Langkau ke kandungan utama

Tarian Sazau Papar

Tarian Sazau Papar merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian Sazau Papar ini merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Kadazan Dusun yang tinggal di daerah Papar Sabah.

TARIAN SAZAU PAPAR



Tarian Sazau Papar merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah yang juga tarian tradisi bagi suku kaum Kadazan-Dusun yang tinggal di daerah Papar, Sabah. Nama tarian ini saja sudah cukup menerangkan yang tarian ini berasal dari daerah Papar dan pada awalnya yang menarikan tarian ini adalah dari golongan petani, oleh yang demikian rentak Tarian Sazau ini mempunyai beberapa pergerakan bertani iaitu seperti menyemai benih, menanam padi dan menuai padi. 

Seperti yang kita sudah sedia maklum daerah Papar dahulunya adalah sebuah kawasan penanaman padi yang luas dan popular Sabah, jadi kebanyakkan penduduknya pada masa itu adalah bekerja sebagai petani di sawah sebab itulah juga tarian ini ada pergerakan seperti petani. Pada awalnya tarian ini ditarikan ketika upacara yang disebut Madsuwau iaitu merupakan upacara memuja Dapu atau Tajau (tempayan) kerana dipercayai ianya mempunyai semangat yang perlu dijaga dengan baik dan perlu diberikan makanan agar semangat tersebut tidak akan menganggu individu yang menyimpannya.


Namun kini, tarian ini lebih banyak ditarikan apabila ada majlis keramaian dan juga majlis-majlis rasmi yang diadakan di Sabah seperti ketika sambutan Pesta Kaamatan dan lain-lain lagi. Tarian ini juga biasanya ditarikan secara berpasangan iaitu antara lelaki dan wanita sambil diiringi dengan paluan alat muzik tradisional seperti gong dan gendang yang sudah pasti menghiburkan para penonton yang melihatnya.

Apa yang lebih menariknya tentang tarian ini adalah pergerakan kaki penari wanita yang kelihatan seakan-akan orang sedang memijak padi iaitu dengan membuat pergerakan kaki yang mana tumit akan bertemu tumit dan ibu jari kaki kiri akan bertemu ibu jari kaki kanan. Penari lelaki pula akan menari sambil mengangkat tangan dengan lebih luas sambil menggerakkan pinggang dihadapan penari wanita.

Ketika tarian ini ditarikan, biasanya penari akan memakai pakaian tradisi bagi suku kaum Kadazan-Dusun dari daerah Papar. Penari wanita akan memakai pakaian tradisi mereka iaitu baju hitam berlengan panjang yang dipanggil sia dan baju putih berenda dan berkolar tinggi yang dipanggil sia nopuak. Penari wanita juga akan memakai topi yang berbentuk seperti kon yang dipanggil seraung dengan dihujung topi itu diletakkan hiasan bulu yang berwarna-warni yang dipanggil senaundung.

Bagi penari lelaki pula, mereka akan memakai pakaian lelaki yang berseluar panjang serta baju berlengan panjang dan dihiasi dengan skaf atau selendang yang digantung dileher yang dipanggil sandai. Penari lelaki juga pakai 
siga iaitu hiasan di kepala seakan-akan bentuk tengkolok.

Ulasan