Langkau ke kandungan utama

Tarian Kadandiu

Tarian Kadandiu merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini sangat popular di daerah Tawau, Sabah dan merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Tidung yang tinggal di negeri ini.

TARIAN KADANDIU

Credit Gambar : Mysenibudaya

Tarian Kadandiu merupakan salah satu tarian tradisional yang terdapat di Negeri Sabah. Tarian ini adalah tarian tradisi bagi suku Tidung di negeri ini dan sangat popular dikalangan suku kaum Tidung terutamanya yang tinggal di sebelah Pantai Timur Sabah iaitu di daerah Tawau. Di Sabah kebanyakkan suku kaum ini tinggal di daerah Tawau dan cara kehidupan mereka sama seperti penduduk lain seperti cara berpakaian, pertuturan mereka juga adalah dengan menggunakan Bahasa Melayu dan sebagainya. Tarian Kadandiu yang ditarikan oleh suku kaum Tidong adalah diambil dari sebuah cerita lagenda iaitu Lagenda Batu Tinagat.

Tarian yang diinspirasikan melalui kisah Lagenda Batu Tinagat ini adalah menceritakan mengenai Aki Bentawol dan Dayang Dadalit. Dayang Dadalit dikatakan merupakan seorang seorang puteri bungsu yang berasal dari kayangan dan telah turun ke bumi untuk mandi bersama enam lagi saudaranya perempuannya. Aki Bentawol yang ada disitu telah mengambil pakaian atau selendang Puteri Dayang Dadalit tersebut dan menyebabkan puteri tersebut tidak dapat kembali ke tempat asalnya di kayangan. Dikatakan juga bahawa semenjak Dayang Dadalit berada dibumi hasil pertanian Aki Bentawol seperti padi semakin bertambah-tambah dan dengan itu Aki Bentawol telah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan puteri tersebut, kemudian mereka pun berkahwin dan dikurniakan seorang anak. Walaubagaimanapun selepas itu Puteri Dayang Dadalit telah kembali ke kayangan dan meninggalkan Aki Bentawol serta anak mereka dan tidak lagi turun semula ke bumi.


Oleh kerana tarian ini adalah dari inspirasi kisah lagenda tersebut, maka untuk menarikan tarian ini hendaklah dengan jumlah penari wanita seramai 7 orang dan seorang penari lelaki dan pakaian yang di pakai juga adalah berwana keemasan sesuai dengan warna untuk seorang puteri. Biasanya tarian ini juga akan ditarikan bersama alat muzik tradisional yang lain seperti Kulintangan, Gendang, Gong dan biola. Namun terdapat juga sesetangahnya yang hanya menggunakan alat muzik moden seperti alat muzik karaoke dan lain-lain lagi untuk lebih memudahkan mereka.

Pada masa dahulu sebelum menarikan tarian ini akan diadakan satu upacara yang dinamakan upacara empalau untuk tujuan memohon restu sebelum mempersembahan tarian tersebut. Namun kini tarian ini boleh ditarikan tanpa upacara tersebut dan tarian ini juga sekarang ini banyak ditarikan di majlis-majlis keramaian, majlis rasmi dan persembahan kebudayaan. Walaubagaimanapun upacara masih diadakan apabila tarian tersebut dipersembahkan di sekitar kawasan Batu Tinagat.

Tarian ini sememangnya dapat menarik perhatian orang ramai yang melihat kerana cara tariannya yang dianggap unik dengan kisah lagenda. Tarian ini juga akan dapat memperkenalkan lagi kebudayaan suku kaum Tidung kepada pelancong terutamanya pelancong dari luar negara yang datang ke negeri Sabah. 

Ulasan