Langkau ke kandungan utama

Tarian Runsai

Tarian Runsai merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Bajau terutamanya mereka yang tinggal di daerah Kota Belud, Sabah.

TARIAN RUNSAI

Kredit gambar : JKKN

Tarian Runsai atau juga ada yang menyebutnya Tarian Brunsai adalah salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Bajau terutamanya suku kaum Bajau yang tinggal di daerah Kota Belud, Sabah. Pengertian 'rusai' dikatakan adalah nyanyian, yang mana bertujuan sebagai satu hiburan selepas dapat sesuatu yang dihajati dan juga nyanyian untuk mendodoikan atau menidurkan anak. Apabila nyanyian-nyanyian digabungkan dengan tarian yang biasa ditarikan ketika lagu tersebut dipasang maka terciptalah satu tarian yang dinamakan tarian runsai. 

Tarian runsai biasanya dipersembahkan atau ditarikan pada waktu malam, ini adalah disebabkan majlis keramaian yang biasanya dibuat untuk menarikan tarian ini adalah dibuat pada waktu malam iaitu seperti majlis perkahwinan, majlis kesyukuran, majlis menyambut kelahiran anak, dan majlis keramaian yang lain lagi. Pada waktu malam juga lebih mudah untuk orang ramai atau ahli keluarga berkumpul bersama. Ketika menarikan tarian ini selalunya ianya akan ditarikan tanpa iringan alat muzik kerana tarian ini lebih mengutamakan kepada acara 'kalang' iaitu seperti berbalas pantun sambil diiringi dengan bunyi hentakan kaki dari penari lelaki.


Tarian ini biasanya akan dipersembahkan atau ditarikan oleh 8 orang penari secara berpasangan antara lelaki dan wanita. Kesemua pasangan penari yang menarikan tarian ini akan memakai pakaian tradisi mereka yang berwarna warni, iaitu penari lelaki akan memakai seluar panjang berwarna hitam dan bagi penari wanita pula mereka akan memakai skirt panjang yang berwarna hitam. Manakala untuk baju penari lelaki dan wanita pula mereka akan blaus lengan panjang yang berwarna warni iaitu seperti warna kuning, warna merah dan juga warna biru. Selain itu penari lelaki juga akan memakai perhiasan dikepala mereka iaitu tanjak atau tengkolok manakala bagi penari wanita pula mereka akan memakai hiasan kepala yang dipanggil timpak.

Para penari ini saling membelakangi antara satu sama lain dan bergerak dalam bulatan yang berpusing ke arah kanan sambil menyanyikan lagu tradisional atau kalang (berbalas pantun) beramai-ramai dan sambut menyambut-menyambut antara penari lelaki dan penari wanita. Gerakan asas tarian ini adalah dari pergerakan kaki penari lelaki dan wanita dengan beberapa langkah iaitu seperti langkah siluk, langkah undur kebelakang dan langkah somorata. Bagi penari lelaki pula mereka akan menari sambil menghentakkan kaki mereka dengan kuat untuk mengeluarkan atau menghasilkan bunyi yang lebih laju atau rancak agar tarian tersebut lebih menarik. 

Semasa penari menarikan tarian ini setiap penari lelaki akan berpegang tangan sesama antara mereka dan penari wanita juga akan berpegang tangan sesama antara mereka. Penari lelaki yang berada di akhir atau awal bulatan tarian akan memegang sehelai kain seperti sarung tangan atau selendang, dan mereka akan memegang dibahagian hujung selendang tersebut dan hujung bahagian lain akan dipegang oleh penari wanita. Tujuan selendang atau kain ini digunakan adalah bagi mengelakkan penari lelaki dan penari wanita daripada bersentuhan.

Sehingga kini, tarian ini selalu dipersembahkan atau ditarikan oleh suku kaum Bajau pada majlis-majlis keramaian, kesyukuran atau perayaan. Selain itu tarian ini juga ada dipersembahkan pada majlis ramsi dan juga persembahan kebudayaan. Ini adalah bagi mempromosikan lagi tarian tradisional ini kepada orang ramai sama ada penduduk tempatan atau penduduk di negeri lain dan juga kepada pelancong dari luar negara yang datang ke negara ini dan ke Negeri Sabah.

Ulasan