Langkau ke kandungan utama

Tarian Sumayau

Tarian Sumayau merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini merupakan tarian tradisi bagi suku etnik Kadazan-Dusun dari suku Lotud terutamanya yang tinggal di daerah Tuaran.

TARIAN SUMAYAU

Kredit gambar : Kampungpanjut

Tarian Sumayau atau juga ada yang menyebutnya Tarian Madsayau adalah salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini merupakan tarian tradisi bagi etnik Kadazan-Dusun dari suku Dusun Lotud atau lebih dikenali sebagai Suang Lotud yang kebanyakkannya tinggal di daerah Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah. Tarian ini biasanya akan dipersembahkan ketika menyambut upacara Magahau iaitu salah satu upacara yang dibuat oleh suku kaum Dusun Lotud bagi memuja semangat tajau atau tempayan yang mana upacara ini juga selalunya akan dibuat secara besar-besaran. 

Upacara Magahau yang dibuat bagi memuja semangat tajau atau tempayan ini akan dibuat secara besar-besaran yang selalunya akan mengambil masa sehingga lima hari, ini adalah kerana upacara tersebut adalah bertujuan untuk memuja dan menghormati gusi-gusi iaitu tajau atau tempayan yang besar, selain itu ia juga adalah bertujuan untuk memperingati dikalangan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Disebabkan tarian ini dibuat ketika upacara magahau dan juga bertujuan untuk mengingati ahli keluarga yang telah tiada, jadi tarian biasanya tidak akan ditarikan ketika majlis keramaian atau pesta.


Tarian ini biasanya akan dipersembahkan atau ditarikan oleh 8 orang penari secara berpasangan antara lelaki dan wanita. Kesemua pasangan penari yang menarikan tarian ini akan memakai pakaian mereka yang berwarna serba hitam berlengan panjang dan juga selendang berwarna keemasan yang panjang dan dililit atau diletakkan pada bahagian leher setiap penari. Penari wanita juga biasanya akan memakai bulu burung yang diletak dibahagian kepala mereka manakala penari lelaki pula akan memakai tanjak atau lebih dikenali sebagai sigar.

Para penari ini akan memulakan tarian mereka sebaik sahaja paluan muzik dimainkan yang mana penari akan mula bergerak ke pentas atau ke tempat menari dengan diketuai oleh seorang ketua dan biasanya ketua penari adalah kaum wanita yang sudah lanjut usia dan berketurunan Monolian. Selain itu ketua tersebut juga mestilah seorang wanita yang arif dan juga mempunyai pengetahuan yang luas tentang upacara Magahau yang mereka lakukan.

Semasa penari menarikan tarian ini, penari wanita akan menggerak-gerakkan tangan mereka sesuai dengan rentak muzik yang dimainkan sambil kaki mereka juga akan digerakkan tetapi lebih perlahan berbanding dengan pergerakan tangan mereka. Bagi penari lelaki pula, mereka akan menari sambil akan membunyikan loceng atau lebih dikenali sebagai giring dalam bahasa Dusun Lotud. Penari-penari ini akan terus menari selagi muzik masih dimainkan dan rentak tarian akan menjadi laju atau rancak bila para penonton mula memberikan semangat dengan bertepuk tangan.

Sehingga kini, tarian ini masih lagi dipersembahkan atau ditarikan oleh suku Dusun Lotud terutamanya mereka yang tinggal di daerah Tuaran, Kota Kinabalu.

Ulasan

  1. hai dimana saya bole dapatkan informan untuk tarian sumayau ini?

    BalasPadam

Catat Ulasan