudian di balas oleh penari wanita dan begitulah juga sebaliknya.

Selain itu juga, ketika menarikan tarian ini para penari akan menghentakkan kaki mereka pada setiap rangkap terakhir lagu sambil menunjuk pasangan dan mengusik sesama mereka dengan lontaran pantun yang mana biasanya pantun yang digunakan adalah yang berkaitan dengan kekasih iaitu antara teruna dan gadis. Untuk menarikan lagu ini mestilah yang sudah biasa dan mahir dengan pergerakan lentok badan, pergerakan tangan dan juga kaki terutamanya bagi penari wanita kerana pergerakan tarian yang akan ditarikan oleh penari wanita lebih banyak menonjolkan atau memaparkan keunikan tarian ini.

Tarian ini selalu ditarikan atau dipersembahkan ketika sambutan majlis-majlis keramaian iaitu seperti majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan kadang-kala tarian ini juga dipersembahkan ketika sambutan majlis rasmi seperti menyambut kehadiran orang kenamaan untuk upacara pembukaan majlis atau acara dan lain-lain lagi. Selain itu tarian ini juga banyak dipersembahkan pada pesta-pesta kebudayaan terutamanya yang berkaitan denga Sabah sekaligus dapat mempromosikan dan memperkenalkan lagi tarian in kepada masyarakat luar negara. 

Tarian ini sememangnya dapat menarik perhatian orang ramai yang melihat kerana cara tariannya yang dianggap unik dan dengan adanya persembahan tarian ini juga ia akan dapat memperkenalkan lagi kebudayaan suku kaum Suluk dan Bajau kepada para pelancong terutamanya yang datang dari luar negara. Selain daripada memperkenalkan kebudayaan kepada pelancong luar, tarian ini juga dapat mengeratkan dan menguatkan lagi silaturrahim antara para hadirin atau antara penduduk kampung dan lain-lain lagi. 

Ulasan