Buah Durian Merah merupakan salah satu buah-buahan tempatan yang terdapat di Negeri Sabah. Buah durian merah ini sangat popular dikalangan masyarakat di seluruh Sabah .
DURIAN MERAH
Kredit Gambar : Mysabah
Buah Durian Merah atau ada juga yang menyebut 'Durian Isi Merah' adalah salah satu dari buah-buahan tempatan negeri Sabah yang sangat terkenal dan popular dikalangan penduduk negeri ini terutamanya mereka yang tinggal di sebelah Bahagian Pantai Barat dan juga di Bahagian Pedalaman. Buah ini pada kebiasaannya tumbuh liar di kawasan hutan yang tebal di Kepulauan Borneo termasuklah Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Oleh sebab itu buah jarang ditemui di kedai buah-buahan di kawasan bandar, dan jarang sekali orang menanam pokok buah durian merah, kalau mahu cari bolehlah cuba cari di kawasan pasar luar bandar dan juga gerai menjual buah di tepi jalan. Tapi lebih mudah rasanya kalau cari semasa hujung minggu iaitu di pasar-pasar mingguan atau tamu mingguan.
Durian Merah mempunyai beberapa ciri perbezaan dengan durian yang biasa dijual atau dimakan oleh orang ramai yang mana isinya berwarna kuning dan banyak dijual di kawasan bandar. Antara perbezaan tersebut adalah dari segi saiz iaitu durian biasa mempunyai saiz yang lebih besar berbanding dengan durian merah dan oleh kerana saiz durian merah ini adalah kecil, beratnya pun cuma sekitar 300 gram sahaja. Perbezaan kedua adalah dari segi bentuknya iaitu bentuk durian adalah lebih bujur manakala bagi durian merah pula bentuknya kelihatan lebih bulat. Perbezaan ketiga adalah dari segi durinya, ini kerana duri durian biasa adalah tidak terlalu tajam manakala durian merah mempunyai duri yang agak tajam dan runcing yang boleh mengakibatkan tangan terluka kalau tidak pakai sarung tangan, jadi hati-hati kalau pegang durian merah semasa ingin membelahnya.
Perbezaan yang menarik antara buah durian merah berbanding dengan durian biasa ialah kalau durian biasa selalunya akan jatuh sendiri apabila sudah matang (masak), tetapi bagi pokok durian merah pokok ada buahnya yang akan jatuh sendiri apabila sudah masak dan ada juga yang tidak pandai jatuh-jatuh walaupun sudah masak dan ia hanya akan jatuh apabila sudah buruk. Jadi kena pastikan jika anda lihat kulit durian tersebut sudah berwarna kekuningan ertinya ia sudah masak dan perlu di petik. Tapi kalau mahu petik kena panjat dan petik atau pun menggunakan galah untuk menjolok buah tersebut, yang penting perlahan-lahan semasa menjolok buah tersebut agar tidak rosak. Buah durian merah yang tidak pandai jatuh-jatuh walaupun sudah matang (masak) biasanya isinya tidak terlalu merah tetapi berwarna oren sikit tetapi masih dalam kategori durian merah juga.
Buah durian ini juga biasanya apabila dibelah dua anda akan lihat hanya ada seulas sahaja dalam satu bahagian, jadi ertinya dalam sebiji buah durian tu dia ada dua ulas saja isi. Tapi yang itu kalau yang saiznya kecil, kalau yang saiz buahnya besar sikit mungkin ada dalam 2 ulas juga. Durian ini kalau dimakan banyak tidak akan menyebabkan badan menjadi panas seperti durian biasa, jadi boleh saja makan lebih sikit cuma jangan pula terlalu banyak dimakan nanti boleh menyebabkan masalah lain pula. Rasanya ada lemak-lemak sikit dan tidak terlalu manis dan baunya pun tidak terlalu kuat sebab itulah juga mungkin ia boleh dimakan lebih sikit berbanding durian biasa.
Oleh kerana pokok buah ini tumbuh liar di hutan yang tebal jadi ia jarang atau tidak diberikan penjagaan seperti meletakkan baja dan pokok durian ini juga berbuah mengikut musim seperti buah durian yang lain, cuma buah durian ini ianya hanya berbuah sekali sahaja dalam setahun iaitu dalam bulan September hingga Oktober. Kini terdapat juga sesetengah masyarakat yang mula tanam pokok buah ini dikawasan kebun kerana mempunyai permintaan yang agak tinggi daripada kalangan penduduk tempatan Negeri Sabah.
Sebenarnya durian merah ini kalau di Bahagian Pantai Barat dan Pedalaman Sabah mereka biasanya akan makan begitu sahaja seperti makan durian biasa yang lain selain daripada membuat bubur atau tempoyak durian. Tetapi bagi penduduk di Bahagian Pantai Timur Sabah seperti di Kinabatangan, Beluran dan Sandakan mereka kebanyakkan memakan durian merah ini dengan cara mencampurkannya dengan ikan seperti ikan bakar dan lain-lain lagi. Apa pun itu cita rasa sendiri jadi terpulanglah pada anda mahu makan macam mana yang penting dapat makan.
Apabila musim buah, memang senang jumpa buah ini di tamu-tamu minggu di kawasan luar bandar di seluruh Negeri Sabah. Harga yang biasa durian ini dijual adalah dalam lingkungan RM2.00 hingga RM7.00 mengikut saiznya. Yang penting jangan salah beli saja semasa membeli. Boleh tengok beza macam yang diterangkan di atas tadi, contoh mudah adalah tengok durinya saja kalau tajam, halus dan runcing tandanya durian merah. Tapi paling senang tanya dengan orang yang menjual mesti mereka tahu durian apa yang mereka jual.
Nota :
1. Makan durian merah tidak membuatkan badan menjadi panas dan pening walaupun di makan dengan kuantiti yang banyak. Tetapi adalah lebih baik jika makan jangan terlalu banyak agar tidak ada masalah lain pula.
2. Durian ini jarang jatuh sendiri jadi pastikan warna kulit durian bertukar ke warna kekuningan bolehlah di petik dengan memanjat pokok tersebut ataupun boleh juga menggunakan galah untuk menjoloknya.
3. Pakai sarung tangan untuk pegang durian ini sebab durinya yang tajam dan kalau pakai sarung tangan masih terasa sakit boleh letak kain lagi lepas tu pegang dan belah.
Ulasan
Catat Ulasan